Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar masuk sekolah menengah menerusi kumpulan penempatan berdasarkan aliran sedia ada mulai 2024

Bermula dengan kohort pelajar Menengah 1 pada 2024, semua pelajar akan ditempatkan ke sekolah menengah dalam tiga kumpulan, berpandukan daripada julat skor sedia ada bagi aliran Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2023 02:14PM Dikemas Kini : 01 Mar 2023 09:53PM

SINGAPURA: Bermula dengan kohort pelajar Menengah 1 pada 2024, semua pelajar akan ditempatkan ke sekolah menengah dalam tiga kumpulan, berpandukan daripada julat skor sedia ada bagi aliran Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal).

Ketiga-tiga kumpulan penempatan ini akan digunakan untuk memudahkan kemasukan ke sekolah dan memberi panduan tahap subjek yang ditawarkan kepada para pelajar pada awal tahun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

"Lebih daripada itu, kumpulan-kumpulan penempatan ini tidak akan membentuk pengalaman sekolah menengah para pelajar," tekan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam ucapannya semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Rabu (1 Mac).

Ini demi memastikan sekolah-sekolah terus menerima kemasukan pelajar dengan pelbagai keupayaan dan pelajar pula terus mempunyai akses kepada pelbagai jenis sekolah, katanya.

"Dengan menerima kemasukan pelajar dari pelbagai kumpulan penempatan, pihak sekolah juga boleh memastikan terdapat kepelbagaian di peringkat kelas, dengan kelas darjah campur yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengambil pelbagai subjek di peringkat berbeza," kata Encik Chan.

Di sekolah-sekolah yang mengambil masuk pelajar dari pelbagai kumpulan penempatan, kelas darjah campur bermakna setiap kelas terdiri daripada para pelajar daripada beberapa kumpulan penempatan yang mengambil subjek di peringkat berlainan.

Dengan Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) dilaksanakan di 120 sekolah mulai tahun depan, para pelajar Menengah 1 pada 2024 akan menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Menengah (SEC) Singapura-Cambridge yang sama, tidak kira kumpulan penempatan asal mereka.

Peperiksaan SEC itu tidak lama lagi akan menggantikan sijil-sijil Peperiksaan GCE 'O' dan 'N' mulai 2027, yang kini diduduki oleh para pelajar di penghujung empat atau lima tahun pendidikan di sekolah menengah.

Pilihan untuk melanjutkan pendidikan ke tahun kelima di sekolah menengah akan tetap ditawarkan kepada pelajar yang ingin mengambil subjek di peringkat lebih mencabar, kata Encik Chan.

Sekitar 80 peratus daripada sekolah menengah akan melaksanakan Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB), menurut MOE.

Baki sekolah yang lain termasuk sekolah-sekolah dengan program bersepadu, seperti Raffles Institution, yang hanya menerima kemasukan pelajar daripada kumpulan penempatan 3 - iaitu kini merupakan aliran Ekspres.

Sekolah Menengah Crest pula kekal sebagai sebuah sekolah khusus yang menawarkan kurikulum yang disesuaikan bagi pelajar dalam kumpulan penempatan 1 - kini aliran Normal (Teknikal).

Namun, sekolah-sekolah itu masih boleh membenarkan pelajar untuk mengambil subjek di peringkat lebih mencabar atau kurang mencabar, menurut MOE.

Buat masa ini, para pelajar boleh mengambil subjek Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda di peringkat lebih tinggi di Menengah 1 jika mereka cemerlang dalam subjek-subjek tersebut dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Pilihan itu akan diperluaskan kepada subjek kemanusiaan di Menengah 2 mulai 2024.

Sebelum ini, tanpa adanya kelas darjah campur dan SBB, sebuah sekolah yang menerima pelajar daripada ketiga-tiga aliran lazimnya menyaksikan kelas-kelas yang terdiri daripada hanya daripada pelajar aliran Ekspres, N(A) atau N(T). 

Para pelajar juga hanya akan mengambil subjek di peringkat aliran mereka dan kemudian mendudukinya bagi peperiksaan GCE 'O' atau 'N'.

Namun dengan pemansuhan aliran dan pengenalan SBB mulai 2024, para pelajar akan mempunyai rakan sekelas daripada kumpulan penempatan yang berlainan.

Dengan SBB, para pelajar kini boleh mengambil subjek di peringkat G3, G2 atau G1, yang dipadankan mengikut piawai aliran Ekspres, N(A) dan N(T).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan