Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar Madrasah Irsyad sebar rahmat Ramadan kepada penduduk Bedok Reservoir

Sekumpulan pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah membawa rahmat Ramadan kepada beberapa penduduk kurang bernasib baik di estet perumahan Bedok Reservoir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekumpulan pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah membawa rahmat Ramadan kepada beberapa penduduk kurang bernasib baik di estet perumahan Bedok Reservoir.

Ia sebahagian daripada Program Khidmat Masyarakat 'Irsyad dan Ramadan', bertujuan melahirkan pelajar yang prihatin dan penyayang.

Dari membungkus bubur hinggalah membersihkan setiap sudut di masjid. Kerja-kerja tersebut mungkin jarang mereka lakukan di rumah sendiri.

Namun, sejak 9.00 pagi lagi, 100 murid darjah enam dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah gigih memerah keringat demi menyebarkan rahmah sempena bulan Ramadan.

Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok Reservoir, salah satu daripada empat masjid yang menyokong program tahun ini.

"Di masjid, apabila kami membersihkannya, orang umum boleh menggunakan dengan sempurna," kata 'Afif Hudzaifah Mohd Farhan, salah seorang pelajar madrasah itu.

Program Khidmat Masyarakat Irsyad, yang sudah dijalankan sejak sembilan tahun lalu itu diluaskan tahun ini untuk meliputi juga kerja-kerja kemasyarakatan.

Selain membantu mengagihkan bubur serta baucar, para pelajar juga menghadiahkan barangan dapur yang mereka taja sendiri bersama keluarga masing-masing.

Para penerima pula terdiri daripada penduduk di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) Masjid Alkaff Kampung Melayu.

"Apabila saya sudah ketuk pintu, tuan rumah muncul. Tuan rumah itu tertanya-tanya mengapa saya berada di sana. Selepas saya sudah memberikan habuan dan bubur tersebut, tuan rumah itu tersenyum. Jadi saya rasa gembira dan kawan-kawan saya pun rasa gembira," kongsi Siti Muhaiya Shahrudin, salah seorang lagi pelajar pula.

"Ada orang tinggal keseorangan. Kadang-kala mereka orang tua. Bila mereka orang tua, mereka tidak boleh bergerak ke kedai sangat. Jadi saya rasa dengan kasi mereka makanan boleh membantu mereka," kata 'Afif.

Pengalaman sedemikian diharap dapat meningkatkan kemahiran insaniah para pelajar.

"Saya ingin budak-budak ini lihat kekurangan orang lain supaya
kalau anak-anak itu hanya sekadar melihat ibadah itu sebagai solat dan puasa sahaja, saya rasa tidak cukup. Saya rasa mereka harus menjalankan ibadah itu sebagai praktikal. Jadi mereka harus lakukannya," ujar Mudir Madrasah Irsyad Zuhri Noor Shah Sanir.

Kegiatan serupa yang turut melibatkan pelajar darjah lima, akan dilanjutkan ke estet-estet lain dengan kerjasama tiga lagi masjid - Ghufran, Al-Khair dan An-Nur. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan