Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar Madrasah Irsyad ini menang peraduan bahasa Arab antarabangsa anjuran ICESCO

Murid 12 tahun bernama Van Massena El Muwaehib Mas’udin itu adalah satu daripada dua peserta dalam kategori kanak-kanak (pelajar sekolah rendah) yang dipilih sebagai pemenang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seorang pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah merupakan satu-satunya peserta dari Singapura yang memenangi peraduan antarabangsa luahan kreatif dalam bahasa Arab bagi kategori kanak-kanak yang disertainya.

Murid 12 tahun bernama Van Massena El Muwaehib Mas’udin itu adalah satu daripada dua peserta dalam kategori kanak-kanak (pelajar sekolah rendah) yang dipilih sebagai pemenang anugerah yang dipanggil 'Bayan Award for Creative Expression in Arabic’. Van Massena El Muwaehib bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$1,000 (S$1,350) berserta sijil.

Para pemenang lain adalah daripada negara-negara seperti Thailand, Marakesh, Bosnia, Brunei dan Malaysia. Lagi dua pemenang adalah dari kategori remaja (pelajar sekolah menengah) dan empat pemenang dipilih bagi kategori belia (mahasiswa).

Peraduan itu dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO).

Ia bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan kemahiran berbahasa Arab baik dari segi penulisan mahupun lisan dalam kalangan pelajar dari merata dunia, yang bukan penutur asli bahasa tersebut.

Memandangkan peraduan itu diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19, temanya juga berkaitan wabak tersebut.

BUKAN SEKADAR MENANG PERADUAN SAJA...

Semasa dihubungi BERITAmediacorp ibu Van Massena El Muwaehib, Norjanah Ramli, menyifatkan kejayaan anaknya itu ibarat serampang dua mata.

Kemenangan itu bukan sahaja kemenangan peraduan semata-mata. Bahkan, ia adalah kemenangan dalam penguasaan lebih baik bahasa Arab bagi anaknya.

Mentelah lagi, Van Massena El Muwaehib atau lebih mesra dipanggil Muwaehib bakal menduduki Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE) tahun ini, selain peperiksaan PSLE.

"Agak mencabar untuk bahagi masa untuk PSLE dan pertandingan ini sebab ia mengambil masa untuk hafal skrip. Bila kami rakam video, susah untuk tak ada kesilapan. Jadi terpaksa rakam lagi dan lagi.

"Cuma yang bagusnya, ia membantu saya dari segi kosa kata semasa peperiksaan SA1 untuk karangan bahasa Arab dan semasa menjawab soalan-soalan lain. Saya harap saya boleh ingat semua perkataan Arab itu untuk peperiksaan ISPE," kata Muwaehib.

Muwaehib bersama ibu dan adiknya. (Gambar-gambar: Norjanah Ramli)

Muwaehib bersama ibu dan adiknya. (Gambar: Norjanah Ramli)

Pada mulanya Muwaehib agak keberatan untuk menyertai peraduan tersebut, kongsi Cik Norjanah yang bertugas sebagai seorang penyambut tamu di Kedutaan Oman di Singapura.

Namun setelah diberi sokongan dan dorongan anaknya itu memberanikan diri untuk mencuba. Lebih-lebih lagi, dia diberi kebebasan untuk menggunakan kreativiti dalam penyampaiannya.

PILIH BUAT KOMIK DIGITAL TENTANG COVID-19

Muwaehib memilih untuk membuat komik digital yang menjelaskan bagaimana COVID-19 membuka ruang baru untuk berkomunikasi.

Malah, Muwaehib memainkan bukan satu, bukan dua tapi tiga watak sekali gus dalam video 'bertuah' itu. Ini bermakna, dia perlu mengubah suara mengikut watak yang dimainkan.

“Terutama saya perlu membuat tiga suara (berbeza) yang sebenarnya sangat susah sebab suara saya ‘bassy’ (garau),” kata Muwaehib.

Peraduan itu yang hanya dibuka kepada mereka yang bukan penutur asli bahasa Arab memerlukan para peserta membuat penyampaian lisan bagi teks bahasa Arab yang ditulis sendiri menerusi rakaman video tidak melebihi tiga minit bagi kategori kanak-kanak, empat minit bagi kategori remaja dan lima minit bagi kategori belia.

Para juri kemudian menilai sejauh mana jelasnya sebutan perkataan yang dilontarkan.

BERPULUH SUNTINGAN DIBUAT HASILKAN SKRIP, VIDEO BERMUTU TINGGI

Meskipun penulisan skrip dibuat sendiri oleh Muwaehib, ia diperhalusi lagi menerusi bantuan Cik Norjanah dan juga para asatizah Madrasah Irsyad.

Menurut Naib Pengetua Jabatan Bahasa Arab dan Pengajian Islam, Ustazah Warintek Ismail, berpuluh suntingan dilakukan setiap kali skrip diteliti oleh semua pihak.

"Berpuluh suntingan dilakukan, berulang kali pusingan yang memerlukan pandangan semua pihak, lebih-lebih lagi dari sudut bahasa, kosa kata, pemilihan ayat Quran dan Hadith yang ingin dimasukkan. Ia adalah proses yang paling mencabar dalam menyiapkan skrip video ini,” kongsi Ustazah Fazihan kepada BERITAmediacorp.

Selain itu, proses yang mencabar ialah untuk menyiapkan suntingan video dan rakaman suara.

Pelbagai wadah digital juga dimanfaatkan untuk menghasilkan video bermutu tinggi dengan bantuan pihak ICT Madrasah Irsyad.

"Madrasah Irsyad yang memberi sokongan penuh dengan pemilihan Puan Hidayah sebagai salah seorang anggota ICT kami di Irsyad bagi membantu kami memastikan skripnya dapat dirakam dan disunting mengikut tema, pemilihan gambar yang bersesuaian dan begitu juga dengan pemilihan aplikasi yang sesuai hingga terhasilnya video bagi pertandingan ini," tambah Ustazah Warintek.

BAHASA ARAB BUKAN SEKADAR UNTUK AGAMA...

Semua proses tersebut dilakukan dalam masa yang agak suntuk - iaitu dalam tempoh tiga minggu terakhir sebelum tarikh tutup penyertaan. Ketika itu, para guru juga sedang sibuk dengan kaedah pengajaran baru semasa situasi COVID-19 ketika pembelajaran di rumah (HBL) dilakukan.

Namun dengan kerjasama dan pengorbanan pihak madrasah, keluarga dan Muwaehib sendiri, video komik digital dalam bahasa Arab itu berjaya dihasilkan.

"Antara inisiatif yang kami lakukan, Muwaehib diminta untuk pulang lewat setelah selesai waktu persekolahan bagi melakukan beberapa proses rakaman, latihan intonasi bacaan dan gaya bahasa atau 'body language' yang bersesuaian," kata Ustazah Warintek.

Ternyata, kejayaan ini dapat diraih dengan adanya sokongan jitu pihak madrasah untuk memastikan pelajarnya mencapai matlamat mereka.

Dengan kemenangan ini, Ustazah Warintek berharap ia dapat menyuntik semangat para pelajar Madrasah Irsyad dalam memperbaiki dan memperkukuh penguasaan bahasa Arab mereka.

Bagi Cik Norjanah pula, mesej beliau kepada anak-anaknya hanya satu.

"Bahasa Arab ini bukan sekadar untuk agama sahaja. Banyak yang boleh dilakukan menerusi penguasaannya. Kalau sekarang dia (Muwaehib) boleh membuat komik bahasa Arab. Mana tahu, pada masa akan datang, dia boleh buat buku-buku digital bahasa Arab untuk membantu orang lain pula," Cik Norjanah memberitahu BERITAmediacorp.

MUWAEHIB MAHU DERMA HADIAH WANG KEPADA MADRASAH

Murid madrasah itu sebenarnya “terperanjat” diisytiharkan sebagai pemenang.

“Terperanjat sebab adik saya Nawfah pun bertanding dan Arab dia lagi tinggi dari saya. Saya menyangka yang adik saya yang patut menang dalam pertandingan ini. Tapi kemenangan ini juga milik dia. Sebab dia yang tolong ibu saya untuk melatih saya untuk pertandingan ini,” cerita Muwaehib penuh jujur.

Muwaehib bersama ibu dan adiknya. (Gambar-gambar: Norjanah Ramli)

Muwaehib bersama adiknya, Wereykah Nawfah, yang juga menyertai peraduan yang sama. (Gambar: Norjanah Ramli)

Setiap pemenang bagi setiap kategori peraduan itu diberikan hadiah wang tunai AS$2,000 bagi kategori belia, AS$1,500 bagi kategori remaja and AS$1,000 bagi kategori kanak-kanak.

Apabila ditanya apa yang ingin dilakukan dengan hadiah wang tunai yang dimenanginya itu, Muwaehib terkejut sebenarnya.

"Abang menang duit? Betul ke ni?" tanya Muwaehib kepada ibunya yang kemudian tertawa.

Rupa-rupanya, dia tidak menyedari bahawa terdapat hadiah wang tunai dan menyangka hanya akan menerima sijil.

Menurut Cik Norjanah, beliau sengaja tidak memberitahu tentang hadiah wang tunai tersebut kerana enggan niat anaknya menyertai peraduan itu semata-mata kerana wang.

Setelah berfikir sejenak, Muwaehib berkata: "Saya ingat menang untuk suka-suka saja atau dapat sijil. Tapi duit itu saya rasa nak derma (sebahagian) ke Madrasah Irsyad dan bakinya saya nak berkongsi dengan adik-adik saya dan ibu dan masukkan ke dalam bank," kata Muwaehib, anak sulung daripada empat beradik itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan