Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar madrasah, anak yatim, kumpulan berkeperluan khas boleh sertai program inklusif OBS

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar madrasah, anak yatim, kumpulan berkeperluan khas boleh sertai program inklusif OBS

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menerima keputusan GCE O pada 11 Jan 2021. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 20 Dec 2021 11:10AM Dikemas Kini : 20 Dec 2021 01:03PM

SINGAPURA: Pusat Bina Semangat Singapura atau Outward Bound Singapore (OBS) merancang untuk merintis kursus-kursus pendidikan luar darjah bagi kanak-kanak yang mengalami masalah fizikal dan daya intelek dan juga bagi mereka yang menjalani persekolahan di rumah ataupun di rumah-rumah anak yatim dan madrasah pada separuh kedua 2022 sebelum akhirnya dijadikan sebagai ciri-ciri tetap dalam perancangan program kendalian OBS.

Dengan mempelbagaikan kanak-kanak yang menyertai program-program pendidikan luar ini yang menjangkaui para pelajar di bawah sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE), Majlis Belia Kebangsaan (NYC) - yang mengendalikan OBS - berharap program-program sedemikian akan dapat memupuk sifat inklusif dalam kalangan belia tempatan.

Program-program bagi para pelajar bukan daripada sekolah-sekolah MOE akan dikendalikan selari dengan kursus-kursus ekspedisi OBS untuk pelajar-pelajar Menengah 3. Namun, disebabkan oleh langah-langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan untuk membendung jangkitan COVID-19, tempoh kursus tersebut disingkatkan kepada dua hari buat sementara waktu ini. 

Bercakap kepada Mediacorp pada awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif NYC David Chua berkata agensi itu berharap ia dapat memberi peluang kepada para belia untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan, di samping peluang untuk berinteraksi dengan mereka yang mempunyai latar belakang yang berbeza supaya dapat memperluaskan lagi perspektif mereka. 

Program sedia ada OBS sudah berhasil menghimpunkan para pelajar Menengah 3 dari pelbagai sekolah dan meletakkan mereka dalam kumpulan yang sama di mana mereka harus belajar untuk saling bekerjasama bagi mengatasi bermacam-macam cabaran luar darjah sepanjang tempoh program tersebut. 

Matlamat di sebalik usaha untuk merintis program baru ini untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kanak-kanak yang menjalani persekolahan di rumah, anak yatim dan juga bagi mereka yang belajar di madrasah adalah untuk meningkatkan pergaulan sosial kanak-kanak ini.

Menurut Encik Chua, OBS akan cuba menggabungkan kanak-kanak ini bersama dengan para pelajar dari sekolah-sekolah MOE jika boleh, namun menegaskan bahawa ia adalah sesuatu yang mencabar dari segi logistik untuk meningkatkan pergaulan seumpama itu dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada program tetap.

Ini kerana OBS juga sedang meningkatkan jumlah pelajar Menengah 3 yang mengambil bahagian dalam program sedia ada dari 20,000 kepada 45,000 pelajar setiap tahun dan ia memerlukan sumber-sumber untuk menepati sasaran tersebut. 

Program perintis itu akan diadakan di kampus OBS di Punggol dan East Coast buat masa ini. 

Namun, kampus di Coney Island (Pulau Serangoon) yang sedang dibina dan dijangka siap pada 2024, direka sedemikian rupa agar ia dapat menampung para pengguna kerusi roda.

Memperkenalkan semula kursus-kursus luar darjah seperti ini bagi para belia bukan dari sekolah-sekolah MOE adalah salah satu cara NYC dapat menyokong aspirasi sifat inklusif para belia, yang juga merupakan salah satu aspek yang diketengahkan dalam tinjauan NYC pada 2019 tentang visi mereka bagi Singapura pada 2025, iaitu sebahagian daripada Pelan Tindakan Belia.

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa