Pelajar Madrasah Aljunied Tasneem Jamaludeen catat markah penuh 45 mata bagi IBDP 2021
SINGAPURA: Satu sejarah baru tercipta di Madrasah Aljunied Al-Islamiah apabila salah seorang pelajarnya, Tasneem Jamaludeen, berjaya meraih markah penuh 45 mata dalam Program Diploma International Baccalaureate (IB) tahun ini.
Ini kali pertama seorang pelajar IB madrasah itu mencatat markah sempurna itu sekali gus meletakkan Tasneem sebagai antara pelajar IB terbaik di seluruh dunia..
Tasneem, merupakan antara 16 pelajar dalam kohort kedua Madrasah Aljunied yang mengikuti program IB. Seorang lagi pelajar Aljunied yang cemerlang, iaitu Hakeem Samsuri, berjaya mencatat 44 mata. Pelajar Nur Ayesha Sufiya Chua Binte Muhammad Safwan Chua pula mendapat 40 mata.
Secara keseluruhannya, kohort Madrasah Aljunied itu berjaya mengekalkan prestasi menakjubkan tahun lalu, apabila mereka juga mencatat kelulusan 100 peratus kelulusan tahun ini - kesemua 16 pelajarnya lulus!
Menariknya, markah purata 39.69 yang dicatat tahun ini juga jauh lebih tinggi daripada purata global iaitu 32.39. Bermakna, sekitar 7 mata lebih tinggi berbanding purata global tahun ini.
Jika dibandingkan dengan prestasi tahun lalu, markah purata 39.69 itu 5 mata lebih tinggi berbanding pencapaiannya pada tahun lalu iaitu 34.8.
Tasneem bersama koordinator program IB Madrasah Aljunied, Khalidah Abdullah. (Gambar: MUIS)
Meski akur bahawa kohort tahun ini adalah kohort yang berkebolehan dalam bidang akademik, Madrasah Aljunied tetap tidak menjangkakan bahawa pelajarnya akan mencatat keputusan yang sebegini cemerlang. Ini terutama sekali penerobosan bersejarah oleh Tasneem, yang meraih mata penuh.
"Kami cuma menjangka yang kami akan mendapat 100 peratus kelulusan diploma, tetapi kami tidak menjangka bahawa kami akan mendapat murid yang mencapai 45 mata daripada kohort kedua ini," kongsi koordinator program IB Madrasah Aljunied, Khalidah Abdullah.
"Kami amat terharu dapat mencapai keputusan cemerlang mata penuh, bersama murid-murid, guru-guru secepat ini dalam perjalanan IB kami."
Madrasah Aljunied merupakan satu-satunya madrasah di dunia yang diiktiraf dengan status 'Sekolah Dunia International Baccalaureate'.
TASNEEM KONGSI RAHSIA KEJAYAAN
Menurut Cik Khalidah lagi, kohort kedua ini berdaya bingkas meski menghadapi cabaran menyelesaikan projek mereka di tengah-tengah pandemik COVID-19.
"Saya sangat bangga dengan para pelajar kami yang dapat mencapai keputusan baik ini meski berada dalam situasi yang mencabar ini," ujar Cik Khalidah.
Mengulas mengenai pelajar terbaiknya tahun ini, Madrasah Aljunied menyatakan bahawa Tasneem merupakan seorang pelajar serba boleh dan konsisten sepanjang pendidikan diploma IB ini.
Apabila ditanya BERITAmediacorp apakah formula kejayaannya, ini jawapan Tasneem:
"Saya rasa saya bijak untuk membahagikan masa saya antara masa dengan keluarga dan juga masa untuk pelajaran saya. Saya juga gemar menulis jadual harian tentang apa yang harus saya capai pada hari itu."
Peperiksaan IB itu diduduki lebih 16,860 di seluruh dunia dengan 133 pelajar dari Singapura mencatat markah penuh 45 mata, termasuk Tasneem. Dengan pencapaian itu juga, remaja itu seolah-olah menetapkan penanda aras baru yang boleh dicapai para pelajar madrasahnya bagi tahun-tahun mendatang.
Bagi Tasneem, 19 tahun, semasa melalui IB, sekitar 90 peratus masanya dihabiskan di biliknya untuk belajar dan pelajar ini mengakui ini merupakan satu cabaran buatnya kerana terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga tersayang.
"Namun, saya amat bersyukur kerana ibu bapa saya memahami situasi saya dan juga sering memberi motivasi untuk saya menyambung belajar," kongsi Tasneem.
(Gambar: MUIS)
Selain ibu bapa, rakan-rakan dan guru Tasneem turut menjadi dorongan baginya melakukan yang terbaik dalam pelajaran.
"Apabila saya melihat mereka (rakan-rakan) sangat bersungguh-sungguh untuk belajar, saya juga mendapat banyak motivasi daripada mereka, dan guru-guru saya juga sudah banyak membahagikan masa untuk kami walaupun di luar jadual sekolah," kata Tasneem.
Kini dengan keputusan cemerlang itu, Tasneem berhasrat mengambil jurusan Matematik di Universiti Nasional Singapura (NUS).
HAKEEM SAMSURI CATAT MARKAH 44 MATA
Seorang lagi pelajar cemerlang dari Madrasah Aljunied tahun ini ialah Hakeem Samsuri yang mencatat 44 mata.
Presiden Majlis Pelajar Madrasah Aljunied itu merupakan satu-satunya pelajar kohortnya yang mengambil Esei Lanjutan Bahasa Arab B.
"Saya sebenarnya tidak menjangkakan keputusan ini sebab sebagai ketua badan pelajar, kadang-kadang saya perlu mencuri-curi masa menghabiskan tugas sekolah dan sebagainya," ujar Hakeem kepada BERITAmediacorp.
Hakeem menyifatkan keputusan 44 matanya ini sebagai satu "nikmat".
Tiada rahsia bagi kejayaannya, namun bagi Hakeem, dia memang berminat dengan mata pelajaran yang diambilnya ini dan secara semula jadi, ia tidak mendatangkan sebarang masalah baginya.
Bagi anak bongsu ini yang tinggal bersama datuk dan neneknya, merekalah yang menjadi dorongan buatnya.
"Saya sebenarnya membawa satu tanggungjawab sebagai ketua anggota badan pelajar dan pada masa yang sama seorang pelajar IB. Jadi pada saya ini mendorong saya untuk lebih bersemangat dan terus belajar," kongsi pelajar berusia 19 tahun ini.
Hakeem bercita-cita mahu menceburi bidang undang-undang selepas tamat pengajian nanti.
Bagi para pelajar IB Madrasah Aljunied, selain layak ke Universiti Al-Azhar, mereka juga layak melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian lain.
Melangkah ke hadapan, Madrasah Aljunied menyatakan akan terus mengasah keupayaan para gurunya agar dapat terus mengekalkan kemahiran mereka dalam membimbing para pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.