Pelajar kejuruteraan aeroangkasa mengaku letupkan bom buatan sendiri di Taman East Coast
Orang ramai di Taman East Coast pada 19 Jun 2020. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang remaja yang berminat dengan bahan letupan mula mencari cara untuk membuat bom secara online semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
Dia membuat dua bom paip dan menyalakannya di Taman East Coast pada 2020, meledakkan satu daripada bom paip tersebut.
Mujur, tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.
Remaja yang kini berusia 19 tahun itu mengaku bersalah pada Khamis (19 Mei) terhadap empat tuduhan membuat bahan letupan tanpa lesen, bertindak terburu-buru dengan bahan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang lain dan bersubahat dalam perbuatan jenayah.
Tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman yang akan diputuskan pada Jun.
Nama remaja itu tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun ketika kesalahan itu dilakukan dan dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.
Dia kini adalah seorang pelajar dalam jurusan kejuruteraan aeroangkasa di sebuah politeknik dan sudah menerima rawatan untuk Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan gangguan tingkah laku.
Remaja tersebut sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia melakukan perbuatan itu kerana dia suka melakukan "kerja amali" namun sedar bahawa "ada cara yang betul dan salah untuk melakukannya...itulah sebabnya mengapa saya suka kejuruteraan".
Hakim Daerah, Kessler Soh, mengarahkan laporan penilaian kesesuaian remaja itu bagi probesen, namun tidak menolak pilihan bagi latihan pemulihan yang lebih berat.
Hukuman bagi kesalahan membuat bahan letupan tanpa lesen adalah hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga S$10,000.
Sesiapa saja yang bertindak terburu-buru dengan bahan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang lain dan bersubahat dalam perbuatan jenayah boleh dihukum penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.