Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar, kakitangan sekolah bercuti di luar negara perlu jalani LOA 14 hari

Sekolah-sekolah dan tadika-tadika akan dibuka semula selepas cuti sekolah Mac seperti yang dijadualkan, namun dengan langkah-langkah pencegahan yang dipertingkatkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Mar 2020 01:58PM Dikemas Kini : 20 Mar 2020 12:18AM

SINGAPURA: Sekolah-sekolah dan tadika-tadika akan dibuka semula selepas cuti sekolah Mac seperti yang dijadualkan, namun dengan langkah-langkah pencegahan yang dipertingkatkan termasuk memberikan para pelajar dan kakitangan cuti ketidakhadiran (LOA) jika mereka bercuti di luar negara, menurut kenyataan bersama hari ini (19 Mac) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Di samping langkah-langkah yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (18 Mac), MOE dan MSF akan memberikan cuti ketidakhadiran (LOA) 14 hari kepada para pelajar dan kakitangan sekolah, prasekolah dan pusat jagaan pelajar yang bercuti di luar negara pada atau selepas 14 Mac, iaitu permulaan cuti sekolah bagi bulan Mac.

Dengan langkah-langkah tersebut yang berkuat kuasa pada 20 Mac, ini bermakna para pelajar dan kakitangan yang terjejas tidak boleh ke sekolah dan prasekolah sepanjang tempoh LOA atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Tempoh cuti LOA selama 14 hari akan bermula pada tarikh mereka pulang ke Singapura.

Apabila sekolah dibuka kelak selepas cuti bulan Mac, langkah berjaga-jaga tambahan akan dilaksanakan selama dua minggu.

Ini termasuk:

- Menggantung kegiatan luar darjah (CCA)

- Tempat duduk yang ditetapkan dan rutin membersihkan kantin

- Peperiksaan dengan tempat duduk yang ditetapkan bagi para murid Darjah Tiga dan ke atas, dan susunan tempat duduk berkumpulan secara berkelompok yang ditetapkan untuk para murid Darjah Satu, Darjah Dua dan murid-murid tadika MOE

- Penangguhan persembahan seni Pesta Belia Singapura (SYF)

- Rutin membersihkan bilik darjah

- Sudut-sudut permainan yang ditetapkan untuk murid-murid bermain dalam saiz kumpulan lebih kecil

Langkah-langkah itu merupakan tambahan kepada langkah berjaga-jaga sebelum ini menyusuli penggantungan kegiatan berkumpulan dan pengasingan waktu rehat di sekolah, menurut MOE.

Sukan Sekolah Kebangsaan juga akan terus digantung sehingga hujung cuti sekolah bulan Jun.

Prasekolah-prasekolah akan terus melaksanakan langkah berjaga-jaga sedia ada bagi menjaga kesihatan dan keselamatan para kakitangan dan murid-murid prasekolah seperti menjalankan pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap dan memeriksa suhu badan para kakitangan dan murid-murid, menghadkan para pengunjung ke prasekolah dan menggantung lawatan-lawatan luar bilik darjah.

Menurut MOE lagi, para pelajar yang menjalani LOA atau mereka yang menjalani perintah kuarantin atau notis jangan keluar rumah akan disokong dengan pembelajaran di rumah.

Para ibu bapa yang mempunyai pertanyaan mengenai langkah-langkah berkenaan boleh menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan penjelasan.

Dalam catatan Facebooknya pada Khamis (19 Mac), Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata meskipun pelajar, ibu bapa dan jurulatih akan berasa kecewa dengan keputusan untuk menggantung kesemua CCA dan menangguhkan Sukan Sekolah Kebangsaan, langkah-langkah ini perlu bagi melindungi sistem sekolah.

"Saya sendiri tidak mahu melaksanakannya, tetapi penting untuk kita melindungi sistem dan menjauhkan mereka yang terdedah kepada virus itu semasa berada di luar negara, daripada pelajar lain dan kakitangan sekolah. Selepas itu, barulah kita dapat menikmati suasana tenang seperti sebelum cuti sekolah bulan Mac," tulis Encik Ong.

"Saya tahu ramai yang bergegas pulang ke Singapura pada awal minggu ini disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan. Bagi sebilangan besar, cuti LOA anda mungkin sudah bermula,' tambah beliau.

"Ini bermakna anda mungkin tidak ketinggalan pelajaran untuk tempoh selama dua minggu, saya berharap ini tidak akan menyulitkan keadaan."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan