Pelajar Jepun sertai penuntut RI & RGS dalam majlis berbuka puasa di Masjid An-Nahdhah, pupuk persefahaman
Itulah antara objektif utama majlis iftar anjuran Raffles Institution (RI) di Masjid An-Nahdhah pada Khamis (27 Mac).
Sekitar 90 pelajar Muslim dan bukan Muslim daripada RI serta Sekolah Perempuan Raffles (RGS) dan Sekolah Makuhari dari Jepun yang sedang menjalani program pertukaran di Singapura juga ikut serta dalam acara tersebut.
Beliau antara lain berkongsi tentang makna di sebalik ibadah puasa di bulan Ramadan dan program-program yang dijalankan pihak masjid serta amalan-amalan yang dipraktikkan golongan Muslim dalam bulan suci itu.
Ustaz Luqman berkata: "Program sebegini berlainan kerana bukan sahaja para pelajar beragama Islam bersama rakan-rakan mereka tetapi dengan beragama lain. Bukan sahaja di bilik darjah mereka berkawan dan memahami satu sama lain tetapi di luar bilik darjah. Mereka dapat memahami apa yang dilakukan teman-teman mereka dan sebalik mengapa perkara itu dilakukan."
"Semasa acara majlis iftar kali ini, kita dapat lihat kasih sayang para relawan, jemaah yang datang. Kita juga lihat sifat saling memahami dan secara keseluruhan lihat bahawa sifat kemanusiaan itu ada, tidak kira mereka Muslim atau tidak, mereka bersatu dan masjid itu juga adalah untuk semua," jelas Ustaz Luqman.
"TIDAK KIRA KAUM APA, MAKAN ATAS DULANG YANG SAMA"
Pada kemuncak acara itu, para pelajar dapat menyertai majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan yang berlainan agama.
Para pelajar bukan Muslim juga dapat belajar budaya orang Melayu makan bersama apabila mereka dihidangkan nasi beriani di atas dulang untuk dikongsikan bersama antara empat hingga lima orang.
Pelajar Tahun 4 RI, Muhd Yushua Mohamat Yusran misalnya berkongsi tentang kelainan majlis iftar yang diadakan di Masjid An-Nahdhah itu berbanding acara yang diadakan di sekolahnya saban tahun.
Yushua berkata: "Kita dapat berinteraksi dengan anggota masyarakat lain dan ini menunjukkan sifat inklusif kerana tidak kira awak berbangsa India atau Cina, tetap makan di atas dulang sama. Di masjid, kami dapat lihat bagaimana pihak masjid dan para jemaah bersikap inklusif."
Seorang pelajar dalam Bahasa Melayu Program Khas (MSP) RI, Matthew Han pula berkata: "Saya rasa sangat gembira dan puas. Biasanya iftar selalu dianjurkan sekolah saya. Hari ini, saya dan kawan-kawan berbuka puasa dalam masjid. Saya belajar lebih tentang budaya Melayu dan tentang kepentingan Quran dan nilai-nilai Ramadan seperti orang yang baik hati, murah hati, menolong orang miskin."
"Saya sungguh bersyukur dengan berbilang agama di Singapura, memberi peluang untuk saya pergi ke masjid untuk berbuka puasa dengan kawan-kawan. Sebagai seorang Cina, saya boleh pergi ke masjid dan berbuka puasa dan peluang itu sungguh asli kerana saya boleh lihat bagaimana orang Melayu berbuka puasa. Saya boleh berbincang dengan rakan-rakan saya dan ada persefahaman agama Islam dengan lebih baik lagi," ujar Gregory Ng pula, juga seorang pelajar dalam MSP RI.
Para pelajar dari Jepun juga mengalu-alukan acara sebegitu yang diadakan, yang sekali gus membuka mata mereka kepada amalan penganut Islam dalam bulan Ramadan.
"Saya pelajari bahawa orang Muslim cuba untuk mendekatkan diri kepada Tuhan mereka dan menjadi umat Islam yang lebih baik. Saya rasa ia pasti sukar untuk mereka teruskan berpuasa selama sebulan. Mereka menghargai agama Islam dan menerusi pengalaman sebegini, saya rasa kita patut menghormati kelainan budaya dan agama," kata pelajar Sekolah Makuhari, Ibuki Ajima.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.