Pelajar ITE Mohamad Izz Syafiq antara wakil S'pura bagi Pertandingan WorldSkills ke-46 di Shanghai
Seramai 165 pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik menyertai pertandingan kemahiran nasional WorldSkills Singapore (WSS) tahun ini.

(Gambar: Facebook/Dr Maliki Osman)
SINGAPURA: Seramai 165 pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik menyertai pertandingan kemahiran nasional WorldSkills Singapore (WSS) tahun ini.
Dua daripada pemenang pingat pertandingan tersebut akan mewakili Singapura di Pertandingan Worldskills ke-46 di Shanghai pada 2022.
Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman dalam catatan Facebooknya pada Khamis (14 Okt).

(Gambar-gambar: Facebook/Dr Maliki Osman)
IZZ TIDAK GENTAR MESKI PERLU PELAJARI SOFWE BARU DALAM MASA BEBERAPA HARI
Salah seorang pemenang pingat pertandingan itu ialah pelajar ITE, Mohamad Izz Syafiq.
Sebagai persiapan bagi pertandingan itu, Izz perlu mempelajari dan menguasai sofwe baru dalam masa beberapa hari sahaja.
Meskipun berdepan masa yang singkat, Izz tidak berasa gentar sama sekali malah menempuhi cabaran itu dengan penuh tekad.
Usahanya membuahkan hasil apabila beliau meraih pingat emas dalam bidang kemahiran Pembinaan Digital.
Izz akan menyertai kontinjen seramai 33 peserta yang akan mewakili Singapura di Pertandingan WorldSkills ke-46.
Selain Izz, seorang lagi pemenang pingat daripada WorldSkills Singapore (WSS) juga akan mewakili Singapura di pertandingan itu.
LULUSAN NP RAINE LIM PEMENANG PINGAT EMAS TEKNOLOGI AIR
Lulusan Politeknik Ngee Ann, Raine Lim muncul sebagai pemenang pingat emas dalam pertandingan Teknologi Air.
Sejak kecil lagi, Lim memang berminat dengan isu-isu alam sekitar dan berharap dapat menceburi kerjaya dalam sektor kemampanan bagi memainkan peranannya untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih mesra alam.

Setelah meraih pingat perak dalam bidang kemahiran yang sama dalam pertandingan WSS pada 2020, Raine terus bekerja keras untuk pertandingan tahun ini yang diadakan pada Februari lalu.
"Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, kita sudah mempertingkatkan sistem pendidikan kita untuk menawarkan laluan yang pelbagai bagi memenuhi cita rasa dan aspirasi pelajar.
"Secara khusus, kami memperluaskan laluan berdasarkan kemahiran, kedua-duanya untuk melatih para graduan yang bersedia untuk bekerja dan menawarkan laluan alternatif bagi membantu mereka untuk mengecapi matlamat masing-masing.
"Kepada para pelajar yang akan mengambil bahagian dalam #WSS2021, ini hanyalah satu permulaan kepada perjalanan pembelajaran sepanjang hayat anda.
"Saya yakin pengalaman yang akan anda timba akan memupuk ketabahan dalam diri dalam untuk terus meraih kecemerlangan! #skillsproud," kata Dr Maliki dalam catatan Facebooknya.
Pertandingan WorldSkills Singapore (WSS) tahun ini bertemakan "Our Skills, Our Future" atau "Kemahiran Kita, Masa Hadapan Kita".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.