Pelajar ITE ditahan serang rakan sekolah dengan senjata berbahaya
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditangkap sementara seorang lagi dikejarkan ke hospital selepas diserang di luar Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Kolej Barat ITE. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditangkap sementara seorang lagi dikejarkan ke hospital selepas diserang di luar Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan ia dimaklumkan tentang kes sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya di 1 Choa Chu Kang Grove, iaitu alamat sekolah berkenaan, pada Khamis (21 Feb), sekitar jam 2.00 petang.
Para pegawai polis menahan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang terbabit dalam insiden itu. Seorang lagi remaja perempuan, juga berusia 17 tahun, dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dalam keadaan sedar.
Menerusi satu catatan Facebook lewat semalam (22 Feb), ITE mengesahkan bahawa serangan melibatkan dua pelajarnya berlaku di luar Kolej Barat ITE. Ia menambah, pelajar yang cedera sudah dibenarkan pulang dari hospital pada hari yang sama.
"Kolej sedang menghulurkan bantuan yang diperlukan dan sudah bertemu dengan keluarga pelajar itu," kata Pengetua Kolej Barat ITE, Dr Goh Mong Song.
"Kami memandang serius perkara ini dan tidak menerima tingkah laku seperti itu."
ITE turut mengesahkan bahawa pelajar yang ditahan polis akan digantung sekolah.
Siasatan masih dijalankan, menurut SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.