Pelajar ITE dikenakan probesen 21 bulan kerana rakam video bawah skirt 27 wanita
Seorang pelajar ITE yang merakam video bawah skirt 27 wanita sepanjang empat bulan dihukum probesen 21 bulan pada Khamis (31 Okt).
SINGAPURA: Seorang pelajar ITE yang merakam video bawah skirt 27 wanita sepanjang empat bulan dihukum probesen 21 bulan pada Khamis (31 Okt).
Heng Zhi Sheng, 20 tahun, juga diharamkan daripada menggunakan sebarang alat yang dilengkapkan kamera atau fungsi merakam kecuali dibenarkan oleh seorang pakar psikologi. Dia juga diarahkan menjalani rawatan psikologi berkaitan dengan kesalahannya.
Heng mengaku bersalah atas satu dakwaan menceroboh privasi wanita dengan tujuan menghina kehormatan mereka dengan merakam video mereka dalam 27 kejadian antara 1 Julai hingga 22 Oktober tahun lalu.
Mahkamah difahamkan Heng berada di mall Velocity di Novena Square untuk temu janji perubatan pada 22 Oktober 2018 apabila terlihat seorang wanita berpakaian serba merah.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Wong Hee Jin, pelajar Higher NITEC itu mengekori wanita tersebut menaiki tangga bergerak lalu merakamnya menggunakan telefonnya.
Seorang lelaki berusia 51 tahun yang berdekatan ternampak perbuatan Heng dan mengekorinya, sebelum menahannya dan menelefon polis. Mangsa kejadian beredar dan tidak dapat dikesan.
Analisis forensik ke atas telefon Heng menemui 27 rakaman serupa melibatkan 27 mangsa wanita.
Heng mengaku merakam kesemua video itu antara 1 Julai hingga 22 Oktober di Hillion Mall, Lot 1, Velocity dan JEM.
Peguam bela, Mohamed Fazal Abdul Hamid, menggesa mahkamah agar berlembut dan mengenakan hukuman probesen.
"Ibu bapanya amat risau tentang kemaslahatannya dan berjanji akan memantaunya dengan lebih teliti agar dia tidak mengulangi kesalahan," kata peguam itu. "Harapan mereka adalah agar dia berjaya di sekolah dan mendapat pekerjaan dan menyumbang kepada masyarakat."
Encik Fazal berkata Heng mengaku bersalah apabila ditahan dan bekerjasama semasa setiap peringkat siasatan polis. Beliau menambah pemulihan patut dijadikan pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman memandangkan dia pesalah muda berusia 20 tahun.
Heng patut diberikan peluang meneruskan pembelajaran akademiknya, menurut peguam tersebut, yang menambah bahawa dia mendapat sokongan utuh keluarga.
Ibu bapa Heng membayar bon S$5,000 sebagai jaminan kelakuan baiknya semasa menjalani probesen. Dia diarah berada di rumah dari 10.00 malam hingga 6.00 pagi dan telefon bimbitnya dirampas polis untuk dihapuskan.
Atas kesalahan menghina kehormatan wanita, Heng boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.