Skip to main content

Singapura

Pelajar hisap vape kerana mesra kos, lebih 'cool', tingkatkan status sosial & harga diri: Bekas pengguna

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semasa menuntut di politeknik, ‘Hassan’ (bukan nama sebenar) menghadapi pelbagai masalah kehidupan dan tekanan.

Dia cuba mencari jalan keluar dan akibat tekanan rakan-rakan sebaya, ‘Hassan’ mahu cuba merokok tapi berfikir dua kali kerana ia agak mahal, bau dan kotak rokok juga sukar disembunyikan.

Maka itu, ‘Hassan’ tertarik untuk mencuba vape atau iaitu peranti elektronik yang digunakan untuk menyedut wap dengan perisa pilihan.

"Ketika menjalani pengajian di peringkat universiti, vape jenis kecil dan kompak senang untuk dibawa ke mana-mana dan saya boleh menyeludup vape itu ke dalam kelas. Sebelum pensyarah saya mula pengajar, saya akan ke tandas dan menghisap vape secara senyap-senyap," kata beliau.

Beliau juga menekankan bahawa ia lebih 'muai' untuk membeli sebuah peranti vape berbanding dengan sekotak rokok disebabkan harga rokok yang lebih mahal.

a
Gambar Hiasan (Gambar: Pexels/Renz Macorol)
"Seseorang juga boleh menghisap vape lebih kerap dan lebih banyak kali kerana vape 'pods' yang tahan lama. Namun ini juga bergantung kepada pengguna," kata ‘Hassan’.

"Menghisap vape diibaratkan sebagai wadah untuk 'membebaskan' diri dari bebanan hidup dan juga sesuatu yang seronok dan manis yang boleh dinikmati," tambahnya.

CARA ALTERNATIF UNTUK BERHENTI MEROKOK

Dia juga berkongsi bahawa rakan-rakan sebayanya mula terjebak dengan vape kerana sangkakan ia kaedah alternatif untuk berhenti merokok.

"Ada beberapa rakan saya yang bergelut untuk berhenti merokok sepenuhnya selama bertahun-tahun, namun mereka gagal. Jadi dengan produk alternatif seperti menghisap vape, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka," ujarnya.

Pada awalnya, ‘Hassan’ kata mereka berasa was-was dan kurang selesa untuk mendapatkan vape.
Gambar Hiasan (Gambar: Pexels/Tnarg)
"Mereka harus berhubung dengan penjual produk haram dan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, namun perasaan bersalah itu tidak melebihi keinginan mereka untuk berhenti merokok dan menjaga kesihatan," jelas beliau.

‘Hassan’ adalah antara individu yang mula terjebak dengan vape sewaktu menuntut di bangku sekolah.

Ini merupakan satu trend yang membimbangkan ramai.

Dalam sesi parlimen pada Selasa (3 Okt), Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman mendedahkan bahawa seramai 800 pelajar dari sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi (IHL) ditangkap menghisap vape dan dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 2022.

Jumlah ini merupakan lonjakan besar berbanding 50 kes pada 2020.

Beliau turut mendedahkan bahawa Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) "bimbang" tentang situasi penggunaan vape, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga dalam masyarakat.
HISAP VAPE KERANA LEBIH MUAI, LEBIH 'COOL', STATUS SOSIAL & HARGA DIRI MENINGKAT

Apabila ditanya mengapa para pelajar lebih gemar menghisap vape dan sebab ia 'mesra-pelajar', ‘Hassan’ menjelaskan bahawa mereka tertarik dengan bau wangi dan rasa yang manis ketika menghisap vape.

Menurut beliau lagi, para pelajar yang menghisap vape tampil lebih 'cool' dan lebih disenangi rakan-rakan sebaya -tatus sosial mereka dan juga harga diri kononnya akan meningkat apabila menghisap vape.

‘Hassan’ juga berkata ia amat mudah untuk para pelajar mendapatkan vape.

"Ia sangat mudah bagi sesiapa sahaja, seperti saya untuk mendapatkan produk vape melalui saluran mesej seperti Telegram di mana produk ini dijual tanpa memerlukan bukti pengenalan atau umur, semuanya kerana kurangnya peraturan".

Ia juga lebih mudah kerana pembayaran boleh dibuat melalui akaun perbankan seperti PayNow.

Malah, beliau sendiri sudah mula membeli alat vape sebelum mencapai umur yang dibenarkan untuk menghisap rokok.
Gambar Hiasan (Gambar: Pexels/ Renz Macorol)

Cara lain menurutnya adalah untuk menyeludup masuk peralatan vape ini dari seberang tambak.

"Para peniaga juga beritahu saya bahawa tiga suku dari pembeli berasal dari Singapura," katanya.

Setelah tamat pengajian di universiti, ‘Hassan’ lebih peka dengan bahaya vape, mengambil iktibar dan memutuskan untuk berhenti merokok kerana khuatir akan masalah kesihatan yang boleh dihidapi sekiranya meneruskan tabiat buruk itu.

PANDANGAN KAUNSELOR BERHENTI MEROKOK TENTANG MENGHISAP VAPE

Dalam komentarnya yang ditulis bagi laman CNA pada 30 Jun 2023, kaunselor berhenti merokok dan ahli farmasi di Success Alliance Enrichment, Sean Ang,mengongsikan bahawa lebih ramai yang datang untuk mendapatkan bantuan berhubung masalah menghisap rokok dan vape dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Encik Sean mempunyai pengalaman 13 tahun membantu para perokok dan penghisap vape menghentikan tabiat tersebut.

"Ada beberapa yang datang kerana khuatir akan masalah kesihatan tetapi kebanyakannya tidak bimbang dengan kesan kesihatan berbanding dengan menghisap rokok," kata Encik Sean.

Encik Sean juga menjelaskan bahawa terlalu banyak peranti dan alat vape yang tersedia di pasaran yang membuatkan ia sukar buat karyawan jagaan kesihatan mengenal pasti kandungan di dalam vape 'pod'.

"Dengan ini, ia sukar buat mereka untuk mengesyorkan cara yang betul untuk membantu mereka yang menghisap vape untuk berhenti," kongsi beliau.

Menurut Encik Sean, mereka masih mencari huraiannya tetapi ia akan mengambil masa yang lebih lama dan boleh membantutkan semangat pengguna yang sedang dalam proses untuk berhenti.

"Matlamat terakhir setiap sesi terapi adalah untuk menjadi bebas nikotin dan bukan sahaja berhenti merokok".

"Setiap produk yang mengandungi nikotin berisiko. Nikotin dikenali sebagai ubat yang boleh menyebabkan seseorang ketagih dan meningkatkan tekanan darah, denyutan jantung dan penyempitan saluran darah. Ia juga mengubah cara otak berfungsi," kata Encik Sean.

Pengunaan vape diharamkan di Singapura dan esalah boleh didenda sehingga S$2,000.

Selain itu, perbuatan mengimport, mengedarkan dan menjual produk sedemikian juga diharamkan.

Pesalah boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Pesalah berulang berdepan hukuman yang lebih berat.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita