Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar didenda S$1,200, langgar peraturan COVID-19 pada perhimpunan Malam Tahun Baru di Clarke Quay

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja didenda S$1,200 pada Selasa (17 Mei) kerana melanggar peraturan COVID-19 semas perhimpunan spontan Malam Tahun Baru di Clarke Quay. 

Adam Abdullah, 19 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan melanggar Akta COVID-19 (Langkah Sementara) kerana gagal menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter di tempat awam.

Warga Singapura itu adalah antara sekurang-kurangnya 14 orang yang didakwa berhubung perhimpunan itu, beberapa daripada mereka sudah didenda mahkamah sebelum ini.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum ini menyatakan 19 orang dikenakan denda kerana melanggar langkah pengurusan selamat di perhimpunan itu.

Video yang diedarkan di media sosial pada Januari menunjukkan orang ramai berkumpul di luar Riverside Point di Clarke Quay untuk menyambut tahun baru. Pasukan bertindak berbilang kementerian bagi menangani COVID-19 menyifatkan pesta itu sebagai "berpotensi menyebarkan COVID-19 secara besar-besaran".

Mahkamah diberitahu bahawa sebelum tengah malam 31 Dis 2021, Adam dan sekitar enam rakannya berada dekat Read Bridge, di luar Riverside Point.

Pada masa yang sama, Kotra Venkata Sai Rohankrishna yang berusia 20 tahun sedang merakam kandungan untuk saluran YouTubenya bersama tiga yang lain.

Kotra memakai kostum Spiderman dan menemu bual orang di kawasan itu dengan kamera, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jeremy Bin.

Kedua-dua kumpulan itu bertemu kira-kira tengah malam apabila Adam melihat Kotra  dengan topeng kostumnya ditarik. Kotra didakwa tidak memakai pelitup ketika itu.

Adam yang juga   melepaskan pelitup ke bawah dagunya, mendekati Kotra dan memberi salam dengan kuat. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada kedua-duanya mengenali satu sama lain sebelum ini.

“Dalam proses itu, dia gagal menjaga jarak sekurang-kurangnya 1m dari (Kotra). Ini dirakam dalam video (Kotra),” kata DPP Bin.

Kes Kotra sedang menunggu dibicarakan.

Pada Selasa, hakim daerah memberitahu Adam bahawa peguam Kotra telah meminta anak guamnya dikenakan probesen sebagai ganti dengan denda.

Hakim kemudian bertanya kepada Adam, yang tidak mempunyai peguam, jika dia juga akan meminta dikenakan probesen memandangkan dia setahun lebih muda daripada Kotra.

Menjawab, Adam berkata dia tidak mahu menangguhkan lagi kesnya dan  meminta didenda.

Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan COVID-19 boleh didenda sehingga S$10,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan