Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar dan kakitangan kontak rapat kes COVID-19 boleh kembali ke sekolah jika dapat keputusan ART negatif: MOE

Kementerian Pendidikan (MOE) tidak lagi akan memberikan cuti ketidakhadiran dan ketidakhadiran diluluskan bagi sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah pendidikan khas, maktab rendah dan Institut Millenia, sejajar dengan protokol baru dari pihak berkuasa kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar dan kakitangan kontak rapat kes COVID-19 boleh kembali ke sekolah jika dapat keputusan ART negatif: MOE

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 10 Oct 2021 06:24PM Dikemas Kini : 10 Oct 2021 06:26PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) tidak lagi akan memberikan cuti ketidakhadiran dan ketidakhadiran diluluskan bagi sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah pendidikan khas, maktab rendah dan Institut Millenia, sejajar dengan protokol baru dari pihak berkuasa kesihatan.

Sebaliknya, pelajar yang dikenalpasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 akan menerima amaran risiko kesihatan (HRW) selama tujuh hari.

Demikian menurut MOE dalam kemas kini mengenai langkah-langkah pencegahan COVID-19 bagi sekolah dan institut pengajian tinggi pada Ahad (10 Okt).

Semasa tempoh HRW selama tujuh hari itu, pelajar boleh kembali ke sekolah jika mereka sihat dan mendapat keputusan negatif daripada ujian pantas antigen (ART) pertama mereka.

Pelajar dan kakitangan yang kini dikuarantin, atau diberi cuti ketidakhadiran atau ketidakhadiran diluluskan boleh kembali ke sekolah selagi mereka sihat dan keputusan ujian ART mereka negatif pada hari mereka pergi ke sekolah.

Institut pengajian tinggi juga akan mengikuti protokol yang sejajar dengan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), menurut kenyataan itu lagi.

SEKILAS LANGKAH-LANGKAH BARU

- Bagi kes disahkan COVID-19, pelajar dan kakitangan tidak dibenarkan datang ke sekolah atau kampus sehingga tamat tempoh arahan pengasingan

- Bagi kes notis jangan keluar mereka, mereka juga tidak dibenarkan kembali ke sekolah atau kampus sehingga notis itu berakhir

- Mereka yang menerima amaran risiko kesihatan dari MOH dibenarkan kembali ke sekolah atau kampus selepas mendapat keputusan negatif bagi ujian pantas antigen (ART) pertama mereka. Mereka harus mendapat keputusan negatif ART setiap hari selama tujuh hari berturut-turut sebelum boleh keluar rumah. Jika keputusan ujian pada hari ketujuh adalah negatif, mereka tidak lagi perlu menjalani ujian

KEMAS KINI ATURAN PEPERIKSAAN

MOE dalam kenyataan bersama dengan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) menyatakan calon yang diberikan amaran risiko kesihatan dibenarkan menduduki peperiksaan akhir tahun, termasuk peperiksaan sains praktikal.

Mereka juga dibenarkan menaiki pengangkutan awam ulang alik ke tempat peperiksaan, menurut kenyataan itu.

Pelajar harus memaklumkan kepada pihak sekolah tentang hasrat mereka untuk menduduki peperiksaan, mempunyai keputusan negatif ART pada hari pertama amaran risiko kesihatan dikenakan serta pada hari mereka bakal menduduki peperiksaan, sebelum keluar rumah.

Mereka juga mesti menunjukkan gambar keputusan negatif ujian ART kepada pengawas peperiksaan, menurut kenyataan bersama itu.

"Langkah pengurusan selamat yang ketat akan dilaksanakan di tempat peperiksaan untuk calon yang dikenakan amaran risiko kesihatan. Ini termasuk ditempatkan dalam bilik, tempat atau makmal berasingan dari calon-calon lain; tempat duduk disusun dengan jarak 3 meter bagi peperiksaan bertulis," menurut kenyataan itu.

Bagi calon yang diberi cuti sakit, mereka juga boleh menduduki peperiksaan jika sudah sembuh sepenuhnya dan mesti mengambil ujian kendiri ART di rumah serta menunjukkan keputusan negatif ujian itu kepada pengawas peperiksaan.

Langkah-langkah tersebut juga adalah bagi kertas peperiksaan nasional akhir tahun dan sains praktikal 2021, berkuat kuasa mulai 11 Oktober.

Seperti diumumkan sebelum ini, calon yang terlepas mengambil sebarang kertas peperiksaan nasional atas sebab yang sah, termasuk berkaitan COVID-19, boleh memohon mendapatkan pertimbangan khusus, menurut kenyataan itu.

Ini bermakna gred akan dinilai berdasarkan merit setiap kes dan akan diberikan berdasarkan data tentang calon itu seperti prestasi mereka dalam kertas peperiksaan lain bagi subjek yang terjejas. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan