Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar cemerlang Politeknik Temasek, Zaki Zulkhairi, antara penerima Anugerah Lee Kuan Yew

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menggunakan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memantau dan menggalak cara pembuangan sampah yang betul di kawasan perumahan HDB.

Ini merupakan antara objektif yang harap dapat dicapai menerusi projek tahun akhir Muhammad Zaki Zulkhairi, 20 tahun, yang berjudul "Smart Waste Disposal Guard".

"Kami menggunakan alat-alat seperti komputer Nano Jetson, Televisyen Litar Tertutup (CCTV) dan lampu amaran untuk membuat sebuah inovasi bagi menggalakkan penduduk-penduduk di HDB untuk buang sampah dengan betul," kongsi pelajar Politeknik Temasek itu.

Sebenarnya, idea ini tercetus apabila dia dan rakan-rakan berjalan di kawasan perumahan HDB Tampines dan mendapati ramai orang tidak membuang sampah dengan betul.

Akibatnya, kawasan itu kotor dan berbau busuk.

Maka lahirlah projek mereka ini, dengan kerjasama Majlis Bandaran Tampines.

Ia juga dibiayai oleh Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) menerusi Program 'Project Code Red'.

Dengan kecerdasan buatan (AI) dan analitik video, tahap kebersihan tempat buang sampah di blok-blok HDB kini lebih mudah dipantau.

Misalnya, lampu amaran akan menyala untuk menandakan sesebuah kawasan itu kotor dan kadar muatan sampah sudah penuh.



Televisyen Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang pula akan dapat mengesan sampah di situ dan menerusi kiriman gambar kepada aplikasi khas, penduduk juga boleh melihat tahap kotorannya.

"Kami berharap mereka akan bertimbang rasa dan mengambil bertanggungjawab apabila membuang sampah mereka, jadi kami boleh mempunyai kawasan kejiranan yang bersih," ujar Zaki.

PELAJAR CEMERLANG POLITEKNIK TEMASEK ANTARA PENERIMA ANUGERAH LEE KUAN YEW

Zaki merupakan antara penerima Anugerah Lee Kuan Yew dari Politeknik Temasek, dan bakal meraih sijil diploma dalam Kejuruteraan Komputer di majlis konvokesyennya pada 5 Mei nanti.

Ini di samping hampir 6,500 pelajar lain yang akan meraih diploma dari Politeknik Temasek di majlis konvokesyen masing-masing bermula 4 Mei hingga 12 Mei.



Dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (cGPA) penuh iaitu empat mata, Zaki merupakan antara penerima Anugerah Lee Kuan Yew, yang diiktiraf dalam Majlis Penyampaian Graduan-Graduan Terbaik Politeknik Temasek hari ini (26 Apr).

"Anugerah ini adalah hasil kerja keras saya selama tiga tahun di Temasek Politeknik dan juga hasil usaha orang yang sudahpun menolong saya di sini," kata Zaki, yang juga melahirkan rasa syukur dan penghargaannya buat ibu bapanya kerana memberi motivasi dan membantunya apabila dia berdepan dengan masalah.

"Kepada mereka yang memberikan anugerah ini kepada saya, ia bermakna mereka mempercayai yang saya ada potensi untuk menolong meningkatkan teknologi di Singapura," tambah Zaki lagi.

Bagi pelajar yang juga aktif dalam aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah, ada juga cabaran yang dihadapi dalam proses menyelesaikan projek ini.

"Terdapat enam orang di kumpulan kami, dan walaupun kami semua bijak dan kami semua boleh membuat tugas-tugasan individu kita, saya berasa yang kami menghadapi banyak masalah apabila cuba menyepadukan tugas-tugas individu kami itu," luah Zaki kepada BERITAmediacorp.

Namun, dengan kerja keras dan sifat saling membantu, masalah ini dapat diselesaikan menurutnya lagi.

KOMITMEN LAIN DI LUAR BILIK DARJAH TIDAK JEJAS TUMPUAN ZAKI SELESAIKAN PROJEK

Bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, Zaki juga aktif dalam aktiviti luar bilik darjah sehingga pernah menerima Anugerah Dedikasi CCA pada 2021.

Dia juga rajin membuat kerja-kerja sukarelawan dengan menyumbang tenaga membantu murid-murid dengan kerja rumah mereka di Sekolah Rendah Tampines North.

Namun, komitmen lain ini tidak sesekali pun menjejas tumpuan Zaki dalam menyelesaikan projeknya ini.



"Saya rasa motivasi yang paling penting adalah tujuan projek kami untuk menolong orang kerana saya berasa menolong orang sangat memuaskan," kongsi Zaki yang mempunyai tiga orang adik-beradik.

"Dalam konteks ini, saya rasa kawasan kejiranan yang bersih sangat penting kerana ada ramai orang yang tinggal di kawasan HDB dan apabila saya berfikir untuk menolong ramai orang di sini, saya berasa bangga dan sangat terdorong untuk menyelesaikan projek saya apabila saya berasa penat atau tertekan," tambah Zaki lagi.

Selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Zaki ingin melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU) atau Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Dengan kemahiran yang saya raih dari Universiti ini, saya ingin membuat lebih banyak lagi projek yang akan menolong orang pada masa hadapan," kata Zaki.

Dua universiti tempatan itu menjadi pilihan Zaki kerana dia percaya bahawa institusi-institusi ini dilengkapi dengan teknologi terkini dan menyediakan banyak peluang untuk dia meningkatkan kemahirannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan