Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar cemerlang Nurqistina Atiqah dan Umar Abdillah Shah terima Anugerah Khas MOE 2022

Pencapaian cemerlang hampir 200 pelajar daripada 104 institusi pendidikan dalam bidang akademik dan bukan akademik diraikan dalam majlis penyampaian Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar cemerlang Nurqistina Atiqah dan Umar Abdillah Shah terima Anugerah Khas MOE 2022

Penerima Anugerah Khas MOE 2022 (dari kiri) Umar Abdillah Shah Mohamed Adam Shah dan Nurqistina Atiqah Abu Bakar. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Pencapaian cemerlang hampir 200 pelajar daripada 104 institusi pendidikan dalam bidang akademik dan bukan akademik diraikan dalam majlis penyampaian Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (29 Ogos).

Tahun ini, sebanyak 206 Anugerah Khas daripada 11 kategori diberikan.

Kesemua anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman semasa majlis itu di Pusat Budaya Universiti di Universiti Nasional Singapura (NUS) siang tadi.

Dalam ucapannya, Dr Maliki menekankan pentingnya mempunyai sikap mahu terus memperbaiki diri dan inovatif.

"Sedang para pelajar kita cemerlang dalam pelbagai bidang dan menaruh masa dan usaha untuk membangun secara menyeluruh, adalah penting juga bagi mereka untuk mempunyai set pemikiran untuk berkhidmat yang diusahakan dengan tingkah laku.

"Pembelajaran kita bukan sahaja untuk memperbaiki diri kita. Pembelajaran kita, dengan empati dan sensitiviti, adalah untuk memperbaiki kehidupan orang lain dan ini akan menyumbang kepada membentuk budaya saling menjaga dan baik budi dalam masyarakat kita bagi kebaikan kita semua," kata Dr Maliki.

NURQISTINA ATIQAH TERIMA DUA ANUGERAH KHAS MOE

Salah seorang pelajar yang menerima lebih daripada satu anugerah tahun ini adalah bekas pelajar ITE Kolej Timur, Nurqistina Atiqah Abu Bakar.

Beliau dikurniakan dengan Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang dan Biasiswa Lee Kuan Yew untuk Menggalakkan Peningkatan.

"Saya amat berterima kasih atas semua peluang yang diterima dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk berikan anugerah ini," katanya kepada BERITAmediacorp.

Selaku Presiden bagi Jawatankuasa Pelajar semasa di ITE, Cik Nurqistina aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Antara projek yang dipimpinnya termasuk usaha meningkatkan kesedaran ramai mengenai kelestarian alam sekitar.

Kekuatan Nurqistina selaku seorang pemimpin bukan sahaja diiktiraf oleh rakan-rakan sekolah, malah juga oleh rakan-rakan kongsi industri.

Nurqistina dipilih sebagai 'Valedictorian' bagi latihan amali ITE-McDonald's pada 2021/2022.

Kini, beliau menuntut di Politeknik Temasek dan mengambil kursus Diploma dalam bidang Undang-undang dan Pengurusan.

Pelajar berusia 19 tahun percaya ini akan membawanya lebih dekat lagi untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pendakwa raya.

UMAR ABDILLAH SHAH PENERIMA HADIAH BUKU PERDANA MENTERI

Seorang lagi penerima Anugerah Khas MOE adalah Umar Abdillah Shah Mohamed Adam Shah.

Pelajar dari Institusi Raffles itu merupakan salah seorang penerima Hadiah Buku Perdana Menteri bagi peringkat sekolah menengah tahun ini.

Sebagai seorang individu, Umar berpegang pada prinsip untuk melakukan yang terbaik dalam segala apa yang dilakukan.

Dalam kegiatan luar darjahnya, Umar sentiasa bersedia untuk membantu rakan-rakannya.

Dia percaya pembelajaran itu bukan sahaja untuk meraih gred yang baik semata-mata tapi juga menimba kemahiran untuk melakukan perubahan yang bermanfaat untuk masyarakat.

Menurut Umar, segala pencapaiannya juga tidak mungkin dapat tercapai jika tidak kerana sokongan oleh tunggak kekuatannya iaitu ibu bapa beliau.

"Terdapat ramai orang yang telah memainkan peranan penting dalam kehidupan saya terutama sekali ibu bapa saya yang tidak pernah kenal erti lelah dan sentiasa mendorong serta membuat saya lebih bersemangat.

"Saya rasa amat bersyukur untuk menjadi penerima anugerah ini. Sebenarnya saya tidak sangka diberi peluang keemasan ini jadi saya amat berterima kasih dan juga berbesar hati," kata Umar.

Umar, Nurqistina dan pelajar cemerlang lain diraikan dalam majlis penyampaian yang diadakan secara fizikal tahun ini sejak pandemik COVID-19 melanda.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan