Pelajar boleh ambil keputusan peperiksaan dengan langkah keselamatan COVID-19
Meskipun di tengah-tengah penularan COVID-19, para pelajar akan dapat mengambil keputusan peperiksaan nasional mereka sendiri tahun ini tetapi dengan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
SINGAPURA: Meskipun di tengah-tengah penularan COVID-19, para pelajar akan dapat mengambil keputusan peperiksaan nasional mereka sendiri tahun ini tetapi dengan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
Dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa (27 Okt), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) menyatakan pihaknya "mengakui bahawa mengambil keputusan peperiksaan mereka sendiri adalah sebahagian penting daripada perjalanan pendidikan untuk ramai pelajar".
"Ia memberi mereka peluang untuk bersama rakan-rakan sekelas mereka dan mendapatkan nasihat daripada guru mereka mengenai langkah-langkah selanjutnya, jika perlu. Oleh itu, aturan akan dibuat untuk para calon sekolah kembali ke sekolah masing-masing pada hari keputusan dikeluarkan, untuk mengambil keputusan daripada guru mereka secara peribadi," tambah kedua-dua pihak tersebut.
Para pelajar perlu mendaftar masuk menggunakan SafeEntry, dan disaring untuk gejala demam dan selesema.
Bagi mengelakkan kesesakan, pengambilan keputusan tahun ini akan dilakukan dalam kumpulan kecil di bilik-bilik darjah berasingan, dan bukannya di tempat-tempat yang menampung ramai orang seperti dewan sekolah.
Calon Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), yang lebih muda dan mungkin memerlukan lebih banyak sokongan, boleh ditemani oleh ibu bapa atau pengasuh mereka. Bagaimanapun, ibu bapa atau pengasuh perlu menunggu di ruang-ruang bersama yang ditetapkan sementara anak atau anak asuhan mereka mengambil keputusan di dalam bilik darjah.
Bagi calon peperiksaan peringkat GCE, hanya pelajar akan dibenarkan memasuki sekolah.
(Sumber: MOE, SEAB)
Seperti diamalkan sekarang, para calon privet akan diberitahu mengenai keputusan mereka menerusi pos. Kertas keputusan dan sijil akan dihantar ke alamat pos yang diberikan oleh calon-calon ini.
Para pelajar juga dapat melihat keputusan peperiksaan mereka secara online pada hari keputusan dikeluarkan. Ini boleh dilakukan melalui sistem pengeluaran keputusan SEAB di laman webnya.
Para calon sekolah tidak seharusnya kembali ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka jika mereka berasa tidak sihat, atau dikenakan kuarantin, notis jangan keluar rumah atau cuti ketidakhadiran pada hari keputusan dikeluarkan.
Mereka sebaliknya harus mendapatkan keputusan mereka secara online dan mengambil salinan kertas keputusan pada tarikh kemudian, kata MOE dan SEAB.
PELAJAR BOLEH LANTIK WAKIL UNTUK AMBIL KEPUTUSAN
Para calon yang tidak dapat mengambil keputusan mereka di sekolah boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan mereka, serta Borang Pilihan Menengah 1, Borang Urusan Kemasukan Bersama, borang Program Asas Politeknik atau borang Urusan Pengambilan Bersama bagi pihak mereka.
Sekiranya mereka tidak dapat melantik wakil untuk mengambil keputusan, mereka boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan bagi menghantar keputusan dan borang-borang berkaitan kepada mereka.
Calon boleh menggunakan sistem pengeluaran keputusan SEAB dengan kata laluan janaan sistem yang dikeluarkan oleh SEAB atau dengan SingPass mereka. Calon PSLE ​​akan menerima kata laluan janaan sistem yang dikeluarkan oleh SEAB melalui sekolah-sekolah mereka dari 12 November.
Para calon peringkat GCE yang layak untuk SingPass dinasihati agar mengaktifkan SingPass mereka lebih awal. Calon yang tidak layak untuk SingPass akan menerima kata laluan janaan sistem dari SEAB melalui emel beberapa hari sebelum keputusan dikeluarkan.
Maklumat lebih terperinci akan disediakan dalam pengumuman masing-masing mengenai tarikh keputusan peperiksaan peringkat GCE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.