Pelajar berulang kali ditangkap hisap vape boleh digantung sekolah sehingga 14 hari, disebat 3 kali
Menteri Pendidikan Desmond Lee bercakap dalam sidang media mengenai usaha menangani penggunaan vape pada 28 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Pesalah kali pertama di sekolah akan dikenakan tahanan (detention) selama satu hingga tiga hari dan/atau digantung sekolah selain pengubahan pada gred tingkah laku mereka.
Pelajar lelaki juga boleh dikenakan satu sebatan rotan.
Pesalah berulang pula akan dikenakan tahanan lima hingga 14 hari dan/atau digantung sekolah, serta menyaksikan perubahan gred kelakuan kepada "lemah".
Pelajar lelaki boleh dikenakan sehingga tiga sebatan.
Para pesalah kali pertama dan kedua yang menghisap vape mengandungi etomidate, yang dikenali sebagai Kpod, akan dikenakan tindakan disiplin yang lebih tegas, termasuk tahanan dan/atau digantung sekolah lebih lama serta dikenakan sebatan tambahan.
Sekolah mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tambahan berdasarkan penilaian masing-masing.
Sebagai contoh, pelajar sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia boleh dibuang sekolah jika didapati menjual atau mengedar vape.
Bagi hukuman sebatan, sekolah akan mengambil kira faktor-faktor seperti usia dan tahap kematangan pelajar serta sama ada pelajar mempunyai keperluan khas atau isu kesihatan mental.
Selain hukuman disiplin yang lebih berat, pelajar juga akan dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dikenakan tindakan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) atau Biro Narkotik Pusat (CNB).
Ibu bapa sudah dimaklumkan mengenai langkah-langkah disiplin baharu ini melalui portal Parents Gateway.
HUKUMAN BAGI PELAJAR IHL
Bagi institusi pengajian tinggi, pesalah kali pertama yang ditangkap menghisap vape - sama ada mengandungi etomidate atau tidak - akan menerima surat amaran dan dikenakan denda oleh institusi dan/atau arahan menjalani khidmat masyarakat.
Mereka juga akan diusir dari asrama dan kehilangan keistimewaan seperti peranan kepimpinan pelajar, penyertaan dalam pertandingan, peluang ke luar negara, biasiswa dan anugerah.
Pesalah berulang akan digantung sekolah, manakala mereka yang menghisap Kpod boleh dibuang sekolah dari institusi mereka.
Encik Lee berkata Kementerian Pendidikan (MOE) mengambil “pendirian tegas terhadap perbuatan menghisap vape” di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Ini bukan sekadar tentang peraturan. Kita mahu dan perlu melindungi golongan muda kita dan memastikan mereka mempunyai peluang untuk berjaya,” tulisnya.
Bilangan pelajar yang ditangkap menghisap vape meningkat kepada purata 3,100 setahun antara 2022 hingga 2024, menurut data baharu dari MOE.
Sekitar 800 pelajar IHL ditangkap setiap tahun sepanjang tempoh yang sama.
Sebaliknya, kurang daripada 50 kes dari sekolah dan IHL dirujuk kepada HSA sebelum 2020.
Menyusuli permintaan daripada pihak sekolah, kit ujian nikotin juga diberikan kepada kira-kira 260 sekolah sejak Mac, dedah MOE pada Khamis.
Beberapa sekolah juga telah menggunakan pengesan logam untuk mengesan peranti berkaitan vape.
Pemerintah juga akan meningkatkan usaha pendidikan awam dengan memasukkan mesej membanteras vape dalam bahan pembelajaran dan program pencegahan di sekolah.
Hukuman yang lebih berat terhadap pelajar selaras dengan denda yang lebih tegas terhadap perbuatan menghisap vape yang akan berkuat kuasa mulai 1 September, seperti yang diumumkan dalam sidang media pada Khamis (28 Ogos) mengenai usaha pemerintah untuk membanteras vape.
Buat masa ini, sesiapa sahaja yang ditangkap menghisap vape dikenakan denda S$300 jika mereka berusia bawah 18 tahun, dan S$500 jika 18 tahun ke atas, tanpa mengira sama ada itu kesalahan pertama atau berulang.
Berkuat kuasa 1 September, pesalah kali pertama bawah usia 18 akan dikenakan denda yang dinaikkan kepada S$500, manakala mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan dikenakan denda S$700.
Pesalah kali kedua pula perlu menjalani program pemulihan selama tiga bulan, dan pesalah berulang akan didakwa serta boleh dikenakan denda maksimum S$2,000.
Etomidate juga akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Di bawah rangka kerja baharu ini, pesalah Kpod kali pertama akan dikenakan denda yang sama seperti dinyatakan, tetapi mesti juga menghadiri program pemulihan yang boleh dijalankan sehingga enam bulan.
Pesalah kali kedua akan ditahan dan disiasat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah. Pesalah berulang yang berusia lebih 16 tahun akan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah dan menjalani program pemulihan, diikuti dengan pengawasan serta ujian dadah selama 12 bulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.