Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar banduan cemerlang dorong guru, pegawai di sekolah penjara

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Semakin ramai banduan yang mengikuti program pendidikan penjara meraih keputusan baik.

Ini menjadi pembakar semangat bagi seorang guru, Cik Nur Emelda Jumari, 39 tahun. Beliau sudah berkhidmat sebagai guru bahasa Melayu selama tujuh tahun di Sekolah Penjara Tanah Merah dan sebelum ini mengajar di sekolah-sekolah awam selama 6 tahun.

Cik Emelda akui cabaran yang harus dihadapi semasa mengajar para banduan di sekolah penjara.

Antaranya adalah mengajar pelajar daripada lingkungan usia yang berbeza iaitu 20-an tahun sehingga pelajar berusia 50-an dan 60-an tahun.

"Cabaran yang kedua pula adalah kerana di dalam sekolah penjara satu ciri istimewa kami adalah "compressed curriculum" iaitu kurikulum yang dimampatkan, maksudnya pelajar itu akan belajar dari bulan Januari dan harus menduduki peperiksaan GCE pada akhir tahun. Itu merupakan satu cabaran di mana guru-guru dan para pelajar harus besedia untuk menduduki peperiksaan dalam masa lebih 10 bulan," ujar Cik Emelda.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mengajar pelajar yang lebih fasih dalam bahasa dan mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan.

Cik Emelda turut menitikberatkan sokongan yang diberikan kepada para banduan.

"Antara mereka yang datang ke sekolah penjara ada yang rasa sangat takut dan gementar kerana mungkin mereka sudah lama tidak belajar dan sudah lama tinggalkan zaman persekolahan, jadi apa yang saya lakukan adalah memberikan banyak sokongan dan juga memberikan banyak kata-kata perangsang," kata Cik Emelda.

Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap pelajarnya yang berjaya meraih Gred A bagi H1 Bahasa Melayu pada peperiksaan GCE 'A' yang lepas.

"Saya berasa sangat bangga dan juga sangat-sangat gembira bila mendapat tahu beliau mendapat Gred A bagi H1 Bahasa Melayu dan itu merupakan satu pencapaian yang sangat luar biasa kerana di sekolah penjara ini, kami cuba untuk membantu sebanyak mungkin tetapi pelajar itulah yang menentukan kemajuan dan juga kejayaan mereka sendiri," ujar beliau dengan nada gembira.

Selain guru, Pegawai Unit Pembetulan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan para pelajar banduan kekal berdisiplin ketika pembelajaran dijalankan.

Encik Nor Qaharuddin, 39 tahun, yang sudah berkhidmat sebagai Pegawai Unit Pembetulan di Institusi Tanah Merah 1 selama 13 tahun memberitahu BERITAMediacorp bahawa antara pembakar semangat untuk terus menjalankan tugasnya adalah beliau berpeluang untuk mendidik para banduan menjadi insan yang lebih baik dalam masyarakat.

"Kita tidak mengharapkan 100 peratus jumlah pelajar yang kita ada di sini untuk lulus dalam peperiksaan, kami lebih menerapkan unsur-unsur atau sifat-sifat 'life values' bukan sahaja di dalam penjara tapi yang lebih penting apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga," kata Pegawai Unit Pembetulan, Encik Nor Qaharuddin.
Selain itu, beliau juga menarik perhatian kepada khidmat kaunselor yang bekerja rapat dengan pegawai untuk membantu para banduan dari segi kesihatan mental.

"Para kaunselor akan datang turun padang ke penjara dan dari situ mereka akan bekerja rapat dengan pegawai. Selepas itu, kami dapat melihat peningkatan dari segi mutu atau kualiti pembelajaran mereka tahun demi tahun. Alhamdulillah semakin ramai pelajar di sini yang dapat lulus, bukan sahaja lulus biasa tetapi dengan cemerlang dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat," tambah beliau.
Jabatan Penjara Singapura (SPS) memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa jumlah para banduan yang mendaftar dalam program akademik buat tiga tahun yang lepas merosot dari 449 pelajar pada 2020 sehingga 303 pelajar tahun lepas.

Namun kemerosotan ini disebabkan beberapa faktor termasuk tempoh singkat para banduan berada di dalam penjara. Misalnya, para pelajar hanya layak untuk mengikuti program pendidikan GCE N. O dan A jika tempoh hukuman mereka di penjara melebihi setahun.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan