Pelajar Autistik Muhammad Aiman Muhammad Ali terima Anugerah Pelajar Teladan Lee Kuan Yew
SINGAPURA: Muhammad Aiman Muhammad Ali, 18 tahun, diberikan Anugerah Pelajar Teladan Lee Kuan Yew (LKY-ESA) baru-baru ini atas pelibatannya dalam bidang sukan dan tingkah laku yang baik terhadap rakan sekelasnya.
Anugerah Pelajar Teladan Lee Kuan Yew (LKY-ESA) mengiktiraf para pelajar dari sekolah pendidikan khas dibiayai pemerintah, yang bersungguh-sungguh menunjukkan contoh teladan kepada rakan sekolah melalui kemajuan dan sumbangan dalam pelbagai bidang, seperti akademik, vokasional, sukan dan seni.
Ia juga mengiktiraf sumbangan pelajar pendidikan khas kepada sekolah, masyarakat dan selainnya. 28 individu dianugerahkan LKY-ESA tahun ini.
Menteri Negara bagi Pendidikan Cik Gan Siow Huang menyampaikan anugerah tersebut di Pusat Kebudayaan Universiti Nasional Singapura pada 29 Ogos.
Yang membuatkan anugerah itu lebih istimewa lagi dan membanggakan ibu bapanya adalah Muhammad Aiman bukan seorang remaja biasa-biasa. Beliau seorang remaja yang mengalami gangguan spektrum autisme.
Muhammad Aiman didiagnos dengan autisme pada usia lima tahun. Bercakap - menyusun ayat dan menyebut perkataan-perkataan tertentu -merupakan satu perkara yang sukar bagi beliau.
Sekalipun demikian, Muhammad Aiman sudah membuktikan bahawa itu bukan hambatan untuk beliau mencapai kemajuan bagi dirinya sendiri.
JALANI PROGRAM PENDEDAHAN KERJA
Sejak usia tujuh tahun, Muhammad Aiman memulakan pendidikan di sekolah pendidikan khas di bawah kendalian Agensi Perkhidmatan Sosial (AWWA).
Kini pada usia 18 tahun, Aiman sedang menjalani Program Pendedahan Kerja bersama SBS Transit sebagai Pembantu Stesen di stesen kereta api Little India.
Aiman ditempatkan di stesen tersebut sejak 11 Januari tahun ini dan program tersebut akan berlangsung selama setahun.
Selepas waktu sekolah, beliau akan bertugas dari Rabu hingga Jumaat selama empat jam sehari.
PANDAI BAHASA KOREA, JEPUN
Disebabkan minatnya kepada teknologi, Muhammad Aiman mahir menggunakan mesin tiket dan ditugaskan untuk membantu para penumpang menambah nilai kad EZ-Link.
Selain bercakap dalam bahasa Inggeris ketika memberi arahan kepada penumpang, Muhammad Aiman juga boleh bercakap dalam bahasa Korea dan Jepun. Meskipun tidak begitu fasih, ia sedikit sebanyak dapat membantunya berkomunikasi dengan pelancong dari negara tersebut.
Ini tentu sekali satu perkembangan yang menakjubkan memandangkan kesukaran beliau untuk bercakap.
“Saya tak sangka dia akan menerima tawaran untuk menyertai program ini, disebabkan kesukarannya bercakap. Namun, selepas diberi sokongan untuk bergaul dengan orang ramai, Aiman dapat menjalankan tugas tersebut dan ia adalah satu perkara yang membanggakan saya,” tambah Cik Norzayam.
AKTIF DI SEKOLAH
Muhammad Aiman juga terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan di sekolah, terutamanya sukan renang. Beliau mewakili Sekolah AWWA@Napiri dalam pertandingan renang dan berjaya merangkul beberapa pingat.
“Minatnya dalam sukan renang bermula sejak usia tujuh tahun, kerana sejak kecil lagi kami sekeluarga mengajarnya berenang,” cerita Cik Norzayam, seorang suri rumah.
Kini, Aiman sedang menceburi sukan bowling bersama keluarganya.
PENGAWAS KELAS DI SEKOLAH
Di sekolah, Muhammad Aiman diberi tanggungjawab sebagai pengawas kelas dan beliau sangat rajin membantu gurunya. Beliau juga tidak segan menegur rakannya untuk memastikan keadaan di dalam bilik darjah terkawal.
“Aiman suka bantu gurunya. Pergaulannya bersama pelajar-pelajar yang muda sangat baik, dia adalah pengawas kelas yang sangat bertanggungjawab,” kata Cik Norzayam.
“Alhamdulillah, saya rasa gembira dengan pencapaian Aiman, walaupun berdepan cabaran, saya bersyukur.”
Dengan bantuan dan bimbingan guru-gurunya di sekolah, tidak mustahil untuk Muhammad Aiman menunjukkan perwatakan yang baik.
“Saya dapat melihat banyak perubahan dalam diri Aiman, dari segi perbualan dan interaksi dengan orang di sekelilingnya, dia lebih berani.”
“Saya senang hati dengan bimbingan yang diberikan oleh Sekolah AWWA. Saya tidak risau jika Aiman melaksanakan tugasnya di stesen kereta api, gurunya juga memantaunya seminggu sekali,” tambah Cik Norzayam.
Selepas tamat pengajiannya di Sekolah AWWA @Napiri pada hujung tahun ini, keluarganya berharap beliau dapat menyambung pelajaran di institusi-institusi lain.
Mereka juga berharap dengan pengalaman diraih daripada Program Pendedahan Kerja, ia akan membantu Muhammad Aiman mendapatkan pekerjaan sambilan tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.