Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar autistik dapat asah kemahiran dalam bidang yang diminati menerusi program baru

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kalau dahulu, Zainorrahman Mohamed Nor yang berdepan dengan gangguan spektrum autisme atau ‘Autism Spectrum Disorder with Intellectual Disabilities’ (ASD-ID), seorang yang pendiam dan tidak suka berinteraksi dengan orang lain.

Namun setelah hampir dua bulan mengikuti program baru yang dilancarkan Gerakan Bagi Golongan Kurang Upaya Intelektual (MINDS), remaja berusia 13 tahun itu kini lebih mudah berinteraksi dengan rakan-rakan dan orang di sekelilingnya.

Ibunya, Cik Iranni Rahman gembira melihat perubahan ketara anak bongsunya itu.

Lebih membanggakan beliau, anaknya berjaya menulis sebuah buku cerita tentang bidang yang diminatinya iaitu Matematik.

"Saya begitu gembira dan bangga kerana saya pun tidak sangka anak saya dapat menghasilkan satu buku cerita mengenai Matematik sebab anak saya tidak tahu komunikasi yang betul apalagi menulis buku cerita yang lengkap. Jadi guru hanya bantu membentuk ayat-ayat tersebut hingga ia menjadi buku cerita," ujar Cik Iranni Rahman kepada BERITAmediacorp.

--

Selain memberi bimbingan untuk menulis buku tentang topik yang diminati Zainorrahman, guru-gurunya juga mengenal pasti kecenderungannya dan cuba meningkatkan lagi kemahirannya dalam bidang itu.

Misalnya, Zainorrahman diberi tugasan untuk mengira barang-barang makanan yang dikumpul semasa satu acara pengumpulan derma sekolah itu kerana dia amat minat dengan nombor-nombor dan aktiviti mengira.

Dari situ, Zainorrahman mendapat ilham untuk menulis buku berjudul 'Food Donation Drive Story Sums'.

Pendekatan sebegitu yang cuba diterapkan dalam program baru MINDS itu yang dirintis di MINDS - Sekolah Fernvale Gardens.

Ia kemudian akan dilancarkan di kesemua empat sekolah MINDS secara bertahap-tahap mulai Januari 2023.

ASAH KEMAHIRAN DALAM BIDANG YANG DIMINATI

Program baru itu bertujuan untuk meningkatkan lagi minat dan keperluan pembelajarannya seseorang pelajar menerusi kurikulum yang khusus.

Dengan itu, ia menyasar membantu para pelajar memperoleh tabiat-tabiat pembelajaran, kemahiran sosial dan membina keupayaan berfikiran secara kritikal.

Malah, pembangunan kecekapan sosioemosi dan kepimpinan turut digabungkan dalam program tersebut.

Dengan memberi peluang kepada pelajar mempelajari pelbagai perkara berdasarkan minat mereka, ia dapat mendorong mereka untuk menimba ilmu dan meningkatkan lagi kemahiran.

--

Untuk menjadikannya lebih berkesan lagi, pelbagai kaedah mengajar dan pedagogi diperkenalkan seperti gabungan Pembelajaran Berdasarkan Projek dan Pembelajaran menerusi Khidmat.

Dua pendekatan ini misalnya dibangunkan dalam Projek TeamUP! di bawah program baru itu.

Menurut penyelaras Projek TeamUP!, Encik Muhammad Farid Mohd Hassan, kurikulum itu dihasilkan bagi memperkasakan pelajar autistik sekali gus memberi mereka semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan cara dan keupayaan mereka sendiri.

Menurut Encik Farid: "Kurikulum ini juga menitikberatkan minat para pelajar dan salah satu pendekatan pedagogi ialah Project TeamUP!. Pedagogi ini menyediakan platform untuk pelajar menterjemahkan minat mereka kepada sumber pembelajaran menggunakan pendekatan berasaskan projek, berpaksikan kepada lima kemahiran asas iaitu idesi, kolaborasi, kecekalan diri, penyelidikan dan penilaian."

Tambahnya, pihaknya sentiasa berusaha untuk menyediakan ruang yang selamat untuk para pelajar mengasah kemahiran komunikasi mereka tanpa berasa takut untuk melakukan kesilapan.

INFINITE@FGS ANTARA RUANG BARU YANG DILANCAR

Selain pendekatan mengajar yang berlainan, kemudahan-kemudahan di MINDS - Sekolah Fernvale Gardens juga dinaik taraf dan direka untuk menyokong pembelajaran dan pembangunan pelajar.

Antara kemudahan itu termasuk sebuah ruang, INFINITE@FGS yang direka untuk memupuk semangat kerjasama antara pelajar dan mempertingkatkan kemahiran mereka.

INFINITE@FGS misalnya mempunyai kafe dan ruang jualan di mana pelajar boleh berlatih sebagai barista dan pelayan.

--

Selain itu, beberapa bilik darjah juga diubah suai bagi memberi lebih banyak sokongan kepada pelajar dengan ASD-ID.

Ini termasuk memasang lampu ambien dan tingkap yang menyaring cahaya bagi mengurangkan keterangan sekali gus mewujudkan suasana yang lebih tenang buat pelajar.

Bagi itu juga, warna yang dipilih bagi tembok dan perabot dalam kelas juga merupakan warna jenis neutral seperti warna krim.

MINDS membangunkan program itu menyusuli lonjakan dalam kes sindrom ASD-ID baru-baru ini, yang meningkat lebih 40 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Setakat ini, sekitar 50 pelajar menyertai program rintis itu.

Lebih ramai akan berpeluang untuk mengambil bahagian apabila ia dilancarkan di kesemua empat sekolah MINDS, secara bertahap-tahap mulai Januari tahun depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa