Pelajar antarabangsa dengan ikatan bon pemerintah sukar cari pekerjaan, terdesak mohon bantuan
Tawaran pekerjaan bukan sahaja tidak terbuka untuk mereka, malah meninggalkan Singapura bukan satu pilihan meskipun wang simpanan mereka semakin berkurangan kerana mereka perlu membayar sewa tanpa meraih sebarang pendapatan.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Tawaran pekerjaan bukan sahaja tidak terbuka untuk mereka, malah meninggalkan Singapura bukan satu pilihan meskipun wang simpanan mereka semakin berkurangan kerana mereka perlu membayar sewa tanpa meraih sebarang pendapatan.
Inilah dilema yang dihadapi oleh kumpulan pelajar antarabangsa terbaru yang menerima ijazah di bawah skim geran tuisyen Kementerian Pendidikan (MOE), yang memerlukan mereka memenuhi tanggungjawab bon untuk sebuah entiti Singapura selama tiga tahun, namun kini mendapati bahawa mereka sukar memenuhinya.
Kini, selepas berbulan-bulan mencari pekerjaan tanpa mendapatkan hasil yang diingini meskipun setelah membuat ratusan permohonan kerja, para lulusan itu terdesak untuk bantuan dan jawapan bagi merancang perjalanan masa depan mereka.
Dalam jawapan kepada pertanyaan oleh Mediacorp, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa ia bekerjasama dengan MOE dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) bagi mempermudahkan permohonan para pelajar sedemikian untuk pengaturan pas kerja yang perlu.
MOM menambah ia akan "fleksibel di mana perlu" dalam mengendalikan permohonan mereka.
"Para penerima bon geran tuisyen yang memerlukan bantuan jika mereka menghadapi kesukaran memenuhi peraturan bon, harus menghubungi institut mereka untuk bantuan," menurut MOM.
MOE menyatakan ia "maklum" bahawa para pelajar antarabangsa perlu memenuhi kewajipan geran tuisyen dan sedang "memantau situasi itu", namun tidak mengulas sama ada ia akan melonggarkan keperluan bon atau mengecualikan bon sebagai langkah terakhir.
Menyusuli langkah Pemerintah untuk melindungi pekerjaan bagi warga tempatan, beberapa pelajar antarabangsa juga bertanya sama ada bon-bon mereka boleh ditangguhkan sehingga pasaran pekerjaan dibuka semula, namun tanpa perlu meletakkan jaminan perbankan yang lumayan.
Atau setidak-tidaknya, mereka berharap Pemerintah akan mengecualikan sebahagian bayaran faedah kerana mereka tidak memilih untuk berdepan dengan penantian lama untuk mendapatkan pekerjaan dan pas kerja.
Malah memandangkan kemungkinan besar mereka akan terus menganggur sepanjang tempoh penangguhan selama setahun sebelum mereka perlu membayar ganti rugi, sebahagian pelajar demikian mahu tahu jika mereka akan diberikan lebih masa untuk mencari pekerjaan.
MOE memberikan geran yuran tuisyen kepada pelajar antarabangsa untuk membantu mereka menangani kos pengajian tinggi sepenuh masa di Singapura.
Namun, para pelajar antarabangsa merasakan bahawa mereka menanggung akibat daripada perubahan dasar baru-baru ini untuk memperketatkan dasar tenaga kerja asing, sama ada secara sengaja atau tidak.
SOKONGAN DARI UNIVERSITI
Apabila ditanya apakah sokongan yang boleh diberikan sekolah-sekolah, Encik Norvin Ng, pengarah khidmat kerjaya di Pusat bagi Pengalaman Antarabangsa & Profesional di Kolej Yale-NUS, menyatakan kolej itu, yang sekitar separuh pelajarnya terdiri daripada warga asing, sedang berusaha untuk mengumpulkan satu set sumber-sumber baru bagi para pelajarnya menyusuli dasar terbaru MOM mengenai pas kerja.
Sumber-sumber itu akan membantu mereka "menonjolkan kedudukan mereka sebagai calon yang layak", tambahnya.
Seorang jurucakap NUS juga berkata universiti itu memberi sokongan kepada para lulusannya dengan menyediakan "sepenuh akses kepada peluang pekerjaan yang luas di pelbagai industri".
Para lulusan yang mengalami kesukaran mendapatkan pekerjaan boleh mendapatkan bimbingan khusus dari para penasihat kerjaya mereka mengenai permohonan kerja, temu bual dan strategi membina rangkaian, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.