Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar 16 tahun disenarai pendek antara 10 peserta reka semula logo Pertahanan Mutlak

Logo Pertahanan Mutlak, direka bentuk untuk menyerupai tangan dengan lima anak panah yang melambangkan lima tunggak Pertahanan Mutlak, kekal tidak berubah sejak 1985. Dengan penambahan pertahanan digital sebagai tunggak keenam tahun ini, sudah tiba masanya logo tersebut berwajah baru. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar 16 tahun disenarai pendek antara 10 peserta reka semula logo Pertahanan Mutlak

Fleming Siow Yi dan logo Pertahanan Mutlak yang direkanya. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud, Nexus)

Diterbitkan : 18 Dec 2019 12:00PM Dikemas Kini : 18 Dec 2019 12:02PM

SINGAPURA: Logo Pertahanan Mutlak, direka bentuk untuk menyerupai tangan dengan lima anak panah yang melambangkan lima tunggak Pertahanan Mutlak, kekal tidak berubah sejak 1985. Dengan penambahan pertahanan digital sebagai tunggak keenam tahun ini, sudah tiba masanya logo tersebut berwajah baru.

Seorang pelajar berusia 16 tahun tampil sebagai peserta paling muda dalam kalangan 10 pereka yang bersaing untuk mendapatkan undian terbanyak dalam satu peraduan untuk mereka semula bentuk logo berkenaan.

Fleming Siow Yi, yang baru-baru ini menduduki peperiksaan Peringkat O, memberitahu Mediacorp beliau memutuskan untuk menyertai peraduan itu selepas mendapat ilham daripada pengorbanan nenek moyang yang membangunkan Singapura menjadi apa yang dilihat hari ini.

"Ia membuatkan saya bangga untuk tinggal di Singapura," kata pelajar itu sambil memberi penghargaan kepada gurunya kerana membuat beliau faham akan konteks Singapura. "Kita perlu terus bekerja bersama-sama."

Lantaran itu, apabila notis tentang peraduan tersbeut dimuat naik ke portal sekolahnya, Felming tidak berfikir dua kali untuk mendaftarkan diri sebagai satu cara menyumbang kembali kepada masyarakat.

LOGO SEKARANG "AGAK MENGELIRUKAN"

Sebagai permulaan, Fleming meluangkan masa seminggu untuk mengkaji tentang sejarah dan makna di sebalik logo Pertahanan Mutlak sedia ada. Pada 1985, pereka grafik bebas Berwin See mengalahkan lebih 1,000 peserta untuk memenangi peraduan logo Pertahanan Mutlak yang pertama.

Fleming mengimbas kembali kali pertama beliau melihat logo Pertahanan Mutlak ketika di Darjah 2 sambil menyatakan bahawa beliau merasakan ia kelihatan seperti rumah lebih daripada tangan.

"Bentuk anak-anak panah itu seperti sebuah rumah dan agak mengelirukan bagi saya," ujarnya.

Guru reka bentuk Fleming, bagaimanapun, menasihatinya untuk tidak hanya berfikir tentang estetika tetapi juga mencipta sesuatu yang dekat dengan jiwa warga Singapura.

Fleming menggunakan apa yang dipelajari daripada modul-modul reka bentuk yang diambilnya di sekolah serta pengetahuannya dalam aplikasi Adobe Photoshop untuk melakar reka bentuknya di MacBook hanya dalam masa sehari. Semua itu dilakukannya ketika beliau sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Peringkat O.

Logo rekaan Flemming, yang "menekankan keperluan untuk bekerjasama dan kesalinghubungan bagi memastikan kekebalan Singapura", adalah antara penyertaan yang disenaraipendekkan bersama sembilan lagi reka bentuk lain.

Reka bentuk yang mendapat undian paling tinggi akan diumumkan sebagai logo terbaru Pertahanan Mutlak semasa Hari Pertahanan Mutlak pada Februari tahun depan.

Sebagai ganjaran, pemenang akan menerima wang tunai S$5,000 manakala sembilan peserta lain akan membawa pulang hadiah bernilai S$500.

Orang ramai boleh membuat undian bagi reka bentuk kegemaran mereka di laman web ini dan berpeluang memenangi baucar menonton wayang atau baucar tunai sehingga S$1,000.

Peraduan berakhir pada 29 Disember ini.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan