Skip to main content

Singapura

Pelajar 15 tahun remaja perempuan pertama ditangani di bawah ISA; remaja lelaki 17 tahun mahu serang 5 masjid SG

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar 15 tahun remaja perempuan pertama ditangani di bawah ISA; remaja lelaki 17 tahun mahu serang 5 masjid SG

Encik K Shanmugam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim bercakap kepada wartawan di Masjid Maarof 2 Apr 2025. (Gambar: CNA/Ang Hwee Min)

Diterbitkan : 02 Apr 2025 03:05PM Dikemas Kini : 02 Apr 2025 03:21PM
SINGAPURA: Dua remaja rakyat Singapura yang menjadi radikal - 15 tahun dan 17 tahun - masing-masing dikenakan Arahan Sekatan (RO) dan Arahan Penahanan (DO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari dan Mac 2025.

Kes pertama melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, yang menyokong ISIS dan berhasrat untuk berkahwin dengan anggota kumpulan pengganas itu dan sanggup bertempur demi kumpulan tersebut di Syria.

Dia menjadi remaja perempuan pertama di Singapura yang ditangani di bawah ISA dan dikenakan RO.

Kes kedua pula melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun, yang merupakan kenalan online seorang lagi remaja rakyat Singapura Nick Lee Xing Qiu berusia 18 tahun, yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2024.

Remaja berusia 17 tahun itu, menjadi radikal setelah terpengaruh dengan fahaman berhaluan kanan dan juga ideologi-ideologi perkauman. Dia juga telah mengambil langkah-langkah sebagai persediaan untuk melakukan serangan terhadap umat Islam di lima masjid di Singapura. Dia dikenakan Arahan Penahanan.

Rakyat Singapura mesti berwaspada terhadap kes-kes ektremisme dan radikalisasi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam, sambil menambah, ISD sejauh ini berjaya melakukan intervensi.

"Namun, seperti yang saya sering katakan, kita mesti mengambil tindakan dengan tepat setiap kali," beliau memberitahu para wartawan pada Rabu (2 Apr) di Masjid Maarof, di mana remaja berusia 17 tahun itu merancang untuk melakukan serangan.

"Mereka yang sama ada berpegang kepada fahaman berhaluan kanan, atau cenderung ke arah ekstremisme, hanya perlu melakukannya sekali sahaja dan tindakan mereka itu akan membunuh beberapa orang. Jadi kita perlu berhati-hati."

MAHU KAHWIN DENGAN ANGGOTA ISIS

Bermula pada Jun 2023, remaja berusia 15 tahun itu menemui propaganda ISIS online. Selepas beberapa minggu terpengaruh dengan propaganda tersebut, dia semakin yakin seolah-olah kumpulan itu adalah sebuah pasukan tentera yang benar-benar mempertahankan Muslim di Iraq dan Syria.

Dia berpandangan bahawa matlamat ISIS untuk menubuhkan khilafah Islam adalah mulia, dan menyokong penggunaan keganasan untuk "menghapuskan dunia daripada orang-orang kafir", yang menurutnya adalah golongan bukan Muslim dan golongan Syiah.

Remaja itu juga berhasrat untuk menyokong kumpulan pengganas itu dengan mengahwini anggota ISIS di Syria. Dia berharap untuk membina sebuah keluarga yang menyokong ISIS dan membesarkan anak-anak lelaki yang bakal menjadi "mujahideen".

Selepas mendapat tahu bahawa dia perlu melakukan bai'ah (ikrar taat setia) kepada ISIS sebelum boleh berkahwin dengan anggota kumpulan itu, dia melakukan demikian menerusi 'chatbot' ISIS pada Julai 2023. Dia melakukan bai'ah dengan mengikrarkan taat setianya kepada bekas pemimpin ISIS Abu Bakr al-Baghdadi dan menyifatkan dirinya sebagai anggota ISIS selepas itu.

RANCANG KE SYRIA, SANGGUP BERTEMPUR DEMI ISIS

Antara September 2023 dengan April 2024, remaja itu mencari penerbangan dari Singapura ke Syria sebanyak tiga kali, dan menimbangkan untuk menyimpan duit bagi membiayai perjalanannya ke sana.

Selain itu, dia berniat memanfaatkan rangkaian online penyokong ISIS untuk mendapatkan nasihat perjalanan.

Remaja itu juga cuba menjalin hubungan cinta online dengan para penyokong ISIS yang berpangkalan di luar negara. Dia juga kerap mengongsikan semula propaganda ISIS di akaun media sosial untuk menarik perhatian penyokong ISIS lain untuk berkomunikasi dan menjalin hubungan dengan mereka.

Antara Julai 2023 dengan Disember 2024, dia menjalin sekurang-kurangnya lapan hubungan cinta online dengan penyokong ISIS di luar negara, termasuk seseorang yang dipercayai adalah anggota ISIS di Syria.

Meskipun keutamaannya adalah untuk berkahwin dengan anggota ISIS dan membina keluarga yang penyokong ISIS, dia juga sanggup menjadi "mujahideen" wanita dan bertempur demi ISIS di Syria.

Dia terpengaruh oleh rakaman-rakaman video online anggota wanita ISIS dan berharap untuk "mati syahid".

Remaja itu bertanggapan dia dapat melakukan perjalanan ke Syria dan menjalani latihan menggunakan senjata daripada ISIS sebaik sahaja tiba di sana.

CUBA MEMPENGARUHI ORANG LAIN JADI RADIKAL

Remaja itu aktif berkongsi semula bahan-bahan pelampau, termasuk laungan cogan kata ISIS, di akaun-akaun media sosialnya untuk menunjukkan sokongannya kepada ISIS.

Dia mengaku berkongsi kandungan berkaitan ISIS dengan sesetengah rakan sekolahnya.

Tiada seorang pun rakan sekolahnya yang mengambil serius tentang bahan-bahan tersebut dan tiada seorang pun yang membuat aduan mengenai bahan pelampau tersebut kepada guru mereka.

Siasatan ISD setakat hari ini menunjukkan bahawa remaja itu bertindak sendirian dan gagal mempengaruhi rakan-rakannya menjadi radikal.

Ibu remaja itu menyedari bahawa anak perempuannya menerima bahan-bahan yang menyokong ISIS dan sudah menasihatkannya supaya menghindarinya.

Sekalipun demikian ibu remaja itu tidak terfikir bahawa kelakuan anaknya itu memerlukan campur tangan lanjut.

DIPENGARUHI PENEMBAK MASJID CHRISTCHURCH

Remaja berusia 17 tahun yang dikenakan Arahan Penahanan dikenal pasti semasa siasatan ISD ke atas Nick Lee Xing Qiu sebagai kenalan onlinenya.

Kedua-dua remaja itu saling bertukar-tukar bahan Islamofobia dan pelampau berhaluan kanan di media sosial.

Mereka menjadi radikal secara berasingan, tidak pernah berjumpa dan tidak mengetahui tentang perancangan satu sama lain untuk melancarkan serangan di Singapura.

Bermula 2022, remaja berusia 17 tahun itu menemui bahan-bahan Islamofobia dan pelampau berhaluan kanan online.

Pendedahannya kepada bahan-bahan tersebut, berserta sikap perkaumannya terhadap orang Melayu, menimbulkan rasa benci terhadap Islam dan Melayu/Islam.

Remaja itu kerap berkongsi semula bahan-bahan Islamofobia dan pelampau berhaluan kanan di akaun-akaun media sosialnya untuk menghasut kebencian terhadap Muslim.

Dia juga sengaja melibatkan diri dalam perbincangan online dengan Muslim, untuk mengkritik Islam.

Sama seperti Lee, remaja itu mengagungkan "Ketuanan Asia Timur", dan percaya bahawa etnik Han, Korea dan Jepun lebih tinggi taraf mereka berbanding orang Melayu dan India.

Pada November 2023, dia menjumpai video insiden tembakan di Christchurch yang sudah disunting di media sosial, dan mencari video penstriman langsung penuh, serta maklumat mengenai penembak, Brenton Tarrant.

Dia "berasa puas" melihat Muslim ditembak menerusi video Tarrant dan menganggap Tarrant sebagai "wira" kerana membunuh Muslim.

Selepas membaca manifesto online Tarrant dan pengganas berhaluan kanan lain seperti Stephan Ballient dan Payton Gendron, remaja itu belajar tentang "Great Replacement", iaitu teori konspirasi ketuanan kulit putih, dan menjadi yakin bahawa ia sedang berlaku di Singapura.

Dia memuat naik catatan online yang mendakwa bahawa perlu ada individu seperti Tarrant di Singapura untuk menembak orang Melayu dan Muslim untuk menghalang mereka daripada menggantikan kaum Cina sebagai kaum dominan.

Menjelang awal 2024, dia mahu mencontohi Tarrant dan menembak Muslim di masjid-masjid di Singapura dengan menggunakan senapang AK-47.

Dipengaruhi oleh kandungan anti-Yahudi online, remaja itu juga berhasrat untuk membunuh orang Yahudi namun tidak ada perancangan konkrit untuk melakukannya.

PERSIAPAN LAKUKAN SERANGAN DI MASJID SG

Remaja itu merancang untuk menggunakan senjata api untuk menyerang masjid-masjid tempatan untuk membunuh seramai mungkin orang Islam.

Untuk mencapai sasarannya itu, dia membuat beberapa percubaan yang tidak berjaya untuk mendapatkan senapang.

Antara Februari dengan April 2024, dia menghubungi kenalan online, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan mendakwa dirinya adalah pembuat senapang.

Individu itu memberitahu remaja tersebut bahawa sukar untuk menyeludup komponen senapang ke Singapura, dan menyarankan agar remaja itu mencetak komponen senapang dan peluru secara 3D.

Sekalipun demikian, remaja itu tidak meneruskan idea tersebut disebabkan oleh kos dan masalah teknikal.

Secara berasingan, remaja itu juga menghubungi seorang warga asing dengan niat untuk membeli dan menyeludup pistol Glock 19 ke Singapura, namun urus niaga itu tidak berlaku.

Selain itu, dia bertanya tentang pembelian replika pistol daripada seorang penjual online, dengan niat untuk mengubah suai replika itu menjadi senjata api yang boleh digunakannya.

Namun, dia tidak meneruskannya apabila penjual meminta wang cengkeram.

Remaja itu juga menimbangkan untuk membeli senapang dan peluru dari Malaysia atau Thailand dan menyeludupnya ke Singapura menerusi jalan darat.

Bagi memastikan dia berupaya menggunakan senapang, dia menonton video-video online mengenai cara-cara mengendalikan senjata api dan merancang untuk pergi ke tempat latihan menembak di Amerika Syarikat.

Pada Jun 2024, remaja itu menyenaraikan lima masjid - Masjid Maarof, Masjid Jamek Queenstown, Masjid Darussalam, Masjid An-Nur, and Masjid Hajjah Fatimah - sebagai sasaran bagi serangannya.

Meskipun dia mahu melancarkan serangan ke atas kesemua lima masjid itu untuk membunuh mangsa seramai mungkin, dia lebih cenderung memilih Masjid Maarof kerana dia kerap ke kawasan Jurong West.

Untuk membunuh jumlah mangsa yang ramai, dia merancang untuk melakukan serangan ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat.

Dia menetapkan sasaran untuk membunuh sekurang-kurangnya 100 Muslim, untuk mencapai jumlah mangsa lebih tinggi berbanding Tarrant dan penembak berhaluan kanan yang lain.

Dia mahu serangannya itu memberi inspirasi kepada rakyat Singapura lain yang berkongsi ideologi yang sama dengannya untuk melakukan keganasan. Dia juga merancang untuk memuat naik serangannya secara langsung seperti yang dilakukan oleh Tarrant.

Dia berniat untuk membunuh diri selepas melancarkan serangan, sebelum polis tiba di tempat kejadian.

Semasa diberkas, remaja itu mengaku dia belum dapat melaksanakan serangannya kerana dia belum berjaya mendapatkan senapang.

Meskipun remaja itu tidak berkongsi rancangannya untuk melakukan serangan itu dengan orang lain kerana takut ditangkap, ibu bapanya mengetahui tentang rasa benci remaja itu terhadap Muslim dan masa yang begitu banyak dihabiskan online.

Bapanya berkongsi liputan berita mengenai kes-kes pelampau berhaluan kanan yang pernah ditangani di bawah ISA, untuk memujuk anaknya supaya mengubah fikiran.

Ibu bapa remaja itu bagaimanapun tidak mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

KEMAS KINI KES MOHAMED KAZALI SALLEH

Rakyat Singapura Mohamed Kazali Salleh, 54 tahun, dibebaskan daripada tahanan di bawah Arahan Penggantungan (SD) ISA pada Februari 2025.

Kazali, yang sebelum ini merupakan penyokong ISIS dan menjadi radikal, ditahan pada Januari 2019.

Menyusuli siasatan terhadap pembiayaan pengganasan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD), Kazali dihukum penjara selama 10 bulan di bawah Akta Pengganasan (Menyekat Pembiayaan) pada September 2021 kerana menyalurkan wang kepada anggota ISIS yang berpangkalan di Malaysia, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin @ Akel Zainal untuk membantu memudahkan tindakan pengganas, menurut kenyataan media MHA.

Kazali ditahan semula di bawah ISA pada Februari 2024 selepas selesai menjalani hukuman penjara kerana dinilai masih boleh menjadi radikal sekali lagi.

Dia dibebaskan di bawah SD kerana menunjukkan kemajuan dalam proses pemulihannya dan dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan.

ARAHAN SEKATAN LUPUT

RO yang dikenakan ke atas dua rakyat Singapura dibenarkan luput selepas tamat tempoh arahan tersebut:

RO ke atas Dickson Yeo, 44 tahun, dibenarkan luput pada Januari 2025. Dia ditahan pada Januari 2021 kerana bertindak sebagai ejen yang diupah oleh negara asing.

Dia kemudian dibebaskan di bawah SD pada Disember 2021 dan dikenakan RO pada Januari 2023.

Ancaman yang ditimbulkan oleh Yeo sebagai ejen asing berjaya dipatahkan dengan berkesan dan dia tidak lagi memerlukan pengawasan rapi di bawah rejim tersebut.

RO ke atas Asyrani bin Hussaini, 35 tahun, dibenarkan luput pada Mac 2025.

Asyrani, yang menjadi radikal, ditahan pada Mac 2013 selepas cuba melibatkan diri dengan pemberontakan bersenjata di selatan Thailand.

Dia dibebaskan pada Mac 2019 dan dikenakan RO.

Dia sudah menunjukkan kemajuan pada pemulihannya dan tidak lagi memerlukan pemantauan rapi di bawah rejim RO.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita