Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar 15 tahun antara 2 remaja SG radikal sendiri ditahan di bawah ISA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Feb 2023 02:01PM Dikemas Kini : 21 Feb 2023 09:20PM

SINGAPURA: Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun, yang menjadi radikal sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (21 Feb). 

Dua pelajar sekolah menengah itu adalah kenalan online Muhammad Irfan Danyal bin Mohamad Nor, 18 tahun, yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2022. 

Pelajar 15 tahun itu merupakan tahanan paling muda diberkas di bawah ISA bagi penglibatannya dalam kegiatan berkaitan pengganasan.  Dia ditahan pada Disember 2022 dan diberi Perintah Tahanan (OD).

Remaja, 16 tahun itu pula dikenakan Perintah Sekatan (RO) dan diberkas pada Januari 2023. 

Walaupun ketiga-tiga individu itu menjadi radikal secara berasingan, Irfan dan dua remaja itu bertemu menerusi saluran media sosial yang mengongsi ajaran pelampau. 

Siasatan awal mendapati remaja 15 tahun yang merupakan pelajar Menengah Tiga ketika ditahan selepas terpengaruh dengan ajaran pengganas online dan menyokong Al-Qaeda dan ISIS. 

Dia juga merancang untuk melakukan serangan bersenjata di Singapura dan melahirkan keinginan untuk mewujudkan pemerintahan khalifah dan pergi ke Afghanistan. 

Remaja itu menjadi taksub dengan bahan keagamaan awal tahun lalu apabila ternampak 'podcast' oleh Ismail Menk, seorang pendakwah dari Zimbabwe, yang dilarang menyiarkan ajarannya di Singapura sejak 2015 kerana ajarannya yang menggalakkan ketidakharmonian agama. 

Dia pernah mempertimbangkan untuk memancung kepala orang bukan Muslim di daya tarikan popular di Singapura, selain menjadi seorang pengebom nekad. 

Remaja kedua pula merupakan seorang pelajar Menengah Empat, dan pernah dikenakan perintah sekatan pada November 2020 ketika berusia 14 tahun apabila didapati berminat dalam kandungan pelampau. 

Dia terus melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan ISIS dan menyertai wadah permainan online, Roblox di mana konteks permainan di alam maya itu menyerupai zon konflik fizikal ISIS, seperti yang di Syria dan bandar Marawi di selatan Filipina. 

Dia juga mahu meniru aksi ISIS di Roblox, seperti menembak dan membunuh "musuh" ISIS, mencerminkan keinginannya untuk menjadi seorang anggota ISIS. 

Menerusi saluran itu juga, dua berkenalan dengan pelajar berusia 15 tahun dan Irfan Daniyal.

Kedua-dua remaja itu akan menghadiri sesi kaunseling agama dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selain menjalani pemulihan psikologi dan sosial.

Keluarga mereka turut terbabit dalam pemulihan mereka untuk memastikan mereka diberi sokongan untuk meneruskan pemulihan masing-masing.

Keluarga remaja berusia 15 tahun itu akan dibenarkan melawatnya secara tetap,
manakala remaja berusia 16 tahun itu mempunyai mentor untuk mengajarnya kemahiran tentang keselamatan siber.

ISD turut bekerjasama dengan sekolah-sekolah mereka untuk mengurangkan sebarang gangguan bagi pendidikan mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan