Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar 12 tahun hasilkan buku 'Telinga Ajaibku' untuk tingkatkan kesedaran, kumpul dana untuk golongan kurang daya pendengaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar 12 tahun hasilkan buku 'Telinga Ajaibku' untuk tingkatkan kesedaran, kumpul dana untuk golongan kurang daya pendengaran

Pelajar 12 tahun, Allysha Asmadi. (Gambar: Eddie Asmadi)

BERITAmediacorp: Keinginan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanak-kanak kurang daya pendengaran serta menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif.

Dua faktor itu yang mendorong pelajar 12 tahun, Allysha Asmadi untuk menulis senaskah buku bergambar.

Buku berjudul 'Telinga Ajaibku' itu mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah kurang daya pendengaran.

Buku itu dilancarkan sempena Hari Pendengaran Sedunia 2023 di Pusat Khidmat Kanak-Kanak dan Masyarakat Canossaville petang Khamis (13 April).

Ia juga bagi mengumpul dana untuk pusat tersebut dan menjalankan kempennya di platform online Giving.sg.

Sebagai tanda penghargaan, setiap penderma yang menderma sekurang-kurangnya S$50 akan menerima bukunya.

Dana yang terkumpul akan disalurkan kepada Program Penjagaan Pelajar Canossaville yang akan layak untuk padanan 40% lagi di bawah Program Mengumpul Dana Dipertingkat (EFR).
 
(Gambar: Eddie Asmadi)
Setakat ini, lebih S$2,400 sudah disumbangkan orang ramai menerusi Giving.sg.

Sebagai seorang pemain biola dan piano, Allysha memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau sering tertanya-tanya sekiranya ada peluang untuk kanak-kanak kurang daya pendengaran untuk bermain alat muzik.

"Melalui perwatakan Kristal dan watak-watak lain serta ilustrasi, saya berharap kisah ini dapat membantu para pembaca memahami cabaran yang diharungi oleh kanak-kanak itu. Saya juga ingin mengetengahkan cabaran yang dilalui oleh kanak-kanak yang kurang daya pendengaran kepada para pembaca khususnya kanak-kanak dan keluarga mereka.

"Saya berharap golongan kurang daya pendengaran akan terus tabah dan berjuang bagi mengejar impian masing-masing," kata Allysha yang sedang menuntut di Sekolah Rendah Perempuan Raffles.
(Gambar: Eddie Asmadi)
Ini merupakan buku bergambar yang kedua dihasilkannya.

Buku pertamanya yang berjudul 'The Miracle Healer' diterbitkan pada 2019.

Hasil jualan bagi buku tersebut juga telah disumbangkan kepada dana Make-A-Wish dan sebanyak 100 naskhah buku pula disumbangkan kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Buku itu juga diterbitkan dalam Bahasa Inggeris agar ia dapat dinikmati oleh lebih ramai kanak-kanak.

Sebanyak 200 salinan buku lagi akan didermakan kepada Persatuan Orang Pekak Singapura dan Pusat Khidmat Kanak-Kanak dan Masyarakat Canossaville.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan