Skip to main content

Singapura

Pelaburan portfolio Kehidupan Mampan Temasek naik S$3 bilion kepada S$49 bilion

Pelaburan Temasek yang selaras dengan strategi Kehidupan Mampan syarikat tersebut meningkat sebanyak S$3 bilion kepada S$49 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelaburan portfolio Kehidupan Mampan Temasek naik S$3 bilion kepada S$49 bilion

Seorang lelaki berlalu di hadapan logo Temasek Holdings di pejabat mereka di Singapura pada 8 Julai 2014. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 07:33PM
SINGAPURA: Pelaburan Temasek yang selaras dengan strategi Kehidupan Mampan syarikat tersebut meningkat sebanyak S$3 bilion kepada S$49 bilion.

Namun, jumlah pelepasan karbon portfolionya kekal tidak berubah untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu bersamaan dengan 21 juta tan karbon dioksida.

Syarikat pelaburan negara itu menyatakan ia menjangkakan pelepasan karbonnya merosot dari semasa ke semasa tetapi tidak secara konsisten.

Ini, jelasnya, disebabkan perubahan geopolitik, kos modal lebih tinggi dan laluan peralihan yang semakin rumit.

"Memandangkan portfolio kami sangat tertumpu kepada sektor-sektor yang penting tetapi tinggi pelepasan karbonnya, ia akan mengambil masa lebih lama bagi pelbagai teknologi yang kami perlukan untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor-sektor itu bagi menjadikannya berdaya maju dari segi komersil.

"Pun begitu, kami sedang memperhalusi proses-proses di mana kami boleh mempunyai pengaruh dan kuasa, jadi kami semakin cenderung ke arah pelaburan trend kehidupan mampan.

"Kebanyakannya merupakan huraian yang perlu kami luaskan untuk menangani cabaran iklim," kata Ketua Pegawai Kemampanan di Temasek International, Kyung-Ah Park.

Daripada jumlah pelaburan sebanyak S$49 bilion itu, S$42 bilion disalurkan kepada pelaburan yang berteraskan kemampanan iaitu bagi syarikat yang menyumbang secara positif untuk mencapai sasaran sifar bersih pelepasan karbon.

Sementara itu, lagi S$7 bilion merupakan pelaburan dalam peralihan iklim bagi syarikat-syarikat dalam sektor yang secara tradisional melepaskan jumlah karbon yang tinggi.

Temasek juga menambah lagi S$5 bilion bagi pelaburan-pelaburan baharu dan susulan.

Sebahagian besarnya meliputi bidang-bidang seperti meningkatkan daya ketahanan grid dan mempelbagaikan sumber tenaga termasuk tenaga nuklear.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita