Pelaburan loji rawatan air perlu untuk penuhi keperluan air S'pura: DPM Teo
Langkah mempertingkatkan loji-loji rawatan air Singapura perlu bagi memastikan bekalan air negara terus terjamin, menurut Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean semasa melawat Loji Pulih-Guna Air Changi (CWRP) hari ini.
SINGAPURA: Langkah mempertingkatkan loji-loji rawatan air Singapura perlu bagi memastikan bekalan air negara terus terjamin.
Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean semasa melawat Loji Pulih-Guna Air Changi (CWRP) hari ini.
Dalam lawatannya DPM Teo berkata sistem kumbahan terowong bawah tanah (DTSS) yang menyalurkan air kumbahan ke loji Changi itu merupakan salah satu projek jangka panjang yang memerlukan pelaburan tetap dan stabil bagi memastikan bekalan air mencukupi.
CWRP merupakan loji rawatan air terbesar di negara ini dan sedang menjalani kerja naik taraf.
Apabila siap pada 2022, loji berkenaan dijangka dapat merawat hampir 250 juta gelen air kumbahan sehari berbanding 202 juta gelen sekarang.
Teknologi membran bioreaktor juga akan digunakan dalam proses rawatan airnya yang dapat mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 18 peratus dan menghasilkan air yang lebih bersih.
Selain itu, sebuah lagi kemudahan sedang dibina bagi mengelak daripada penyaluran berlebihan ke sistem CWRP ketika musim hujan lebat.
Menjawab pertanyaan media pula, DPM Teo berkata kerajaan Malaysia belum membuat permintaan rasmi bagi merundingkan semula harga air yang dibekalkannya kepada Singapura.
Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad kembali menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap harga air itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.