Skip to main content

Singapura

Pelaburan awal sebelum krisis perkukuh jagaan kesihatan, pertahanan SG: Chan Chun Sing

Singapura perlu membuat pelaburan sebelum krisis berlaku bagi memperkukuh sistem jagaan kesihatan, pertahanan serta sistem penting lain, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2026 07:55PM Dikemas Kini : 30 Aug 2026 10:00PM
SINGAPURA: Singapura perlu membuat pelaburan sebelum krisis berlaku bagi memperkukuh sistem jagaan kesihatan, pertahanan serta sistem penting lain, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing.

Caranya adalah dengan beralih daripada pendekatan "tepat pada masa" atau "just in time" kepada pendekatan "sekadar berjaga-jaga" atau "just in case".

Berucap di Persidangan Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan ke-20, Encik Chan menegaskan Singapura perlu mengenal pasti kelemahan yang boleh membawa kepada implikasi strategik serta membina keupayaan lebih awal sebelum ia diperlukan.

Menurut beliau, sistem "tepat pada masa" berkesan dan cekap kerana sumber dikerahkan hanya apabila diperlukan.

Namun, pendekatan sedemikian belum memadai bagi bidang seperti pertahanan dan kesihatan awam.

"Sistem 'tepat pada masa' adalah ringkas dan cekap. Ia mengerahkan sumber hanya apabila diperlukan. Namun, dalam pertahanan dan kesihatan awam, terdapat kelemahan dengan pemikiran 'tepat pada masa' yang sememangnya tidak memadai.

"Apabila krisis melanda, kita mempunyai sedikit masa untuk membina keupayaan dari awal dan kita semua tahu bahawa dalam bidang perubatan mahupun pertahanan, keupayaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan," kata Encik Chan.

PENGAJARAN DARIPADA SARS, COVID-19

Encik Chan merujuk kepada pengajaran yang ditimba daripada pandemik SARS dan COVID-19, apabila pelaburan dibuat lebih awal bagi meningkatkan kesiapsiagaan Singapura.

Ini termasuk membangunkan kemudahan bagi menangani penyakit berjangkit serta menyediakan simpanan bekalan negara bagi pelitup muka dan ubat antivirus.

Menurut beliau, langkah sedemikian meletakkan Singapura pada kedudukan lebih kukuh apabila pandemik melanda.

Pendekatan "sekadar berjaga-jaga" itu turut diterapkan dalam sistem perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang berasaskan usaha mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal.

MODAL INSAN PELABURAN PALING PENTING

Encik Chan berkata pelaburan dalam modal insan merupakan pelaburan "sekadar berjaga-jaga" paling penting kerana rakyat akhirnya akan menentukan bagaimana Singapura memberi respons terhadap sesuatu krisis.

Beliau menegaskan bahawa Singapura perlu terus memperkukuh sistem dan membangunkan pasukannya bagi menghadapi lebih banyak ketidaktentuan dalam persekitaran dunia yang semakin bergolak.

"Untuk Singapura terus bertakat, berkembang maju dan menentang kemungkinan sejarah, kita perlu melangkaui tahap asas bagi benar-benar menimbangkan bagaimana kita membina sistem, membangunkan pasukan dan menangani lebih banyak perkara yang tidak diketahui dalam dunia yang bergolak ini," katanya.
Sumber : CNA/FA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita