Skip to main content

Singapura

Pelabur S'pura, pembeli kondo Country Garden Danga Bay saman pemaju atas penipuan, salah gambaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pelabur S'pura, pembeli kondo Country Garden Danga Bay saman pemaju atas penipuan, salah gambaran
Diterbitkan : 03 Aug 2022 10:15AM Dikemas Kini : 04 Aug 2022 08:22AM
SINGAPURA/JOHOR BAHRU: Puluhan pemilik rumah yang tidak berpuas hati, termasuk para pelabur rakyat Singapura, memfailkan tuntutan mahkamah melalui perwakilan secara kolektif terhadap pemaju Country Garden Danga Bay Johor berhubung penipuan dan salah gambaran.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada Rabu (3 Ogos).

49 pembeli rumah — dari Singapura, Malaysia dan China — mendakwa bahawa unit-unit kondominium mewah oleh pemaju berkenaan di zon ekonomi Iskandar Malaysia di Johor Selatan tidak menepati apa yang diiklankan, seorang pelabur warga Singapura memberitahu Mediacorp.

Mereka mendakwa bahawa pemaju itu membuat perubahan pada perjanjian penjualan dan pembelian mereka selepas pembeli menandatangani perjanjian tersebut.

Kumpulan pembeli tersebut mahu menuntut pampasan meskipun jumlah yang diinginkan tidak dinyatakan dengan jelas.

Pembangunan kondominium Danga Bay terletak di kawasan Iskandar di Johor Bahru, kira-kira 10 minit perjalanan dari pusat pemeriksaan imigresen Malaysia.

Ia menampung lebih 9,000 unit apartmen di pinggir laut, dengan saiz-saiznya berkeluasan dari 400 meter persegi hingga 1,400 meter persegi.

Pembangunan yang luas itu juga merangkumi kemudahan lain termasuk pusat beli-belah, pantai buatan manusia dan enam dermaga kapal pesiar.

Apabila pembangunan mewah itu dilancarkan pada 2013, satu kempen terperinci diadakan untuk menarik para pembeli dari Singapura.

Semasa pelancaran rasmi kondominium tersebut, lebih 5,000 daripada 7,000 unit yang ditawarkan sudahpun dijual dengan 30 peratus daripadanya dibeli oleh rakyat Singapura, menurut pemaju berkenaan ketika itu.

Perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru dijadualkan berlangsung selama empat hari - dua hari pada Ogos dan dua hari pada September.

Sesetengah pembeli, termasuk pelabur rakyat Singapura, sudah bersedia untuk memberikan kenyataan saksi mereka pada Rabu (3 Ogos).

Tuntutan mahkamah itu pertama kali difailkan pada 2018. Prosiding tersebut bagaimanapun ditangguhkan selepas Country Garden Danga Bay gagal memohon untuk membatalkan rayuan yang dikemukakan oleh sesetengah plaintif.

Kes tersebut juga ditundakan lanjut akibat pandemik COVID-19.

'KEADAAN TERUK'

Dua warga Singapura yang membeli unit di Country Garden Danga Bay memberitahu Mediacorp bahawa apartmen mereka mengalami beberapa kerosakan apabila mereka menerima kunci sekitar tahun 2018.

Menurut mereka, kondominium itu juga perlu terus-menerus menjalani kerja-kerja pembaikan secara meluas dek penyenggaraan yang lemah.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita