Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelabuhan Tuas dibuka rasmi; 'pemacu penting' ekonomi S'pura, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Sep 2022 12:54PM Dikemas Kini : 01 Sep 2022 09:32PM
SINGAPURA: Pelabuhan Tuas, yang akan menjadi tunggak Western Gateway yang akan datang, dibuka rasmi pada Khamis (1 Sep), dengan tiga dermaga sudah mula beroperasi.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan projek mega itu sebagai pelabuhan masa hadapan dan pemacu penting ekonomi Singapura.

Dalam ucapannya di acara pembukaan tersebut, PM Lee berkata Pelabuhan Tuas akan meletakkan Singapura dalam kedudukan lebih baik untuk "menyokong pertumbuhan dalam trafik maritim dan perdagangan sejagat serta mengukuhkan ketersambungan dan keupayaan untuk menyediakan khidmat yang cekap dan boleh diyakini".

"Ia mengukuhkan status Singapura sebagai pusat maritim antarabangsa dan membolehkan banyak industri berkaitan untuk berkembang maju," ujar PM Lee.

Pelabuhan Tuas, dijangka menjadi pelabuhan terbesar di dunia beroperasi secara automatik sepenuhnya apabila siap sepenuhnya dan boleh menampung kapal-kapal kontena terbesar di dunia dan dapat mengendalikan kapal-kapal lebih besar yang dibina pada masa akan datang.

Ia juga boleh menguruskan lebih banyak kapal serta pergerakannya dengan lebih selamat dan cekap.

Pelabuhan mega itu juga akan menjadi tunjang Western Gateway yang akan datang, sekali gus menyediakan khidmat kepada industri-industri berdekatan di Daerah Tasik Jurong, Inovasi Jurong dan kawasan-kawasan perindustrian Tuas.

"Lokasi lebih dekat dengan pelabuhan bermakna khidmat pelabuhan yang lebih pantas dan lebih murah. Ini bermakna pengeluaran yang lebih cekap dan kadar putaran kerja yang lebih pantas bagi produk mereka untuk dieksport ke pasaran antarabangsa. Sektor-sektor seperti perkilangan canggih, rangkaian sejuk, e-niaga dan logistik akan paling banyak meraih manfaat," kata PM Lee.

Kerja-kerja penambakan bagi fasa pertama projek pelabuhan mega itu selesai hujung tahun lalu, dengan Fasa 2 sedang dijalankan.

PM Lee berkata semasa ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) baru-baru ini, bahawa Pemerintah memutuskan untuk menyatukan semua operasi pelabuhan sedia ada di Terminal Tanjong Pagar, Brani, Keppel dan Pasir Panjang ke sebuah pelabuhan Mega di Tuas.

Ini akan mengosongkan bidang tanah dari Shenton Way hingga Pasir Panjang bagi projek Pesisiran Selatan atau Greater Southern Waterfront (GSW).
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan