Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekhemah SG tunda lawatan ke M'sia di tengah musim tengkujuh; tanah runtuh sukar diramal

Anggaran Waktu Membaca:
Pekhemah SG tunda lawatan ke M'sia di tengah musim tengkujuh; tanah runtuh sukar diramal

Tapak perkhemahan di Malaysia. (Gambar: Donald Pang)

Diterbitkan : 21 Dec 2022 06:21PM Dikemas Kini : 21 Dec 2022 09:43PM
SINGAPURA: Penggemar perkhemahan Donald Pang merancang untuk mengadakan perkhemahan di Johor Bahru bulan ini bersama tiga rakannya, namun menangguhkannya kerana musim tengkujuh di Malaysia mencetuskan banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa negeri.

"Jika anda berada di kawasan tanah tinggi, anda mungkin tidak akan mengalami banjir tetapi bakal berdepan dengan tanah runtuh," kata eksekutif pemasaran berusia 59 tahun itu kepada Mediacorp pada Rabu (21 Dis).

"Jika hujan lebat berserta guruh, ada risiko pokok dan dahan tumbang yang mungkin akan menimpa anda. Ini melainkan anda berkhemah di tanah lapang. Namun di tanah lapang, ada risiko terkena panahan petir. Jadi risikonya lebih tinggi."

Selain itu, hujan yang berterusan juga akan membuatkan pengalaman berkhemah anda kurang menyeronokkan, kata Encik Pang.

Beliau menarik perhatian bahawa para pekhemah harus duduk di dalam khemah mereka dan mungkin tidak dapat menikmati aktiviti luar.

"Dengan semua faktor ini, saya fikir kami harus menangguhkan lawatan itu. Jika kami masih ingin berkhemah, kami boleh melakukannya di Singapura misalnya di Pulau Ubin, East Coast atau Pasir Ris," tambah beliau.

Encik Pang mengeluarkan komen itu menyusuli kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Selangor yang terletak berhampiran dengan wisata popular, Genting Highlands.

Kejadian itu meragut nyawa 26 mangsa dengan tujuh lagi masih dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Warga Singapura yang berkhemah di Malaysia memaklumkan kepada Mediacorp bahawa negara itu adalah antara destinasi perkhemahan popular kerana ia terletak berhampiran dengan Singapura.

Ia juga lebih murah untuk berkhemah di Malaysia dengan lebih banyak pilihan tapak pekhemahan.

Warga Singapura menyatakan mereka lazimnya tidak akan memeriksa jika tapak perkhemahan tersebut mempunyai lesen atau permit yang diperlukan untuk beroperasi, sebaliknya mempercayai orang lain yang pernah pergi ke sana sebelum ini dan membuat penilaian risiko mereka sendiri.

Sungguhpun demikian, Encik Pang berkata adalah penting untuk memeriksa keadaan cuaca di tapak perkhemahan sekurang-kurangnya enam hari sebelum ke sana kerana ia mungkin antara "hidup dan mati".

Buat musim tengkujuh di Malaysia, para pekhemah seharusnya membawa pakaian dan peralatan yang sesuai, kata beliau.

Meskipun para pekhemah mengambil langkah berjaga-jaga, Encik Pang memberi amaran bahawa tanah runtuh boleh berlaku "di mana-mana" dan sukar diramal.

"Kejadian itu sangat tragik terutama sekali apabila ia berlaku di tapak perkhemahan di mana orang ramai sedang berkhemah dan menikmati kehidupan alam semula jadi," kata beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan