Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerjaan harus berdasarkan kecekapan dan kesesuaian, bukan warna kulit: Shanmugam

Syarikat-syarikat harus menggajikan pekerja berdasarkan kecekapan dan kesesuaian mereka, dan bukan warna kulit mereka, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam malam semalam (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerjaan harus berdasarkan kecekapan dan kesesuaian, bukan warna kulit: Shanmugam
Diterbitkan : 07 Sep 2021 11:10AM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 11:29AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat harus menggajikan pekerja berdasarkan kecekapan dan kesesuaian mereka, dan bukan warna kulit mereka, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam malam semalam (6 Sep).

"Sekarang ini, TAFEP mempunyai berbagai peraturan mengenai diskriminasi di tempat kerja. Dan ia akan diberi kuasa lebih kukuh dalam undang-undang," katanya dalam wawancara dalam buletin berita News Tonight di Saluran 5.

"Jadi, pekerjaan anda harus bergantung pada kemampuan dan kecekapan serta kesesuaian anda bagi pekerjaan itu, bukan pada warna kulit anda."

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tentang bagaimana garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) akan dilaksanakan ke atas syarikat yang tidak bersikap adil dalam pengambilan pekerja, setelah garis panduan itu ditetapkan dalam undang-undang.

Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 29 Ogos, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan garis panduan antidiskriminasi di tempat kerja akan menjadi undang-undang. Langkah itu akan memberi lebih banyak kuasa kepada TAFEP untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang salah.

Di bawah garis panduan TAFEP sekarang ini, Kementerian Tenaga Manusia boleh menetapkan hukuman pentadbiran ke atas pesalah berulang, termasuk menyekat syarikat itu daripada mengambil pekerja asing.

Encik Shanmugam berkata matlamat undang-undang TAFEP adalah untuk memanfaatkan golongan minoriti serta kumpulan lain yang menghadapi diskriminasi di tempat kerja, seperti wanita.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, sama ada anda mendapat pekerjaan dan sama ada anda bekerja, prestasi anda harus berdasarkan kecekapan," katanya.

"Ia tidak harus berdasarkan usia, atau sama ada anda lelaki atau wanita, dan mengikut bangsa anda, warna kulit anda."

UNDANG-UNDANG KEHARMONIAN KAUM

Encik Shanmugam juga menyentuh tentang rang undang-undang baru untuk mengekalkan keharmonian kaum di Singapura, dengan menarik perhatian cabaran bagi menentukan langkah-langkah di bawah undang-undang tersebut serta memastikan ia berkesan.

PM Lee juga dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan berkata Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum akn diperkenalkan untuk mengumpulkan semua undang-undang yang ada bagi menangani isu-isu berunsur perkauman.

Undang-undang itu akan merangkumi langkah-langkah "lebih lembut" yang mana pesalah boleh diperintah perluas pengetahuan mengenai kaum lain dan memulih hubungan dengan mereka, kata Encik Lee.

"Cabarannya pasti banyak, kerana kita menangani tingkah laku sosial, dan anda tidak mahu mengenakan tindakan jenayah bagi setiap tingkah laku. Dan jika anda cuba, undang-undang itu tidak akan berkesan dan tidak akan dapat dilaksanakan," kata Encik Shanmugam.

Langkah-langkah yang dipertimbangkan di bawah undang-undang itu termasuk memastikan pesalah memahami masyarakat lain, tambahnya seperti melakukan khidmat masyarakat.

"Oleh itu, kita juga perlu menentukan pilihan yang ada untuk cuba dan membuatnya berkesan dan dapat dilaksanakan, jadi ini akan menjadi suatu yang mencabar," tambahnya.

Encik Shanmugam berkata usaha itu akan "memakan masa" dan Pemerintah terlebih dahulu perlu berunding dengan kumpulan-kumpulan berkepentingan.

"Kami sudah mula melakukannya... apakah bahagian yang perlu kami tangani, bagaimana undang-undang ini harus beroperasi, apakah jenis sekatan, hukuman dan bukan hukuman," katanya, sambil menambah bahawa perbincangan melibatkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta kumpulan penyokong antara kaum OnePeople.sg.

"Perkara seperti ini yang sangat menyentuh masyarakat, anda pasti harus banyak berunding dulu." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan