Pekerja tumpuan utama ucapan para AP di pembukaan bahas Belanjawan
Sedang ekonomi Singapura terus menjalani perubahan, usaha melengkapi para pekerja dengan kemahiran baru ditekankan sebagai salah satu keutamaan dalam Belanjawan 2019.
(Gambar fail: Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Sedang ekonomi Singapura terus menjalani perubahan, usaha melengkapi para pekerja dengan kemahiran baru ditekankan sebagai salah satu keutamaan dalam Belanjawan 2019. Pemerintah akan memperuntukkan S$3.6 bilion untuk membantu para pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan baru itu.
Para Anggota Parlimen (AP) dalam gerakan buruh menyokong inisiatif-inisiatif Belanjawan yang disasarkan untuk membantu para pekerja menghadapi cabaran-cabaran perubahan ekonomi.
Namun, mereka menggesa pemerintah supaya melakukan lebih banyak usaha bagi menggalak para pekerja untuk terus meningkatkan kemahiran. Mereka juga menekankan tentang pentingnya memberi sokongan kepada para pekerja lanjut usia dan penjaga keluarga untuk mendapatkan pekerjaan menerusi aturan kerja fleksibel. Di samping itu, para AP menyarankan untuk menaikkan usia persaraan bagi mereka yang sudah lanjut usia.
"Latihan adalah satu aspek penting bagi memastikan para pekerja kita - muda atau tua - kekal relevan dalam landskap industri yang berubah-ubah. Hanya dengan membantu para pekerja kita menggunakan teknologi secara bermakna dan berkesanlah, kita boleh meraih manfaat teknologi sepenuhnya untuk menggandakan keupayaan syarikat-syarikat berdaya saing di peringkat global," kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC Dr Koh Poh Koon.
KREDIT SKILLSFUTURE TIDAK MENCUKUPI?
Sesetengah AP gerakan buruh juga menyuarakan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif seperti Program Penukaran Profesional dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan.
Namun mereka turut menarik perhatian kepada cabaran yang dihadapi para pekerja untuk meningkatkan kemahiran.
"Pastinya ia melibatkan masa dan kos," kata AP Melvin Yong.
AP-AP buruh seperti Encik Melvin Yong dan Encik Patrick Tay berkata bahawa Kredit SkillsFuture sebanyak S$500 tidak mencukupi dan menyarankan tokokan.
Encik Yong juga berkata bahawa para pekerja hampa apabila mereka tidak boleh membuat tuntutan bagi kursus-kursus yang diinginkan di bawah skim tersebut.
Para pekerja juga menghadapi kesukaran mencari masa untuk menghadiri kursus-kursus.
Bagi membantu para pekerja, gerakan buruh itu sedang membentuk jawatankuasa-jawatankuasa latihan untuk melakarkan ciri-ciri "Pekerja 4.0" - seorang individu yang dilengkapi dengan kemahiran untuk mengatasi cabaran-cabaran Industri 4.0.
Pelan itu melakarkan kemahiran dan keupayaan para pekerja yang diperlukan sejajar dengan Perancangan Perubahan Industri.
"Dengan program-program perintis dan syarikat-syarikat baru, kami sudah menjangkau sekitar 640,000 pekerja dalam syarikat-syarikat yang mempunyai kesatuan. Maka itu, dalam fasa selanjutnya, kami ingin memperluaskan lagi usaha ini. Lebih penting lagi, Jawatankuasa-Jawatankuasa Latihan akan membantu para pekerja dan syarikat," kata Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.
USIA DIAMBIL SEMULA BEKERJA
Sedang tenaga kerja Singapura semakin menua, ramai Anggota Parlimen menggesa pemerintah untuk meningkatkan usia pengambilan semula pekerja bagi membolehkan lebih ramai untuk terus bekerja.
Mereka juga berkata terdapat keperluan untuk mereka semula pekerjaan-pekerjaan dan jadual kerja lebih fleksibel bagi menarik mereka yang tidak bekerja, seperti golongan pekerja matang atau para penjaga anggota keluarga.
"Kajian terperinci tentang bagaimana kerja sambilan dan pilihan kerja fleksibel boleh menjadi sebahagian penting daripada model pengambilan pekerja utama syarikat-syarikat Singapura di samping model kerja sepenuh masa diperlukan. Kami juga perlu meninjau bagaimana untuk menetapkan jangkaan-jangkaan pengamal sumber manusia di Singapura supaya ia berupaya dilaksanakan syarikat-syarikat," kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC Heng Chee How.
Dasar dan rancangan yang bakal dilaksanakan Kementerian Tenaga Manusia akan dibentangkan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada 5 Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.