Pekerja SMRT cekal jalankan tugas meski bergelut atasi gangguan khidmat
Setiap kali berlaku gangguan khidmat kereta api, ia turut menjejas semangat pasukan penyelenggaraan landasan SMRT.
Kerja-kerja bagi menggantikan bahagian landasan yang rosak dijalankan antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
"Reaksi pertama kami mungkin berasa sedikit kecewa, atau terkejut disebabkan oleh isu atau kejadian tersebut," kata Encik Low Choon Keong, pengarah kenderaan rel (rolling stock) SMRT, kepada para wartawan yang menyertai lawatan media untuk menyaksikan proses penyenggaraan landasan semalaman.
Lawatan itu diadakan menyusuli gangguan khidmat kereta api besar-besaran, termasuk penggantungan khidmat selama enam hari di Laluan Timur-Barat antara stesen Jurong East dengan Buona Vista pada September tahun lalu.
Dalam kejadian itu, sebuah kotak gandar terjatuh ke landasan kereta api, menyebabkan bogie (penyorong dengan roda) terkeluar dari landasan antara stesen Dover dengan Clementi.
Punca kejadian itu masih disiasat.
Baru-baru ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan ia sedang menyiasat punca utama tiga gangguan khidmat MRT berasingan yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Kejadian itu menjejas para kakitangan SMRT secara emosi tetapi keutamaan segera mereka adalah untuk menangani isu itu dan menghuraikannya secepat mungkin, kata Encik Low.
"Selepas kerja-kerja pemulihan, kami tentu sekali akan bercakap dengan para kakitangan dan sesiapa yang perlukan galakan atau kaunseling tambahan... kami akan pastikan bahawa keadaan mental dan semangat semua kakitangan terjaga," katanya.
"Bagi setiap isu dan pengajaran, kami akan berkongsi pengajaran penting yang diraih dan kami akan memperbaiki diri dari situ," katanya.
Walaupun persekitaran pekerjaan agak sukar - dari masa yang terhad untuk menyelesaikan pekerjaan ke keadaan bekerja yang mencabar - pasukan penyenggaraan SMRT tetap komited kepada pekerjaan mereka.
"Kehidupan sebagai seorang pekerja penyenggaraan SMRT adalah sukar, ia benar-benar sukar," kata Encik Low.
"Kami perlu bekerja dalam kekangan persekitaran dan menyelesaikan tugas, serta cekap mengendalikan pelbagai mesin supaya kita dapat menjalankan tugas dengan berkesan."
Beliau berharap orang ramai dapat memahami batasan dan kekangan yang menyukarkan tugas menyenggara rel.
Bagi menyaksikan betapa sukarnya pekerjaan itu, pihak media berpeluang menyertai pasukan penyenggaraan SMRT untuk melihat mereka melakukan kerja-kerja menggantikan rel pada 11 Mac.
Pada pukul 1.00 pagi, para pekerja berkumpul di stesen Marina Bay untuk menggantikan rel sepanjang 18 meter di mana terdapat hakisan pada bahagian dasarnya.
Pasukan penyenggaraan itu perlu bergerak dengan cepat - mereka mempunyai tempoh singkat selama tiga jam antara pukul 1.30 pagi dengan 4.30 pagi untuk menyelesaikan tugas itu.
Mereka diberikan tempoh penampan mencukupi selepas khidmat kereta api terakhir dan sebelum khidmat kereta api yang pertama memasuki landasan.
Pasukan tersebut perlu bergerak dengan cepat – mereka hanya mempunyai tempoh selama tiga jam, antara pukul 1.30 pagi hingga pukul 4.30 pagi untuk menyelesaikan tugas itu. Ini memberi masa penampan yang cukup selepas kereta api terakhir berlalu dan sebelum kereta api pertama memasuki landasan.
Setiap pasukan ditugaskan untuk menggantikan rel yang sudah rosak atau lusuh di sepanjang Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat pada setiap malam.
Dengan rel sepanjang 400 kilometer di kedua-dua laluan kereta api, kerja menggantikan rel merupakan rutin harian bagi para pekerja tersebut - selagi khidmat kereta api masih beroperasi.
Sepanjang proses penggantian rel, kesemua pekerja itu bergerak cepat dan membuat keputusan dengan pantas.
Ada yang berlari berulang alik untuk berkomunikasi dan mencapai peralatan untuk menyelesaikan tugas mereka.
Pengurus pembaharuan rel SMRT, Encik Shazni Jaffar berkata dengan tempoh singkat selama tiga jam, setiap saat amat berharga.
"Bagaimana kita menguruskannya? Kami mempunyai prosedur ketat untuk memastikan setiap tugas dijalankan dengan selamat dan tentu sekali, tepat pada waktu supaya khidmat kereta api tidak ditangguh," katanya.
Ia adalah tugas pasukan ronda, yang memeriksa secara manual beberapa bahagian rel bawah tanah dan atas permukaan mengikut kitaran tiga, empat atau tujuh hari.
Dilengkapi peralatan seperti lampu suluh dan cermin, mereka meronda sepanjang 4 hingga 5 kilometer setiap malam secara berpasangan, antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.
Terdapat juga mesin yang menggunakan teknologi ultrasound untuk mengesan sebarang rekahan dan kerosakan lain pada landasan.
Namun, sesetengah keretakan pada rel seperti yang dibaiki pada 11 Mac, tidak boleh dikesan oleh mesin itu kerana ia berada di bahagian bawah rel.
PENYENGGARAAN KERETA API
Tugas penyenggaraan tidak sekadar berhenti di rel sahaja.
Di depoh Bishan, kerja-kerja penyenggaraan menyeluruh dijalankan terhadap 144 kereta api di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat.
Setiap kereta api menjalani proses tersebut setiap empat hingga lima tahun bergantung pada tahap penggunaannya.
Walaupun tugas sedemikian jarang menarik perhatian, Encik Low berharap orang ramai dapat menghargai usaha di sebalik setiap perjalanan kereta api.
"Bagi para penumpang, menaiki kereta api seolah-olah satu perkara yang mudah - hanya masuk dan keluar," katanya.
Namun satu perjalanan kereta api memerlukan 'usaha gigih daripada pelbagai pihak di belakang tabir'.
"(Ia) bukan sekadar kereta api itu sahaja, banyak perkara yang berlaku, dan apa (yang dilihat oleh para penumpang) hanya sebahagian daripada keseluruhan sistem tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.