Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja SMRT cedera semasa menyenggara landasan dekat stesen Joo Koon

Seorang kakitangan SMRT cedera semasa melakukan kerja-kerja penyenggaraan dekat stesen MRT Joo Koon pada awal pagi tadi (12 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja SMRT cedera semasa menyenggara landasan dekat stesen Joo Koon

Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2018 08:36AM Dikemas Kini : 12 Dec 2018 08:39AM

SINGAPURA: Seorang kakitangan SMRT cedera semasa melakukan kerja-kerja penyenggaraan dekat stesen MRT Joo Koon pada awal pagi tadi (12 Dis).

Beliau mengalami kecederaan pada bahagian kakinya dan sudah dibawa ke hospital oleh kakitangan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), menurut pengendali pengangkutan itu menerusi kiriman emel kepada Mediacorp.

"Keselamatan di tempat kerja adalah keutamaan kami dan kami akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu," menurut SMRT.

Kemalangan yang berlaku pada sekitar 4.10 pagi tadi menjejas khidmat kereta api antara stesen MRT Gul Circle dengan Boon Lay di Laluan Timur-Barat (EWL).

"Permulaan khidmat kereta api antara stesen MRT Gul Circle dengan Boon Lay (bagi kedua-dua arah) terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana proses ini memerlukan sedikit masa," menurut SMRT dalam kenyataannya.

Selepas kakitangan berkenaan dihantar ke hospital, pasukan-pasukan kejuruteraan dan operasi SMRT menjalankan pemeriksaan lanjut di landasan kereta api sebelum khidmat kereta api antara stesen Gul Circle dengan Boon Lay dapat dimulakan pada pukul 6.20 pagi, menurut kenyataan itu lagi.

SMRT menyatakan bahawa kakitangan itu kini dalam keadaan stabil dan beliau sedang menjalani rawatan di hospital.

SMRT pertama kali mengumumkan mengenai kemalangan itu pada sekitar 5.00 pagi menerusi Twitternya.

Pada sekitar 6.20 pagi, SMRT menyatakan khidmat kereta api "dipulihkan secara bertahap-tahap" dan khidmat di EWL kembali beroperasi seperti biasa.

"Kami meminta maaf kepada semua penumpang yang terjejas pada pagi tadi," menurutnya.

Khidmat bas biasa dan bas ulang-alik percuma disediakan antara kedua-dua stesen tersebut sepanjang tempoh gangguan itu. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan