Skip to main content

Singapura

Pekerja SG perlu sedia hadapi era AI dan ekonomi baharu: Abdul Samad

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pekerja di Singapura perlu bersikap lebih terbuka, bersedia meningkatkan kemahiran dan merebut peluang baharu dalam era kecerdasan buatan (AI) serta automasi yang sedang mengubah landskap pekerjaan global.

Naib Presiden Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab menekankan demikian ketika mengulas saranan-saranan akhir Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang menggariskan hala tuju ekonomi Singapura bagi dekad akan datang.

Menurut beliau, daripada 32 saranan yang diketengahkan dalam ESR, fokus utama adalah memastikan rakyat Singapura tidak tercicir dalam arus perubahan ekonomi dan teknologi.

“Macam mana kita nak mempersiapkan rakyat Singapura dari segi pekerjaan kerana ini akan memberi suatu jaminan bahawa pemerintah ingin memastikan tidak ada rakyat Singapura yang tertinggal ataupun akan rugi daripada saranan-saranan mereka ini,” katanya.

Saranan-saranan akhir ESR memberi penekanan besar kepada transformasi tenaga kerja, pembangunan kemahiran sepanjang hayat dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Antara 32 saranan akhir yang dibentangkan termasuk menarik pelaburan berteknologi tinggi serta menangani risiko rantaian bekalan dalam industri-industri utama.
Antara saranan utama termasuk memperkasa pekerja untuk belajar sepanjang hayat, membina jambatan kerjaya bagi pekerja yang terkesan akibat automasi serta memperluaskan sokongan latihan dan penempatan kerja menerusi Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA).

Laporan itu juga menegaskan bahawa Singapura perlu terus terbuka kepada bakat global sambil memastikan rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya yang lebih baik dalam ekonomi masa depan.
Related article image
Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab.

CABARAN BAGI PEKERJA DALAM AI DAN AUTOMASI, UBAH LANDSKAP PEKERJAAN

Encik Abdul Samad berkata, cabaran pekerja hari ini bukan lagi sekadar menghadapi kemajuan teknologi, bahkan perubahan besar yang dibawa automasi digital dan AI.

Namun beliau menegaskan bahawa perkembangan itu juga membuka ruang dan peluang baharu buat pekerja.

"Saya sarankan para pekerja mendekati cabaran itu dan memastikan apakah ruang-ruang yang mereka dapat, dan pastikan mereka dapat meraih peluang daripada cabaran ini. Kita tidak akan terlepas dari cabaran."

"Rakyat Singapura mempunyai suatu mutu yang dapat memastikan kita bersedia, untuk memastikan apa sahaja peluang yang ada, kita harus memadai dahulu. Kerana itu, perbezaan antara pekerja rakyat Singapura dan yang bukan," kata Encik Abdul Samad.

Mengulas isu pekerjaan di Singapura, beliau berpandangan bahawa masalah utama bukan kekurangan pekerjaan tetapi jurang antara jangkaan pekerjaan dan keperluan kemahiran.

Beliau menjelaskan bahawa sebahagian pekerja mungkin tidak bersedia menerima gaji permulaan yang lebih rendah atau syarat pekerjaan tertentu.

Bagi menangani cabaran ini, Encik Abdul Samad menyeru syarikat-syarikat untuk bersifat terbuka.

"Jangan terlalu mencari mereka yang punyai kemahiran atau pengalaman yang lama. Sebab pengalaman ini hanya akan datang apabila telah diberi peluang. Terutama kita lihat rakyat Singapura yang muda, siswazah baharu yang mempunyai identiti yang baharu, nilai-nilai mereka yang berbeza," ujar beliau.

GABUNGAN SKILLSFUTURE DAN WORKFORCE SINGAPORE LANGKAH TEPAT: ABDUL SAMAD

Beliau turut menyambut baik cadangan ESR untuk menggabungkan keupayaan SkillsFuture dan SWDA.

Beliau menyifatkannya sebagai langkah bijak kerana latihan kemahiran dan peluang pekerjaan dapat diselaraskan dengan lebih baik.

Encik Abdul Samad berkata: "Ia memudahkan lagi apabila anda pergi meningkatkan kemahiran, sekiranya anda memerlukan pekerjaan yang memberi gaji yang lebih, kita dapat lihat senarai pekerjaan yang tersedia sekarang."

Beliau yakin rakyat Singapura mampu menghadapi cabaran masa depan sekiranya mempunyai minda terbuka, bersifat positif dan sentiasa bersedia meningkatkan diri.

AI BANTU PERCEPAT KERJA PROFESIONAL, BUKAN GANTIKAN MANUSIA

Salah satu daripada lapan teras usul muktamad ESR adalah untuk menjadi Singapura sebagai Hab Huraian Global AI dengan ekonomi yang dipacu oleh AI.

Menerusi teras itu, ekonomi negara diharap akan mempercepat penggunaan AI serta menggunakan huraian AI dengan kesan yang tinggi.

Sektor-sektor ekonomi juga digalak melabuh dalam dalam strategi AI yang akan dapat maju sehaluan dengan para pekerja.

Dalam bidang guaman misalnya, AI kini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan kerja guaman, khususnya dalam sektor perbankan dan kewangan, menurut peguam di Rajah & Tann Singapore LLP, Adzfar Alami.

“Dalam kerja perbankan, dokumen-dokumen kita agak panjang dan kompleks dan alat AI membantu peguam-peguam kita menghasilkan produk yang lebih cepat untuk pelanggan kita," kata Encik Adzfar.

Namun beliau menegaskan bahawa AI tidak akan menggantikan peranan peguam.
Related article image
Adzfar Alami, Peguam di Rajah & Tann Singapore LLP.
Sebaliknya, AI membolehkan peguam memberi tumpuan kepada aspek lebih strategik.

“Peguam masih penting, sebab kita dapat fokus kepada perkara-perkara yang lebih strategik seperti nasihat komersil untuk pelanggan kita. Yang penting, saya rasa alat AI dapat mempercepatkan tugas kita tetapi ia tidak boleh menggantikan peguam. Ia dapat meningkatkan produktiviti," ujarnya.

Beliau berkongsi bahawa firma guaman itu juga mempunyai dasar penggunaan AI yang bertanggungjawab termasuk aspek privasi dan perlindungan data pelanggan.

“Kita tidak menggunakan data pelanggan untuk melatih model AI kita. Setiap saranan yang dikeluarkan alat AI itu akan disemak oleh peguam. Prinsipnya mudah, AI dapat menolong tetapi saranan yang dikeluarkan itu masih di tangan peguam," kongsinya.

CABARAN YANG DIHADAPI PROFESIONAL UNTUK MENERAPKAN PENGUNAAN AI

Menurut Encik Adzfar, terdapat tiga cabaran utama dalam menggalak dan menerapkan penggunaan AI dalam kalangan karyawan.

"Yang pertama, peguam takut diganti. Jangan bimbang, AI akan menolong mencepatkan kerja tetapi tidak akan mengganti peguam. Kata putus itu masih di tangan peguam dan harus disemak dulu.

"Kedua, tabiat lama. Saya rasa yang menggunakan AI, lihatlah bukti yang konkrit, alat AI itu dapat meringkaskan dokumen dalam beberapa minit dan bukan beberapa jam dan dengan bukti konkrit itu, mereka akan lebih menggunakan AI," kongsi Encik Adzfar.

Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan ruang yang selamat untuk profesional mencuba teknologi baharu.

Dalam hal itu, Encik Abdul Samad juga mengatakan bahawa para pekerja perlu mempunyai sikap yang positif untuk mencari kelebihan di tempat kerja.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita