Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja platform tidak harus bergantung kepada Medishield Hayat bagi kecederaan di tempat kerja, kata Koh Poh Koon

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usulan Persatuan Insurans Umum (GIA) Singapura untuk memberi perlindungan insurans kepada pekerja platform di bawah Medishield Hayat bagi perbelanjaan perubatan pada dasarnya meminta mereka untuk membayar perbelanjaan perubatan mereka sendiri, kata Menteri Negara Kanan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Koh Poh Koon pada Selasa (29 Nov).

Pekerja platform seperti pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran seharusnya menerima tahap perlindungan yang sama bagi pampasan kecederaan di tempat kerja seperti pekerja, yang kini dilindungi sehingga S$45,000 dalam perbelanjaan perubatan bagi kecederaan di tempat kerja, tambah beliau.

"Tidak ada sebab bagi pekerja platform bergantung kepada Medishield Hayat, yang mana mereka membiayainya menggunakan MediSave mereka sendiri dan kemudiannya membayar sebahagian daripada bil perubatan mereka menggunakan MediSave atau duit mereka sendiri sekiranya mereka mengalami kecederaan di tempat kerja," menurut Dr Koh.

Saranan GIA itu pada dasarnya bermakna pekerja platform membayar perbelanjaan perubatan mereka sendiri.

Dr Koh berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Parlimen mengenai kecederaan dalam kalangan pekerja platform seperti pemandu sewa privet dan pekerja penghantaran makanan.

Anggota Parlimen (AP) Tan Wu Meng (PAP-Jurong) kemudiannya merujuk kepada saranan GIA dan bertanya sebab syarikat insurans dan syarikat platform tidak mengemukakan saranan sebelumnya, memandangkan mereka "tahu bahawa terdapat kematian yang dicatat dalam kalangan penunggangnya".

Pada Rabu (23 Nov) lalu, Jawatankuasa Penasihat Pekerja Platform mengemukakan 12 saranan bagi menyediakan perlindungan lebih baik untuk pekerja sedemikian. Ini termasuk menerusi caruman kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pampasan kecederaan yang dipertingkatkan.
 
Salah satu daripada saranan berkenaan termasuk keperluan bagi syarikat-syarikat platform menyediakan skop serta paras pampasan kecederaan yang sama seperti pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (WICA). Jawatankuasa tersebut membuat saranan tersebut oleh kerana perlindungan insurans bagi pekerja berbeza mengikut platform.

Pemerintah menerima saranan-saranan tersebut, yang akan dilaksanakan secara beransur-ansur seawal hujung 2024.

Dalam responsnya terhadap saranan-saranan tersebut, GIA mengusulkan perlindungan di luar rangka WIC, kerana WIC juga mempunyai kelemahannya.

"Mungkin mudah bagi seorang pekerja gaji tetap untuk mengukur pendapatannya, tetapi pekerja platform harus mengukur dan membuktikan kehilangan pendapatannya selama beberapa bulan, dan bagi kebanyakan mereka merentas pelbagai platform," kata Ketua Eksekutif GIA, Ho Kai Weng dalam satu kenyataan pada Rabu lalu.

Selain MediShield Hayat, Encik Ho menyarankan disesuaikan insurans Cuti Perubatan Berpanjangan (PML) bagi penggantian pendapatan jangka panjang melebihi 60 hari. Syarikat platform mendapatkan insurans sedemikian bagi pemandu teksi dan sewa privet mereka sejak 2019.

Bagi ketidakupayaan kekal dan kematian GIA mencadangkan ini boleh dilindungi dengan kemalangan peribadi kumpulan atau insurans hayat berjangka. Ini bermakna, pekerja platform tidak perlu membuktikan mereka bekerja ketika kemalangan berlaku.

Dr Koh menarik perhatian di Parlimen bahawa saranan-saranan GIA akan menyebabkan premium insurans dan kos perniagaan yang lebih tinggi bagi syarikat-syarikat platform.

Beliau menambah bahawa menyediakan pampasan kecederaan dengan tahap dan skop yang sama di bawah WICA adalah adil bagi syarikat-syarikat platform dan pekerja mereka.

Pemerintah tidak seharusnya memerlukan syarikat-syarikat platform menyediakan perlindungan bagi kecederaan yang tidak dialami disebabkan pekerjaan.

Tidak wajar juga memberikan bayaran tetap kepada pekerja platform memandangkan mereka adalah kumpulan yang pelbagai dengan pendapatan berbeza, kata Dr Koh.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan