Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja platform SG luah keprihatinan terhadap risiko berlaku diskriminasi berhubung saranan CPF

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja platform SG luah keprihatinan terhadap risiko berlaku diskriminasi berhubung saranan CPF

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Para pekerja platform ditanya mengenai bagaimana mereka boleh dilindungi daripada denda dan kos tambahan semasa satu sesi dialog diadakan pada Jumaat (3 Feb) mengenai saranan-saranan berhubung perlindungan pekerja yang diterima Pemerintah pada tahun lalu.

Saranan-saranan tersebut termasuk menyesuaikan kadar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi syarikat-syarikat platform dan para pekerja lebih muda dalam sektor tersebut supaya ia selaras dengan para majikan dan pekerja lain. Pekerja platform lebih tua boleh memilih sama ada mereka mahu ikut. 

Para pekerja turut menyuarakan keprihatinan terhadap kemungkinan syarikat-syarikat platform mendiskriminasi mereka yang memilih untuk menyertai rejim CPF atau menaikkan caj komisen bagi menampung kos caruman CPF bagi para pekerja masing-masing. 

Dialog tersebut dianjurkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). 

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Dr Koh Poh Koon berkata syarikat-syarikat platform secara teori mungkin lebih cenderung terhadap para pekerja yang tidak menyertai skim CPF kerana mereka boleh menjimatkan kos sekitar 17 peratus.

Strategi itu bagaimanapun tidak munasabah dalam jangka panjang kerana caruman CPF diwajibkan bagi pekerja yang berusia bawah 30 tahun pada masa saranan-saranan itu dikuatkuasakan, tambah Dr Koh. 

Ini bermakna, jumlah pekerja yang tidak menyertai rejim CPF adalah sangat rendah dan sukar bagi syarikat-syarikat sudahpun bergelut untuk mencari pekerja yang mencukupi.

Selain itu, antara pekerja yang melakukan penghantaran menggunakan basikal, pekerja lebih muda berkemungkinan lebih kuat dan cekap, kata Dr Koh, yang juga merupakan penasihat kepada Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform. 

"Saya fikir, mereka akan mendapati sukar untuk bersikap mendiskriminasi," katanya, sambil menambah bahawa  garis panduan bagi amalan-amalan pekerjaan adil dengan jelas menegaskan bahawa "sebarang bentuk diskriminasi sekalipun dalam persekitaran kerja seperti ini tidak akan dilihat sebagai satu perkara yang betul mahupun wajar dilakukan".

Apabila ditanya bagaimana untuk memastikan syarikat-syarikat memindahkan kos kepada para pengguna dan bukan pekerja masing-masing, Dr Koh berkata, Pemerintah sedang membincangkan isu tersebut dengan serius - walaupun "sifat sebenar pasaran adalah sebarang kos yang diambil oleh pihak syarikat, akhirnya ia akan mengenakan bayaran lebih tinggi ke atas para pelanggan". 

"Mereka perlu memindahkan kos itu," kata Dr Koh lagi. 

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata, dengan rakyat Singapura menanggung kos lebih tinggi, ia ibarat 'sebagai pengiktirafan terhadap kerja baik' yang dijalankan oleh para pekerja platform.

"Pada masa yang sama, daripada perspektif syarikat-syarikat platform, mereka juga  memahami bahawa dari segi menyokong kemampanan perniagaan pada masa akan datang, semua pekerja harus dijaga," kata Encik Tan di dialog tersebut. 

PENJELASAN MENGENAI PENGIRAAN

Para pekerja platform turut meminta penjelasan mengenai bagaimana caruman CPF mereka dihitung, seperti sama ada peratusan yang dikira adalah selepas kos ditolak. 

Dr Koh mengesahkan bahawa perbelanjaan tidak akan dimasukkan semasa mengira caruman CPF. Sebagai contoh, pemandu kereta sewa privet buat masa ini mempunyai nisbah perbelanjaan tetap, iaitu 60 peratus, yang digunakan untuk pengisytiharan cukai. 

Berdasarkan nisbah tersebut, sekiranya seorang pemandu memperolehi S$100 sehari, maka caruman CPF adalah 20 peratus dan 17 peratus daripada S$40. 

Salah seorang pekerja menarik perhatian, dengan kenaikan kos, nisbah perbelanjaan bagi pemandu mungkin tidak mencerminkan keadaan sebenar. 

Dr Koh berkata, nisbah itu bertujuan untuk meliputi naik turun sepanjang tahun, tetapi mungkin terdapat beberapa pengecualian dan pemandu boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen-dokumen yang relevan jika perlu. 

Mengenai kejelasan tentang bagaimana pendapatan pekerja ditolak bagi CPF, Dr Koh berkata, Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat platform untuk meneroka lebih ketelusan aliran tunai dan potongan CPF. 

"PALING MEMERLUKAN"

Apabila ditanya mengapa individu yang bekerja sendiri seperti ejen insurans dan ejen hartanah tidak diminta untuk menyelaraskan caruman CPF mereka dengan caruman pekerja lain, Dr Koh berkata, ini kerana pekerja platform adalah golongan pekerja yang paling mudah terjejas. 

"Sebaik-baiknya mereka seharusnya menyumbang, tetapi apabila kami memulakan tugas ini, kami melihat golongan pekerja yang mana yang paling memerlukan bantuan," katanya. 

Ejen insurans dan ejen hartanah secara amnya meraih lebih pendapatan dan boleh menjimatkan wang bagi CPF mereka sendiri, membeli insurans atau melabur bagi persaraan mereka. 

"Tetapi bagi anda semua yang melakukan pekerjaan ini, anda terdedah kepada lebih banyak cabaran," kata Dr Koh. "Pada masa akan datang, jika sistem ini berfungsi dengan lebih baik lagi, tiada sebab untuk mereka enggan membuat sumbangan bagi diri mereka sendiri juga.

"Oleh itu, kami akan terus memantau keadaan, tetapi saya rasa buat masa ini, kami setakat mengambil langkah pertama untuk menjaga mereka yang mungkin tidak mempunyai cara untuk menjaga diri mereka sendiri." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan