Pekerja platform bakal terima hingga 75% caruman tambahan CPF dari pemerintah
SINGAPURA: Pemerintah akan membiayai sehingga 75 peratus kenaikan bagi caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk pekerja platform berpendapatan rendah bagi tahun-tahun pertama pelaksanaannya, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon di Parlimen pada Rabu (1 Mac).
Mulai separuh kedua 2024, kadar caruman CPF bagi pekerja platform dan syarikat-syarikat platform akan dinaikkan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh lima tahun, pada sekitar 2.5 peratusan mata setiap tahun bagi para pekerja dan 3.5 peratusan mata setiap tahun bagi majikan mereka.
Pekerja platform yang meraih pendapatan sehingga S$2,500 sebulan dan mereka yang meningkatkan caruman CPF mereka layak bagi bantuan peralihan itu.
Pada tahun pertama, Pemerintah akan membiayai 75 peratus tokokan caruman. Ia akan diturunkan kepada tokokan sebanyak 50 peratus pada tahun kedua dan ketiga, dan 25 peratus pada tahun keempat, iaitu tahun terakhir bagi bantuan peralihan itu.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan maklumat lanjut tentang pelaksanaannya akan dikongsikan kemudian.
Sokongan itu akan membantu mengurangkan kebimbangan pekerja platform berhubung kesan perubahan CPF pada gaji yang dibawa pulang, kata Dr Koh sewaktu perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MOM.
Singapura mempunyai sekitar 73,000 pekerja platform, dengan lebih 16,000 pekerja penghantaran. Baki jumlah itu terdiri daripada pemandu teksi dan kereta sewa privet.
Pada November lalu, pemerintah menerima saranan-saranan daripada Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform, dengan salah satu daripadanya adalah untuk menyelaraskan kadar caruman CPF pekerja dan syarikat platform, dengan para majikan dan pekerja lain.
Pekerja platform bawah usia 30 tahun semasa pelaksanaan itu dikuatkuasakan, perlu menyumbang kepada Akaun Biasa dan Akaun Khas CPF mulai lewat 2024. Para pekerja platform lebih lanjut usia boleh memilih untuk menyertai skim tersebut.
Dr Koh berkata, MOM amat menyarankan pekerja platform lebih tua supaya turut serta bagi menerima caruman tambahan daripada syarikat platform.
"Seperti pekerja lain, pekerja platform yang menerima antara S$50 hingga S$500 sebulan juga akan menerima caruman CPF daripada syarikat platform tanpa melakukan caruman CPF mereka sendiri," katanya.
Pekerja platform berusia 65 tahun ke atas akan menerima jumlah yang lebih tinggi dalam pakej gaji keseluruhan mereka disebabkan oleh caruman syarikat, tanpa perlu meningkatkan kadar caruman CPF mereka sendiri, yang juga lebih rendah bagi golongan usia berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.