Pekerja perlu ubah pemikiran, rebut peluang kuasai AI: Rahayu Mahzam
Namun, usaha itu bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga perubahan dari segi pemikiran pekerja untuk mempelajari kemahiran baharu.
Ini ditekankan Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam, dalam satu wawancara susulan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat (MDDI) baru-baru ini.
Pendekatan menyeluruh melibatkan pemerintah, majikan dan pekerja sedang diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai "pekerja dwikecekapan kecerdasan buatan (AI)".
Ini menerusi Program Impak Kecerdasan Buatan Nasional (NAIIP), yang baru diperkenalkan bagi menyokong pekerja meningkatkan kemahiran AI.
Yang dimaksudkan dengan "pekerja dwikecekapan AI" ialah individu yang mahir dua bidang - iaitu mendalami kefasihan AI dan menggunakannya dalam bidang kerja masing-masing.
Menjelaskan lanjut pentingnya memperkasa ramai untuk menjadi “pekerja dwikecekapan AI”, Cik Rahayu berkata:
"Dengan adanya pekerja-pekerja begini, kemahiran secara rata-rata akan dipertingkatkan kerana semua sekarang akan menggunakan AI untuk melakukan tugas-tugasan yang sudah menjadi kebiasaan yang boleh dilakukan dengan pantas dan pekerjaan boleh dinaiktarafkan kepada pekerjaan yang lebih bermakna."
Dalam pada itu, usaha memanfaatkan AI, jelas Cik Rahayu, memerlukan kerjasama semua pihak - daripada pemerintah dan majikan hinggalah pekerja sendiri.
"Kita hanya cuba boleh menyediakannya tetapi pemikiran juga perlu berubah. Mereka juga harus mahu untuk mencuba dan mempertingkatkan diri," ujar Cik Rahayu.
Selain menyasarkan 100,000 pekerja untuk mengasah kemahiran untuk menjadi “pekerja dwikecekapan AI", NAIIP juga bertujuan membantu 10,000 syarikat tempatan menyerapkan AI ke dalam operasi perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pihak berkuasa (IMDA) juga akan memperluas Program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) untuk membantu pekerja bukan teknikal membina keupayaan AI praktikal, bermula dengan kerjaya perakaunan dan undang-undang.
INISIATIF BAHARU M³+ LANGKAH DIGITAL DIANJURKAN MENGIKUT TAHAP CELIK AI MASYARAKAT
Sejajar dengan itu, Cik Rahayu turut menarik perhatian kepada Langkah Digital, inisiatif baharu M³+ yang diterajui Yayasan MENDAKI bagi menyokong visi masyarakat Melayu/Islam yang celik AI.
Ia bermatlamat untuk mempersiap setiap anggota masyarakat agar dapat menyertai dan menyumbang kepada masa depan digital negara.
Sejak ia dilancarkan pada Januari lalu, sebanyak 12 bengkel dan acara berkaitan AI telah dikendalikan, melibatkan lebih 400 peserta Melayu/Islam.
"Kalau bagi mereka yang dalam sesuatu pekerjaan yang tertentu, mungkin kita boleh bantu mereka untuk khusus mengadakan satu program yang bersesuaian dengan keperluan mereka," jelas Cik Rahayu.
Inisiatif Langkah Digital diharap dapat memperkasa lebih ramai anggota masyarakat.
NUR' ASHIKIN AHMAD ANTARA KARYAWAN MELAYU/ISLAM DAKAP KEMAHIRAN AI
Dengan pengalaman selama 15 tahun dalam bidang pengauditan, Nur Ashikin Ahmad, yang bertugas sebagai Pegawai Audit dan Jaminan Digital, PwC, mengakui AI kini semakin penting.
Daripada tugasan semudah menyusun jadual hinggalah mengenalpasti risiko kritikal bagi perniagaan, Cik Ashikin kini semakin terbiasa mengaplikasikan AI dalam tugasnya.
Baginya, usaha untuk menyerapkan AI dalam tugas sehariannya itu memastikan peranannya sebagai seorang juruaudit kekal relevan.
Malah di luar kerjaya profesionalnya, Cik Ashikin, yang juga Penolong Bendahari Kehormat PPIS, menyokong usaha memperluas akses AI dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Justeru itu, Cik Ashikin berharap rakan-rakan seangkatannya turut merebut peluang mempertingkat kemahiran AI agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan landskap pekerjaan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.