Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran mengaku rakam wanita di tandas sementara tunggu pesanan makanan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sementara menunggu pesanan makanan disediakan, seorang penunggang penghantaran memutuskan untuk memasuki sebuah tandas untuk merakam wanita yang berada di dalam. Dia bahkan  berbuat demikian dalam tiga kesempatan berasingan.

Muhammad Faiz Mohamed Yasin, 23 tahun, mengaku bersalah pada Selasa (3 Jan) atas dua tuduhan penyakit intai atau voyeurisme dan dua lagi berhubung menceroboh jenayah. Dua lagi tuduhan serupa akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Faiz akan kembali ke mahkamah pada 28 Feb. Mangsanya tidak boleh dinamakan kerana perintah mahkamah.

Pada 30 Mei 2021 kira-kira pukul 11.10 malam, mangsa pertama memasuki tandas yang terletak di tingkat pertama Pusat Masyarakat Keat Hong.Tandas itu terletak di sebelah sebuah kedai mi.

Ketika itu, Faiz sedang menunggu pesanan makanan yang sedang disediakan. Dia menggunakan tandas khas untuk orang kurang upaya di sebelah kedai itu.

Selepas selesai, dia terdengar bunyi dari tandas untuk wanita dan memutuskan untuk pergi ke sana dengan niat untuk mengintip orang yang berada di situ.

Dia mengaktifkan fungsi kamera pada telefon bimbitnya dan meletakkannya di bahagian bawah pintu tandas.

Bagaimanapun, mangsa ternampak telefon itu dan mula menjerit.

Dalam keadaan panik, dia melarikan diri dan bersembunyi di tandas untuk pengguna lelaki, namun kemudiannya dikenali mangsa apabila keluar dari situ.

Dia ditangkap polis pada hari yang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari berikutnya.

Sekitar tujuh bulan kemudian pada 13 Dis 2021 kira-kira pukul 9.45 malam, seorang wanita sedang menggunakan tandas di tingkat dua pusat masyarakat yang sama.

Ketika itu, Faiz berada di dalam tandas lelaki. Dia kemudian memasuki tandas di sebelah dan melihat wanita itu berada di salah satu bilik tandas.

Dia kemudian memegang telefon bimbitnya di bahagian atas pintu, dengan lensa kamera telefonnya menghala ke arah wanita tersebut.

Wanita itu perasan telefon tersebut dan menghentakkan kakinya untuk menakutkannya dengan menunjukkan bahawa beliau sedar kehadiran lelaki itu.

Faiz melarikan diri dari tempat itu dan kemudiannya ditangkap polis dengan bantuan rakaman televisyen litar tertutup.

Selepas ditahan, video berdurasi 43 saat menunjukkan seorang lagi mangsa menggunakan tandas ditemui pada telefonnya.

Siasatan menunjukkan  selepas merakam mangsa kedua, Faiz kembali ke tandas yang sama pada keesokan harinya untuk merakam wanita lain menggunakan tandas.

Timbalan Pendakwa Raya Yeo Zhen Xiong memohon hukuman penjara empat bulan tiga minggu.

Hakim Daerah Lewis Tan meminta laporan kesesuaian perintah rawatan mandatori dan menangguhkan hukuman ke atasnya. Peguam lelaki itu berkata anak guamnya sedang mengambil pil antikemurungan. 

Sesiapa yang disabitkan dengan voyeurisme boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda, rotan, atau diberikan mana-mana gabungan ketiga-tiga hukuman itu.

Jika disabitkan dengan pencerobohan jenayah, seseorang boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya.

Sumber : Today/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan