Pekerja penghantaran maut dilanggar, lelaki dijel kerana pandu dengan cuai

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan dilarang memandu selama lapan tahun pada Rabu (11 Mei) kerana memandu dengan cuai yang menyebabkan kematian seorang pekerja penghantaran yang menunggang basikal dibantu kuasa (PAB).
Ter Chee Kwang, 55 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu tanpa berjaga-jaga atau memberi perhatian sewajarnya, menyebabkan kematian Leow Cheer Keong, 42 tahun.
Ter yang ketika itu bekerja sebagai penyelia khidmat pembersihan gagal memeriksa keadaan sekelilingnya dengan teliti semasa memandu menghala ke simpang Sungei Road pada 13 Mei 2021.
Mahkamah diberitahu bahawa pada pagi itu, Ter berjumpa dengan bekas rakan kerjanya di kedai kopi untuk bersarapan. Pada sekitar 9.30 pagi, Ter minum sebanyak tiga suku tin bir.
Timbalan Pendakwa Raya Shen Wanqin berkata kemalangan itu berlaku di persimpangan di mana kenderaan yang melalui jalan utama itu, seperti basikal PAB Encik Leow, mempunyai hak bergerak terlebih dahulu.
Kereta Ter melanggar PAB Encik Leow, menyebabkannya terpelanting ke atas kaki lima di Arab Street.
Ter menghubungi polis, yang tiba dengan ambulans kira-kira jam 10.40 pagi. Encik Leow dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau didapati mengalami patah tengkorak dan pendarahan di kepalanya.
Encik Leow menjalani pembedahan kecemasan, tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang. Punca kematian ditentukan sebagai kecederaan kepala.
Selepas kemalangan itu, Ter mengambil ujian pernafasan kerana mulutnya berbau arak. Dia gagal dalam ujian itu dan ditangkap.
Ter, yang tidak diwakili peguam, memberitahu hakim bahawa dia "benar-benar tidak ada masa untuk bertindak kerana basikal itu bergerak terlalu laju" dan dia berasa sangat kesal.
Mereka yang disabitkan bersalah menyebabkan kematian dengan memandu tanpa berhati-hati boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.