Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran makanan mengaku bersalah langgar warga emas semasa menaiki PMD

Seorang pekerja penghantaran makanan melanggar dua pejalan kaki dalam dua kejadian berasingan, salah seorang daripadanya melibatkan warga emas lelaki berusia 77 tahun yang kemudian mengalami angin ahmar dan menanggung bil perubatan sebanyak S$46,500.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja penghantaran makanan mengaku bersalah langgar warga emas semasa menaiki PMD

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 03:04PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 03:05PM

SINGAPURA: Seorang pekerja penghantaran makanan melanggar dua pejalan kaki dalam dua kejadian berasingan, salah seorang daripadanya melibatkan warga emas lelaki berusia 77 tahun yang kemudian mengalami angin ahmar dan menanggung bil perubatan sebanyak S$46,500.

Tian Wei Jie, 35 tahun mengaku bersalah pada Isnin (15 Nov) atas empat tuduhan - menyebabkan cedera parah melalui tindakan melulu, menyebabkan kecederaan melalui tindakan melulu, menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan menunggang basikal elektrik di laluan pejalan kaki.

Mahkamah diberitahu bahawa Tian bekerja sebagai seorang pekerja penghantaran makanan dan menunggang alat mobiliti peribadi (PMD) seberat 17.78 kilogram.

Pada kira-kira pukul 5.00 petang 7 Julai 2019, mangsa, keluar rumah untuk pergi bersiar-siar.

Beliau berada di laluan pejalan kaki dekat Blok 23 Bedok South Avenue 1 apabila Tian menghampirinya dengan menaiki PMD.

Ketika itu, Tian sedang bergerak pada kelajuan sekitar 19 hingga 22 kilometer sejam di laluan pejalan kaki berkenaan apabila dia memeriksa telefon bimbitnya bagi mendapatkan maklumat tentang tugasan kerjanya.

Dia tidak memeriksa laluan di hadapannya lalu bertembung dengan mangsa, menyebabkan mangsa terjatuh lalu mengalami pendarahan subaraknoid, iaitu sejenis penyakit angin ahmar.

Mangsa juga mengalami pendarahan dalam tempurung kepala dan perlu menjalani pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. Beliau dirawat di hospital selama 102 hari dan diberi cuti hospital selama 70 hari dengan keluarganya perlu menanggung bil perubatan sebanyak S$46,557.

Segala bil perubatannya dibayar menggunakan akaun MediShield, MediSave dan insurans mangsa.

Anak perempuan mangsa membuat aduan polis dan Tian diberkas pada 7 April tahun lalu. Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama dan polis merampas alat PMDnya.

KEJADIAN KEDUA

Semasa diikat jamin, Tian bekerja sebagai seorang pekerja penghantaran bagi sebuah lagi syarikat. Pada sekitar pukul 1.30 petang pada 7 Mac lalu, dia berjumpa dengan beberapa teman di sebuah kedai kopi di Bedok North, di mana dia meneguk enam botol bir.

Dia kemudian meninggalkan kedai kopi itu pada pukul 7.00 malam lalu menaiki basikal elektriknya dalam keadaan mabuk, dengan niat untuk pulang ke rumah.

Dia sedang berada di laluan pejalan kaki dekat Blok 534 Bedok North Street 3, apabila bertembung dengan seorang lelaki berusia 60 tahun yang sedang berjalan dengan isterinya.

Tian mula memaki hamun mangsa dalam bahasa Mandarin. Mangsa mendapati nafas Tian berbau alkohol lalu menegur Tian supaya tidak mengayuh basikal dalam keadaan berbahaya sedemikian.

Tian naik marah lalu menolak mangsa dan menumbuknya beberapa kali. Mangsa juga menumbuk Tian manakala isterinya memukul Tian menggunakan payung.

Orang yang lalu-lalang pada awalnya menahan Tian, yang berlalu pergi setelah melihat ramai orang berkerumun di tempat kejadian. Mangsa melaporkan kes kepada polis dan menanggung perbelanjaan perubatan S$126, di mana Tian kemudian membayar wang itu kembali.

Tian akan dijatuhkan hukuman esok (16 Nov).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan