Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran makanan dan pemandu bekerja sendiri alu-alukan pakej sokongan pemerintah

Seawal pukul 8.00 pagi, Encik Muhammad Lutfi Syafiq Abdul Razak sudah bersiap sedia untuk memulakan tugasnya sebagai seorang pekerja penghantaran makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja penghantaran makanan dan pemandu bekerja sendiri alu-alukan pakej sokongan pemerintah

Pekerja penghantaran makanan, Encik Muhammad Lutfi Syafiq dan pemandu kereta sewa privet, Encik Mohamed Idrus Yahya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Seawal pukul 8.00 pagi, Encik Muhammad Lutfi Syafiq Abdul Razak sudah bersiap sedia untuk memulakan tugasnya sebagai seorang pekerja penghantaran makanan.

Pekerja penghantaran dengan syarikat Grab itu bekerja sehingga 2.00 petang sebelum pulang ke rumah sebentar untuk tiga orang anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun sebelum menyambung tugas.

Secara purata beliau bekerja selama 10 hingga 12 jam setiap hari.

Biasanya, beliau dapat membawa pulang antara S$150 hingga S$300 sehari bergantung kepada jumlah penghantaran yang dibuat.

Encik Muhammad Lutfi Syafiq dapat memenuhi sehingga 30 tempahan makanan.

Namun baru-baru ini, beliau cukup terkesan oleh harga petrol yang meningkat.

TERPAKSA BEKERJA LEBIH MASA DEMI TAMPUNG HARGA MINYAK YANG LEBIH MAHAL

Selepas berhempas pulas bekerja, Encik Muhammad Lutfi Syafiq mendapati bahawa pendapatan yang diraih setiap hari tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Harga petrol meningkat 30 hingga 40 peratus sejak enam bulan lalu.

"Sebagai seorang pekerja penghantaran makanan, saya bekerja dalam 10 jam sehari. Jadi untuk motosikal saya, dulu apabila saya tokok minyak petrol hingga paras penuh saya perlu belanja S$25 setiap hari sahaja. 

"Tetapi sekarang apabila saya tokok minyak hingga penuh menggunakan minyak petrol 92-oktana, harganya kini antara S$33 hingga S$35.

"Jadi saya perlu bekerja lebih masa. Bukan harga minyak sahaja, saya rasa harga untuk banyak barangan lain juga sudah meningkat,"  keluh Encik Muhammad Lutfi Syafiq, 26 tahun kepada BERITAmediacorp.

Beliau kini mengorbankan waktu rehat setiap hari Ahad untuk menjana pendapatan tambahan.

"Sebelum harga petrol meningkat, saya tidak akan bekerja pada setiap hari Ahad kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.

"Namun sejak harganya meningkat, saya tidak ambil masa cuti. Jadi secara minimum kalau saya berasa penat, saya akan mengambil 10 tempahan penghantaran setiap hari," kata Encik Muhammad Lutfi Syafiq.

BANTUAN WANG TUNAI SEHINGGA S$300 BAGI PEKERJA PENGHANTARAN MAKANAN

Bagi membantu para pekerja penghantaran makanan seperti Encik Muhammad Lutfi Syafiq, Pemerintah pada Selasa (21 Jun) mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion yang bermatlamat untuk menghulurkan bantuan segera kepada golongan berpendapatan rendah dan kumpulan-kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada kesan kenaikan kos.

Rakyat Singapura yang layak akan menerima bayaran tunai sekali saja sehingga S$300 di bawah pakej bantuan tersebut.

Bagi Encik Muhammad Lutfi Syafiq, bantuan wang tunai itu akan dapat meringankan beban kos harian yang meningkat.

"Langkah-langkah bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan keluarga. Tetapi dengan harga barangan yang meningkat seperti harga ayam, duit S$300 ini cuma dapat bertahan selama beberapa hari sahaja.

"Jadi saya berharap Pemerintah dapat memberi lebih banyak bantuan dan memahami nasib mereka yang bekerja sendiri," kata Encik Muhammad Lutfi Syafiq.

AGIHAN WANG TUNAI S$150 BAGI PEMANDU KERETA SEWA

Selain para pekerja penghantaran makanan, pemandu kereta sewa privet juga dapat meraih manfaat daripada pakej sokongan itu.

Pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang layak akan menerima bantuan sekali saja sebanyak S$150.

Encik Mohamed Idrus Yahya, 52 tahun, yang bekerja sebagai seorang pemandu kereta sewa privet mengalu-alukan bantuan itu.

"Saya rasa bersyukur kerana Pemerintah pun prihatin terhadap nasib pemandu kereta sewa. Yang wang tunai S$150 itu saya lihat macam 'token', sedikit sebanyak dapat gunakan untuk tampung kos isi minyak kenderaan.

"Selalunya saya bayar cuma S$100 untuk isi tangki minyak penuh, sekarang saya membayar S$140. Jadi anda tahu perbezaannya itu kan? Terasalah beban apabila mengisi minyak ini," luah beliau kepada BERITAmediacorp.

Ekoran kos harga minyak yang lebih mahal, beliau juga bekerja lebih masa untuk menampung kos perbelanjaan yang lebih tinggi.

Justeru, beliau berharap langkah bantuan Pemerintah dapat dilanjutkan kepada yuran tempat meletak kereta.

"Kalau kos tempat letak kereta Pemerintah boleh kurangkan pun bagus lah, kita tidak minta percuma. Ia pernah dilakukan dan saya sangat terharu terhadap usaha Pemerintah dalam membantu golongan seperti kita," kata Encik Mohamed Idrus.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan