Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran makanan dalam kes langgar lari guna PMD dikenakan latihan pemulihan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pekerja penghantaran makanan yang bertembung dengan seorang wanita berusia 60 tahun menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) dijatuhi hukuman latihan pemulihan pada Khamis (24 Nov).

Wanita itu patah tulang rusuknya akibat dilanggar pada kelajuan tinggi.

Muhammad Izz Zainudyn Noor Azlan, 20 tahun, diperintah mahkamah supaya menjalani latihan pemulihan sekurang-kurangnya 12 bulan.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan terburu-buru yang membahayakan keselamatan diri dengan menaiki alat mobiliti peribadinya pada kelajuan tinggi dan melanggar seorang wanita tanpa berhenti atau mengambil sebarang tindakan untuk mengelak.

Mahkamah diberitahu bahawa Izz mengambil pesanan penghantaran makanan di sebuah kedai kopi di Ang Mo Kio Avenue 4 pada malam 26 Jul lalu

Dia menunggang PMDnya menuju ke lokasi penghantaran.

Pada kira-kira 10.00 malam, mangsa sedang berjalan menuju ke sebuah lif di Blok 644, Ang Mo Kio Avenue 4. Pada masa yang sama, Izz menunggang PMDnya di lobi lif "dengan kelajuan yang tinggi", menurut dokumen mahkamah.

Dia tidak berhenti atau mengambil sebarang tindakan untuk mengelak wanita itu, lantas bertembung dengannya.

Mangsa jatuh ke lantai dan Izz terjatuh dari PMDnya.

Dia kemudian segera meninggalkan tempat kejadian tanpa menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Seorang individu yang lalu di situ terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan menemui wanita itu terlantar di lantai dalam keadaan berdarah.

Lelaki itu juga menyuruh Izz berhenti, tetapi tidak diendahkan.

Dia lalu menghubungi 999, dan mangsa dibawa ke hospital. Wanita itu mengalami pelbagai kecederaan, termasuk patah tulang rusuk, tulang belakang dan kaki.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada 28 Julai.

Laporan latihan pemulihan mendapati Izz sesuai untuk latihan pemulhan tahap 2.

Atas melakukan tindakan terburu-buru yang membahayakan keselamatan diri, Izz boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda tidak melebihi S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan