Pekerja penghantaran GrabFood maut susuli nahas dekat Waterway Point
Seorang pekerja penghantaran GrabFood berusia 54 tahun meninggal dunia selepas satu nahas jalan raya pada Jumaat (24 Jun) berdekatan pusat beli-belah Waterway Point di Punggol.
Gambar: SG Road Vigilante - SGRV/Facebook
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan ia dimaklumkan sekitar jam 9.50 pagi tentang kemalangan melibatkan lelaki berkenaan, yang sedang menunggang basikal bermotor (PAB), dan sebuah lori di Punggol Walk menghala ke Punggol Way.
Lelaki itu dalam keadaan sedar semasa beliau dibawa ke Hospital Besar Chang (CGH) namun, tewas kepada kecederaannya dan meninggal dunia, menurut polis pada Jumaat malam.
Pemandu lori terlibat, seorang lelaki berusia 65 tahun, sedang membantu siasatan polis.
Seorang jurucakap Grab memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sedia maklum tentang kemalangan itu dan sedang berhubungan dengan waris mangsa untuk menghulurkan bantuan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakan kongsi penghantaran kami penting kepada Grab dan kami mahu mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para pengguna jalan raya agar mengamalkan tabiat memandu yang selamat," kata jurucakap itu.
Rakaman video menunjukkan keadaan selepas kemalangan itu, yang dimuat naik ke saluran YouTube SG Road Vigilante, menunjukkan nahas berlaku berhampirkan pintu keluar kawasan pemunggahan Waterway Point.
Kemalangan maut pada Jumaat itu berlaku lebih dua bulan selepas seorang pekerja penghantaran makanan daripada Foodpanda meninggal dunia setelah dilanggar sebuah van di Gambas Avenue.
Insiden yang berlaku pada 10 April itu meragut nyawa Jason Tan, 24 tahun, yang menunggang motosikal. Beliau meninggalkan seorang balu yang sedang hamil.
Akibat kemalangan itu, seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Alif Rykell Shah, 20 tahun, terlantar di unit rawatan rapi (ICU) hospital.
Polis menyatakan ketika itu bahawa seorang pemandu van berusia 36 tahun diberkas kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.