Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran dipenjara 5 bulan langgar ibu, anak di lintasan jalan

Ketika dalam perjalanan untuk menyelesaikan satu pesanan penghantaran makanan, kereta yang dipandu Sheik Salim Said melanggar seorang ibu dan anak perempuannya, berusia sembilan tahun, di lintasan jalan raya di Bedok.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja penghantaran dipenjara 5 bulan langgar ibu, anak di lintasan jalan

Lintasan jalan raya di mana Sheik Salim Said melanggar wanita berusia 37 tahun itu dan anak perempuannya, sembilan tahun. (Gambar: Google Maps)

SINGAPURA: Ketika dalam perjalanan untuk menyelesaikan satu pesanan penghantaran makanan, kereta yang dipandu Sheik Salim Said melanggar seorang ibu dan anak perempuannya, berusia sembilan tahun, di lintasan jalan raya di Bedok.

Akibat kemalangan itu, budak perempuan tersebut mengalami kecederaan otak trauma yang memerlukan pembedahan.
Sheik Salim, 46 tahun, berhenti sejenak untuk mengalihkan kedua-dua mangsa ke kaki lima tetapi tidak menghiraukan rayuan wanita berkenaan yang memintanya untuk menghubungi ambulans. Lelaki itu kemudian berlalu pergi untuk menyelesaikan pesanan penghantaran makanannya.

Pada Isnin (22 Ogos), Sheik Salim dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan dilarang memandu selama lima tahun setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan teruk ketika memandu secara tidak berhati-hati dan tanpa memberi perhatian.

Tiga tuduhan lain yang berkaitan insiden itu turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar pukul 8.20 malam pada 18 April 2021, Sheik Salim sedang memandu di Bedok North Drive dan membelok ke susur jalan menghala keluar ke Bedok North Avenue 1.

Oleh kerana tidak mengawasi keadaan lalu lintas dengan betul, lelaki itu merempuh seorang wanita berusia 37 tahun dan anak perempuannya. Anak beranak itu sedang menyeberang lintasan belang pejalan kaki semasa dalam perjalanan pulang dari Bedok Mall.

Nama mangsa tidak boleh didedahkan kerana di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA) sebarang maklumat yang akan membawa kepada individu berusia bawah 18 tahun dikenal pasti tidak boleh diterbitkan.

“Sebelum pelanggaran, tertuduh langsung tidak memperlahankan kenderaannya," kata Timbalan Pendakwa Raya Jeremy Bin.

DPP Bin, yang meminta hukuman penjara antara empat hingga enam bulan dan larangan memandu selama sekurang-kurangnya lima tahun, menekankan betapa teruknya kecederaan yang dialami mangsa.

Budak perempuan itu mengalami kecederaan otak trauma dan perlu menjalani pembedahan invasif. Dia dibius selama 10 hari dalam unit jagaan rapi (ICU).

Dia masih mengalami masalah daya ingatan jangka pendek dan perubahan tingkah laku, kata DPP Bin kepada mahkamah.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu mengalami kecederaan yang agak ringan sedikit termasuk luka melecet.

Peguam bela Sheik Salim, Audrey Koo dari Populus Law memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya meminta bantuan daripada seorang pejalan kaki untuk menghubungi ambulans kerana telefon bimbitnya berada di dalam kenderaannya ketika itu.

Meskipun meninggalkan tempat kemalangan untuk menyelesaikan pesanan penghantaran makanannya, dia kemudian kembali ke lokasi itu tetapi mendapati bahawa mangsa tidak lagi berada di sana.

Sheik Salim juga tidak sedar bahawa dia tidak boleh meninggalkan tempat kejadian selepas satu kemalangan, kata peguam belanya.

Cik Koo memberitahu mahkamah bahawa Sheik Salim adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya. Dia mempunyai sembilan anak, dua daripada mereka menghadiri sekolah pendidikan khas. Dia juga menjaga saudara perempuannya yang terlantar sakit epilepsi.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan teruk dengan memandu kenderaan bermotor tanpa memberi perhatian sewajarnya, Sheikh Salim boleh didenda sehingga S$5,000 dan dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan