Pekerja penghantaran dihukum penjara tipu Grab lebih S$11,700
Seorang lelaki yang mengeksploitasi kelemahan dalam sistem penghantaran Grab untuk membuat tuntutan palsu berjumlah lebih S$11,700 dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan pada Jumaat (27 Mac).
Dzulqarnain Muhamad tiba di Mahkamah Negara pada 27 Mac 2026. (Gambar: CNA)
Dzulqarnain Muhamad, 35 tahun, membuat lebih 900 tuntutan “cubaan penghantaran” palsu dalam tempoh sebulan, sekali gus memperdaya GrabTaxi Holdings untuk membayarnya bagi tugas yang tidak pernah dilaksanakan.
Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu, dengan satu lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa perkhidmatan kurier GrabExpress milik Grab membayar pemandu apabila mereka cuba tetapi gagal menyelesaikan penghantaran dalam situasi-situasi tertentu.
Sebagai contoh, apabila pengirim tidak dapat dihubungi, pemandu perlu memulangkan barangan ke pusat pemandu Grab sebelum menandakan dalam aplikasi mudah alih bahawa bungkusan tersebut sudah dipulangkan.
Grab kemudian secara automatik akan membatalkan tugas tersebut dan membayar yuran kepada pemandu.
Dzulqarnain mengeksploitasi kelemahan sistem tersebut dengan menerima tugas penghantaran dan terus menandakannya sebagai “dipulangkan” tanpa mengambil barangan tersebut terlebih dahulu.
Dia mengetahui tentang kelemahan itu melalui seorang bekas rakan sekerja, Alex Wang Xiang Yi, yang ditemuinya sekitar April atau Mei 2025 ketika melakukan kerja sambilan di sebuah syarikat.
Wang kini berdepan kes mahkamahnya sendiri dan dijangka mengaku bersalah pada minggu depan.
Wang memberikan maklumat akaun seorang pemandu Grab sedia ada, yang kemudian diambil alih oleh Dzulqarnain. Pemandu tersebut kemudian memperkenalkannya kepada seorang lagi rakan dengan akaun Grab lain, yang turut diambil alih oleh Dzulqarnain.
Dzulqarnain menukar gambar profil akaun tersebut kepada gambarnya sendiri dan pautkan dompet Grab kepada akaun bank peribadinya.
Dia juga mempunyai akaun sedia ada yang turut digunakan untuk mengeksploitasi kelemahan tersebut.
Antara Jun hingga Julai 2025, dia melakukan 609 urus niaga palsu menggunakan akaun pemandu Grab pertama, dan memperoleh kira-kira S$7,720.90.
Dengan menggunakan akaun pemandu kedua, Dzulqarnain membuat 322 lagi tuntutan “cubaan penghantaran” dan menerima sekitar S$4,020.80.
Dzulqarnain membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan kepada kedua-dua pemandu tersebut atas penggunaan akaun mereka.
Secara keseluruhan, dia menipu Grab lebih S$11,700 melalui 931 urus niaga palsu dalam tuduhan yang dibicarakan.
Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan dia memindahkan hasil kegiatan itu ke akaun bank peribadinya dan menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan sendiri. Dia belum membuat sebarang bayaran balik, walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk berbuat demikian di mahkamah.
Kesalahan itu terbongkar selepas Grab menjalankan pemeriksaan dalaman dan mengesan 5,540 urus niaga mencurigakan yang dikaitkan dengan 24 akaun yang dikendalikan oleh lima pemandu Grab.
Dzulqarnain diberkas pada 8 Ogos 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Jheong Siew Yin, memohon hukuman penjara antara tujuh bulan hingga lapan bulan, dan dua minggu bagi Dzulqarnain.
Cik Jheong turut menekankan bagaimana tertuduh mengeksploitasi teknologi dan kelemahan dalam sistem Grab untuk melakukan kesalahan tersebut.
Bagi tuduhan yang dibicarakan, beliau menambah bahawa Dzulqarnain melakukan kesalahan secara "berterusan" dalam tempoh kurang daripada sebulan.
“Ini mencerminkan sikap degil dan keinginannya untuk terus melakukan kesalahan selagi tidak dikesan, yang merupakan faktor pemberat,” kata Cik Jheong.
Bagi kesalahan menipu, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.