Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja pembersihan Terminal 3 Changi yang sudah terima 2 dos vaksin antara kes baru

Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berusia 22 tahun adalah salah satu kes dalam masyarakat hari ini (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 May 2021 11:51PM Dikemas Kini : 07 May 2021 12:34AM

SINGAPURA: Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berusia 22 tahun adalah salah satu kes dalam masyarakat hari ini (6 Mei).

Dia dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai kontak serumah dengan pemandu treler di Terminal Brani dan Terminal Pasir Panjang yang merupakan kes tunggal dalam masyarakat yang dilaporkan semalam (5 Mei) dan dikuarantin pada 4 Mei.

4 Mei juga adalah kali terakhir anggota NSF itu ke Kem Sembawang. Sebagai langkah berjaga-jaga, SAF sudahpun segera menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di premis-premis yang dikunjungi NSF itu.

Semua kontak rapatnya juga sudah menjalani ujian swab dan dikuarantin.

Anggota NSF itu tidak mengalami sebarang gejala dan keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan ke atasnya positif hari ini. Dia kemudian dimasukkan ke wad di Hospital Mount Elizabeth.

Ujian serologinya negatif.

PEKERJA PEMBERSIHAN TIDAK TERKAIT KES SEBELUM INI

Satu lagi kes dalam masyarakat, merupakan seorang lelaki berusia 88 tahun, yang merupakan pekerja pembersihan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dan sudah selesai menerima dua dos vaksin.

Kes lelaki itu tiada kaitan dengan mana-mana kes sebelum ini.

Lelaki itu mengalami selesema dan batuk pada 4 Mei dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik, di mana dia menjalani ujian swab COVID-19.

Keputusan ujiannya positif pada keesokan harinya (5 Mei) dan dihantar ke Hospital Besar Sengkang menerusi ambulans. Pekerja, yang digajikan syarikat Ramky Cleantech Services Pte Ltd itu, sudah tidak ke tempat kerja sejak mengalami simptom.

Menurut MOH ujian-ujian rutin berjadual (RRT) yang dijalankan ke atasnya sebelum ini, dengan yang terakhir pada 16 April, semuanya negatif COVID-19. Keputusan ujian serologinya masih belum didapatkan.

Lelaki itu menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 22 Januari dan dos kedua pada 15 Februari.

KES-KES IMPORT

Tiada kes di dormitori-dormitori pekerja hijrahan dilaporkan hari ini, menurut MOH.

Namun demikian terdapat 16 kes import baru di Singapura hari ini. Antaranya, tujuh penduduk tetap Singapura yang pulang dari India. Satu kes adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari India.

Satu kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal manakala satu lagi merupakan pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Baki enam kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh dan Indonesia - empat daripadanya adalah pekerja pembantu rumah.

Semua kes import sudah diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini.

Ketibaan dari benua kecil India itu sudah tiba di Singapura sebelum sekatan-sekatan perjalanan dilaksanakan, menurut MOH.

KEMAS KINI KES TEMPATAN

Lagi 29 kes jangkitan dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhannya, 60,873 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 120 kes COVID-19 masih dirawat di hospital. Di kalangan jumlah itu, sebilangan besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Cuma satu kes kini berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 262 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom-simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi positif COVID-19.

31 kes maut akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di Singapura sejauh ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan